Tron Bradbury Energy akan buka hab EV serantau di Lembah Wawasan Malaysia

PELABUHAN KLANG, 23 Jan (Bernama) — Pengeluar automotif dan bateri kenderaan elektrik (EV), Tron Bradbury Energy (Malaysia) Sdn Bhd (TBE), akan membuka hab EV serantaunya di Malaysia yang berupaya menjana hasil dianggarkan melebihi RM2 bilion setahun.

Berikutan itu, syarikat berkenaan telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pengurus aset Bradbury Asset Management (Hong Kong) Ltd dalam satu majlis di sini, pada Jumaat.

Hab itu akan terletak di Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bradbury Keith Loo berkata hab berkenaan akan meningkatkan kapasitinya daripada operasi pemasangan EV dengan turut merangkumi kapasiti pengeluaran dan pengedaran serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bateri.

“Hab itu dijangka menjana hasil lebih daripada RM2 bilion setahun,” katanya pada majlis perasmian kilang pemasangan kenderaan EV pertama syarikat itu di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di sini.

 Kilang yang menumpukan sistem penyimpanan tenaga dan komersial EV, telah dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sementara itu dalam ucapan beliau, Tengku Zafrul berkata TBE dijangka mentransformasi operasi pemasangan sedia ada di PKFZ kepada sebuah fasiliti pengeluaran khusus dan merancang mewujudkan kemudahan R&D bateri di Malaysia.

“Kedua-dua perancangan ini apabila direalisasikan kelak, akan menjadi satu langkah penting dan saya teruja untuk melihat impak serta peluang positif daripadanya ke atas rakyat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta Malaysia secara menyeluruh,” katanya.

Tengku Zafrul berkata walaupun industri EV agak baharu di Malaysia, statistik menunjukkan aliran peningkatan permintaan terhadap EV pada tahun lepas.

Ini termasuk jualan bateri EV (BEV) yang melonjak lebih 200 peratus tahun ke tahun kepada lebih 10,000 BEV daripada kira-kira 3,000 unit pada 2022, kata beliau.

“Jika kita gabungkan EV hibrid dan sepenuhnya, jumlah EV yang dijual pada tahun lepas adalah kira-kira lima peratus daripada 800,000 unit jualan keseluruhan industri (TIV) iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus tahun ke tahun.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan EV kita mencecah sekurang-kurangnya 20 peratus TIV menjelang 2030 dan 50 peratus menjelang 2040 serta 80 peratus menjelang 2050. Saya yakin kita berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TBE Richard Huang berkata syarikat itu melihat peluang pertumbuhan yang memberangsangkan di Malaysia.

“Kami teruja dengan potensi daripada kerjasama ini untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran EV yang mencatat pertumbuhan pesat,” katanya.

Beliau juga menyifatkan sokongan kewangan Bradbury Asset Management itu sebagai pemacu utama bagi menjayakan inisiatif-inisiatif TBE.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.