Lebih RM350 Juta Transaksi Penipuan Disekat Dalam Tempoh Sepuluh Bulan Pertama 2023

Langkah pencegahan penipuan industri perbankan yang teguh membantu melindungi keselamatan kewangan pelanggan     

Kuala Lumpur, 24 Januari 2024 –  Dari Januari hingga Oktober 2023, tiga belas bank ahli di bawah kelolaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM)  telah berjaya menghalang transaksi penipuan bernilai RM351 juta dan melindungi pelanggan daripada pelbagai jenis penipuan. Pencapaian ini mencerminkan komitmen industri perbankan yang tinggi terhadap langkah pencegahan penipuan yang kukuh,  di mana mereka terus berwaspada dan proaktif dalam usaha anti-penipuan,  baru-baru ini diserlahkan oleh pelancaran kempen kesedaran #JanganKenaScam industri perbankan. Tindakan pengesanan dan pencegahan oleh bank telah berjaya menyelamatkan pelanggan daripada ditipu melalui skim seperti e-dagang, permohonan pekerjaan, pelaburan, penyamaran serta penipuan pancingan data. 

Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan yang pertama dilancarkan pada bulan Oktober 2022, di mana industri perbankan secara progresif melaksanakan lima langkah utama yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan kewangan. Langkah-langkah terdiri daripada berhijrah daripada kata laluan satu kali SMS (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank; tempoh pengesahan dan bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan atau peranti selamat; membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan; dan saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan. 

Pelanggan dan orang awam secara keseluruhannya juga telah dijemput untuk menyertai usaha menentang penipuan kewangan melalui mesej daripada bank tentang pelbagai jenis penipuan dan tindakan mitigasi penipuan yang sepadan, melalui pelbagai platform media massa dan sosial bank. 

“Usaha bersepadu dalam mewujudkan persekitaran yang lebih berwaspada dan keupayaan untuk mengelakkan penipuan oleh ABM dan AIBIM menandakan usaha kolektif persatuan dan bank ahli untuk mewujudkan persekitaran perbankan yang selamat, di mana pelanggan boleh mempercayai keselamatan transaksi kewangan mereka. Dengan kerjasama dan pematuhan kepada amalan terbaik industri, kami berhasrat untuk mengukuhkan asas ekosistem perbankan kami dengan menawarkan pelanggan hak ketenangan fikiran mereka,” kata Dato’ Khairussaleh Ramli, Pengerusi ABM. 

Dato’ Mohd Muazzam Mohamed, Presiden AIBIM mengulas, “Reaksi positif dari pelanggan telah membuktikan keberkesanan inisiatif kolektif kami, langkah keselamatan yang dipertingkatkan dalam usaha pencegahan penipuan akhirnya membantu menyelamatkan sejumlah besar dana mereka dari scammers.” Cik E, seorang akauntan berusia 45 tahun berkongsi kisah bagaimana banknya berjaya menyelamatkan RM47,000 dalam akaunnya daripada ditipu. Kisah bermula apabila seorang pemanggil daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa dirinya seorang pegawai bank, dan menyatakan satu transaksi telah dilakukan dengan kad kredit di bawah Cik E. Meskipun Cik E menafikan transaksi tersebut, beliau  telah diminta untuk membuat laporan polis melalui telefon, dan kemudian panggilannya dipindahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ipoh. Pegawai PDRM palsu itu memaklumkan kepada Cik E yang waran tangkap telah dikeluarkan diatas nama beliau  kerana terbabit  dalam kegiatan jenayah.

Untuk menyenarai putih namanya, beliau dinasihati untuk mengosongkan wang dalam akaunnya dan memindahkan wang tersebut ke akaun destinasi tertentu bagi tujuan siasatan. Pemanggil palsu itu kemudian berjanji yang siasatan akan mengambil masa sekitar 3 hari, dengan wang tersebut akan dikembalikan ke dalam akaunnya dalam masa terdekat. Panik dan takut yang dengan gertakan yang dia akan ditahan polis, Cik E melakukan pemindahan wang sebanyak RM47,000 seperti yang diarahkan oleh pemanggil palsu itu. Dia menyedari dana itu tidak dipindahkan serta-merta ke akaun destinasi yang diminta kerana transaksi berada dalam tempoh ‘bertenang’. 

Selepas siasatan lanjut, dan menyedari  bahawa dia telah menjadi mangsa penipuan, beliau segera menghubungi pihak bank untuk membatalkan transaksi tersebut. Respons pantas pihak bank telah menyelamatkan wang hasil titik peluhnya daripada ditipu. Pelanggan tersebut menyatakan penghargaannya atas usaha bank dalam memerangi penipuan melalui ciri keselamatan baharu yang ditawarkan kepada pelanggan.  

Cik E berkata, “Sentiasa berhati-hati dengan panggilan daripada pemanggil yang tidak dikenali. Hubungi pusat panggilan bank sekiranya terdapat sebarang ketidakpastian.”

Sementara itu, tinjauan yang dijalankan oleh syarikat penyelidikan pemasaran Rakuten Insights pada bulan Jun hingga Julai 2023, bertajuk Pendapat Awam Industri Perbankan tentang Penipuan, memberikan gambaran menarik yang diperoleh daripada lebih 1,200 orang awam. Tinjauan itu menunjukkan bahawa 63% daripada rakyat Malaysia mempunyai kaitan dengan penipuan sama ada secara langsung atau tidak langsung, 17% telah menjadi mangsa langsung penipuan perbankan atau kewangan manakala 46% tidak menjadi mangsa tetapi mengenali seseorang yang telah menjadi mangsa. Yang menariknya, responden menyatakan bahawa 76% daripada kes penipuan yang mereka ketahui adalah disebabkan oleh mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka secara tidak sengaja lalu membolehkan penipu mendapat akses pada kewangan mereka. 

86% daripada responden mengakui menerima mesej dari bank untuk berwaspada terhadap penipuan perbankan dan kewangan. Di lima buah institusi perbankan utama, purata 68% daripada responden menilai usaha bank dalam memacu kesedaran penipuan sebagai memuaskan, dalam memerangi penipuan dan scam. Tambahan pula, 71% daripada responden ini mengambil dan membaca bahan daripada usaha bank untuk menyedarkan dan mendidik pelanggan tentang penipuan. Secara asasnya, kebanyakan responden merasakan bahawa berita dan logik akal adalah yang paling penting dalam mengenal pasti penipuan, manakala lebih daripada 50% menyatakan bahawa mereka berasa bersedia untuk menangani penipuan kewangan. Perlu diingatkan bahawa tinjauan mendapati orang yang sentiasa membaca dan memahami makluman bank adalah 15% lebih bersedia untuk menangani atau mengurus penipuan berbanding yang lain.

ABM, AIBIM dan bank ahli mereka akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan pengawal selia kewangan termasuk BNM dan PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan pihak berkepentingan seperti CyberSecurity Malaysia untuk membantu menyebarkan mesej bahawa pelanggan harus kekal berwaspada dan berhati-hati semasa menjalankan transaksi kewangan. ABM dan AIBIM menggesa individu melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan segera kepada bank masing-masing supaya pihak bank boleh mengambil tindakan yang perlu. Umum yang menjadi mangsa penipuan kewangan juga boleh memaklumkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) dengan menghubungi talian hotline NSRC di 997.

TAMAT

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.