Majikan Perlu Anjakan Paradigma Dalam Produktiviti Dan Kadar Upah Lebih Tinggi – MITI

PETALING JAYA, 7 Dis (Bernama) — Majikan memerlukan anjakan paradigma dalam melabur dalam produktiviti dan sanggup membayar kadar upah yang lebih tinggi untuk kemahiran, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. 

Beliau mencadangkan pemilik perniagaan Malaysia bekerjasama ke arah matlamat bersama iaitu membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja kerana ia akan memberi manfaat kepada negara.

Liew berkata Malaysia mempunyai tenaga kerja yang sesuai dan keupayaan untuk mencapai tahap produktiviti yang sama seperti Singapura.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian utama kepada pelaburan. Langkah seterusnya ialah menyusun semula syarikat untuk membolehkan gaji yang lebih tinggi dan peningkatan automasi yang memerlukan lebih ramai pekerja mahir.

“Selepas melabur dalam sistem itu, kami menjangkakan kilang akhirnya terpaksa menaikkan gaji mereka. Ini akan mewujudkan kesaksamaan yang lebih besar, menjadikannya lebih menarik bagi rakyat Malaysia yang sedang bekerja di Singapura untuk kembali ke Malaysia untuk bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Siri CEO 2023: Forum Ekonomi dan Perniagaan anjuran Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bertajuk ‘National Industrial Master Plan (NIMP) 2030: Malaysia New Economic Take Off.’

Liew dalam ucapannya berkata Malaysia perlu mengubah cara ia melihat produktiviti dan perlu meningkatkan produktiviti melalui pelaburan dalam teknologi, ‘total factor productivity’ (TFP), mesin, automasi dan pendigitalan.

“Ini akan membantu kami memaksimumkan kedudukan kami sebagai perantara yang sangat diperlukan dalam penyepaduan rantaian bekalan,” katanya.

Di Malaysia, beliau berkata median gaji dan upah bulanan pada 2022 berjumlah RM2,424, kadar berkenaan adalah rendah berbanding negara serantau termasuk Indonesia.

Beliau berkata 50 peratus rakyat Malaysia yang bekerja kini mendapat gaji pada kadar berkenaan.

Sehubungan itu, Liew berkata kerajaan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menyasarkan untuk meningkatkan gaji secara beransur-ansur, ia akan mencecah RM4,510 pada tahun 2030 untuk sektor pembuatan dan pada masa yang sama, mampu mengurangkan pergantungan kepada buruh asing bukan mahir.

Selain itu, Malaysia juga harus beralih daripada ekonomi berasaskan sumber tanah kepada ekonomi berasaskan teknologi untuk menjadi lebih aktif dan berdaya tahan pada depan, katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, wujud peluang untuk pemaju mengubah pembangunan taman perindustrian dengan melabur dalam syarikat yang sedang menubuhkan taman perindustrian mereka dan bukan hanya bergantung kepada pelaburan tanah sahaja.

“Pemaju kini harus menumpukan kepada membangunkan rantaian bekalan perindustrian bukan hanya tanah. Perbincangan dengan pengeluar harus berkisar pada rantaian bekalan dan ekosistem.

“Mereka digalakkan untuk beralih daripada ekonomi berasaskan tanah kepada melabur dalam teknologi, yang boleh memberi manfaat kepada ekosistem dan membantu mengembangkan industri,” kata Liew.

Dalam pada itu, beliau menasihati perniagaan untuk meletakkan iklim sebagai pertimbangan ekonomi terutamanya apabila membina semula bandar sambil menjadikan mobiliti lebih mudah.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840