Proton Lancar Model Sedan S70, Sasar Jualan Bulanan Lebih 3,000 Unit

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) — Proton Holdings Bhd telah melancarkan model sedan kompak S70 dan menyasarkan penjualan lebih 3,000 unit sebulan bagi tahun pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dr Li Chunrong berkata S70 turbo 1.5 liter didatangkan dalam empat varian iaitu eksekutif, premium, flagship dan flagship X.

Harga bagi model eksekutif bermula daripada RM73,800, premium daripada RM79,800, flagship daripada RM89,800 dan flagship X daripada RM94,800.

“Segmen-C S70 pada harga kompetitif dan menawarkan lebih banyak ruang, ciri dan teknologi terkini.

“Strategi kami adalah untuk meraih lebih banyak volum memandangkan kami perlu menyokong pekerja dan ekosistem kami,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran S70 oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.

Setakat ini model S70 telah menerima kira-kira 1,200 tempahan yang akan diserahkan pada awal tahun depan, dengan varian premium dan flagship paling menerima sambutan.

Beliau berkata varian lain juga akan mendapat permintaan berikutan harga yang kompetitif dan menjangkakan sekurang-kurangnya 5,000 tempahan menjelang akhir tahun ini.

Berhubung pengembangan ke pasaran Asean, Li berkata Thailand dan Indonesia mempunyai saiz pasaran yang luas, tetapi turut berdaya saing dari segi penembusan.

“Sehubungan itu, Proton akan turut meninjau pasaran di luar Asean,” katanya.

Timbalan CEO Proton Roslan Abdullah berkata pada masa ini pengeluar kereta nasional itu mengeksport ke 15 negara antaranya Afrika Selatan, Pakistan, Kenya dan Brunei.

“Kami sedang meneroka lebih banyak negara untuk eksport seperti Asia Tengah, dan berhasrat  menambah sekurang-kurangnya lima negara lagi bagi pasaran eksport kami,” katanya.

Roslan berkata volum eksport masih rendah iaitu kira-kira 2,500 unit tahun ini berikutan penyusutan permintaan dari Pakistan akibat kelembapan ekonomi.

Pakistan pada mulanya memaklumkan untuk mengimport kira-kira 10,000 unit pada 2023, katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata S70 membolehkan Proton untuk kembali ke pasaran sedan kompak segmen-C selepas mencatat kejayaan bagi model kenderaan utiliti sukan.

Beliau berkata Malaysia adalah satu-satunya negara di Asean yang mempunyai dua pengeluar peralatan tulen (OEM) dalam negara.

“Setakat akhir Oktober, jumlah volum industri (TIV) kita  telah meningkat sebanyak 11.6 peratus berbanding 2022. Dengan tempoh berbaki lebih sebulan sahaja lagi untuk tahun ini, kami berada di landasan untuk melepasi rekod volum sepanjang masa yang ditetapkan pada tahun lepas.

“Saya juga sedia maklum bahawa Proton menjadi antara pengeksport utama kenderaan di Malaysia. Walaupun jumlahnya agak kecil, permintaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri kepada Proton adalah untuk melihat pengembangan yang pesat susulan pengenalan model baharu seperti  S70,” katanya.

Tengku Zafrul berkata industri automotif Malaysia telah menyumbang lebih RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan output pengeluaran tahunan melebihi 500,000 kenderaan.

“Jika kita melihat industri ini dalam konteks seluruh ekosistemnya, sumbangan industri adalah lebih besar, menyumbang kira-kira 4.0 peratus daripada KDNK Malaysia. Menjelang 2030, sasaran kami untuk mencapai RM104.2 bilion dari segi sumbangan KDNK dengan jumlah pengeluaran 1.47 juta unit kenderaan.

“Kami berhasrat supaya angka ini sebahagiannya disumbangkan oleh kenderaan cekap tenaga,” katanya.

Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa strategi meluas Malaysia adalah bagi memanfaatkan prospek pertumbuhan kenderaan elektrik (EV).

Pasaran EV Asean bernilai hampir US$500 juta pada 2021 dan diunjurkan mencapai US$2.7 bilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) hampir 33 peratus daripada 2022 hingga 2027.

“Saya gembira apabila mendapat tahu Proton sedang memuktamadkan teknologi EV, dan sesuatu yang mengujakan akan tiba tidak lama lagi.

“Ini sangat memberi manfaat apabila kerajaan menunjukkan komitmen sepenuhnya untuk menyokong ekosistem EV yang teguh di negara ini dan menjadikan mobiliti hijau sebagai sebahagian daripada pengangkutan utama kami,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.