SPRM Batal Pembekuan Akaun Bank Cropmate

KUALA LUMPUR: Akaun bank milik Cropmate Bhd, pengeluar baja berpangkalan di Klang, serta anak syarikatnya yang terjejas telah dibatalkan pembekuannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan tiada pengarah, pegawai, kakitangan atau wakil kumpulan berkenaan ditahan atau didakwa atas sebarang kesalahan yang berkaitan dengan siasatan itu.

Cropmate turut mengesahkan syarikat serta anak syarikatnya tidak tertakluk kepada sebarang prosiding pelucuthakan berkaitan siasatan berkenaan.

Pada 24 April 2026, Cropmate mengumumkan beberapa akaun banknya dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan berhubung pengubahan wang haram yang dijalankan SPRM.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

19 Syarikat Malaysia Disenarai Dalam ‘Terbaik Di Bawah Satu Bilion 2026’ Oleh Forbes Asia

SINGAPURA: Forbes Asia mengumumkan senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion 2026’ yang menampilkan 200 syarikat tersenarai kecil dan sederhana berprestasi terbaik di Asia Pasifik, dengan jumlah syarikat Malaysia dalam senarai itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 19.

Menurut Forbes Asia dalam kenyataan hari ini, lebih separuh daripada syarikat Malaysia yang disenaraikan menerima manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).

“Syarikat kecil dan sederhana yang disenaraikan dalam pengiktirafan itu pada tahun ini berjaya mengharungi cabaran ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga.

“Senarai kali ini didominasi oleh syarikat yang seiring dengan perkembangan pesat sektor teknologi dan ledakan AI global,” menurutnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, China mencatatkan jumlah syarikat tertinggi yang disenaraikan iaitu 28 syarikat, diikuti India pada kedudukan kedua melibatkan 27 syarikat.

Syarikat Malaysia, Southern Cable Group, pengeluar kabel voltan rendah dan voltan tinggi, membuat kemunculan pertama dalam senarai itu, dengan sokongan perkembangan pesat industri pusat data yang menyumbang sebanyak 15 peratus daripada hasil syarikat berjumlah RM1.8 bilion pada 2025.

Senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion 2026’ menampilkan 200 syarikat tersenarai awam daripada kira-kira 19,000 syarikat di rantau Asia Pasifik yang mempunyai jualan tahunan melebihi AS$10 juta dan di bawah AS$1 bilion.

Menurut Forbes Asia, syarikat perisian serta pembekal komponen elektronik utama dan peralatan untuk industri semikonduktor menyumbang 25 peratus daripada syarikat yang layak.

“Sebahagian syarikat lain pula memanfaatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu yang semakin berkembang dengan memenuhi permintaan industri yang meningkat terhadap peralatan dan perkhidmatan khusus,” menurutnya.

-BERNAMA