Prestasi REITs Patuh Syariah Bursa Malaysia Pada Tahun 2023

Nak melabur dalam Real Estate Investment Trust (REITs) di Bursa Malaysia ini mudah sahaja. Hal ini kerana, hanya terdapat 19 REITs yang didagangkan dan daripada itu pula hanya lima REITs sahaja yang patuh syariah.

Sekiranya anda pelabur yang mencari saham yang patuh syariah sahaja maka fokus anda hanya pada lima REITs yang bakal kami ulaskan dalam artikel ini.

Untuk pengetahuan anda, lima REITs tersebut adalah:

  1. AXIS REITS (AXREIT) 
  2. KLCC REAL ESTATE INVESTMENT TRUST (KLCC)
  3. AME REAL ESTATE INVESTMENT TRUST (AMEREIT)
  4. AL-SALAM REAL ESTATE INVESTMENT TRUST (ALSREIT)
  5. AL-AQAR HEALTHCARE REIT (ALAQAR)

Baca juga: Apa itu Real Estate Investment Trust (REIT)?

Bagaimana agaknya prestasi lima REITs patuh syariah ini pada tahun 2023? REITs ini tidak ditulis mengikut urutan.

Axis REITs (AXREIT)

Axis Real Estate Investment Trust adalah REIT pertama di Malaysia, yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 3 Ogos 2005. Ia mempunyai pelbagai portfolio yang terdiri daripada 57 hartanah yang terletak di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Kedah. 

Axis-REIT ditubuhkan untuk memiliki dan melabur terutamanya dalam hartanah industri dan pejabat

Objektif utama dana ini ditubuhkan adalah :

i) Menyediakan pemegang unit dengan pendapatan yang stabil dan berkembang
ii) Mencapai pertumbuhan jangka masa panjang 

Carta: TradingView

Axis REITs membuka tirai 2023 pada harga RM1.70 dan ditutup pada RM1.77 pada hari terakhir dagangan 2023. Ia memberi kenaikan sebanyak 4.11%.

KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC)

KLCC Stapled Group merupakan satu sekuriti stapled yang tersenarai di Bursa Malaysia. Ia terdiri daripada dua buah entiti iaitu KLCC Property Holdings Berhad dan KLCC REIT.

KLCCP menjana pendapatannya daripada lima buah aset di dalam portfolionya yang merangkumi perkhidmatan pengurusan hartanah, REIT dan tempat letak kenderaan.

Anak syarikatnya pula terdiri daripada KLCC Urusharta Sdn bhd, KLCC REIT Management Sdn Bhd dan KLCC Parking Management Sdn Bhd.

Carta: TradingView

KLCC antara REITs paling popular pula membuat kenaikan yang agak baik pada 2023. Harga KLCC pada 3 Januari 2023 adalah RM6.32 manakala harga KLCC pada 29 Disember 2023 adalah RM7.09. 

Kenaikan sebanyak RM0.77 tersebut memberi kenaikan sebanyak 12.18%.

AME Real Estate Investment Trust (AMEREIT)

AMEREIT baru sahaja disenaraikan pada penghujung tahun 2022. Harga IPOnya adalah RM1.13. 

AMEREIT merupakan salah satu REITs patuh syariah yang mana portfolio pendapatannya kebanyakannya daripada industri di Malaysia dan luar negara. 

Buat masa ini aset di bawah pengurusannya bernilai lebih dari RM600 juta dan menguruskan 37 hartanah. 

Carta: TradingView

Sepanjang tahun 2023 AMEREIT naik sebanyak RM0.20 atau 18.51%.

Al-Salam Real Estate Investment Trust (ALSREIT)

Al-Salam REIT berjaya disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 29 September 2015. Bermula dengan 31 hartanah pada tahun 2015, Al-Salam REIT telah memperluas portfolio ke 54 hartanah di seluruh Malaysia yang terdiri daripada tiga pusat peruncitan, sebuah bangunan pejabat, 43 buah restoran dan 7 aset lain.

Carta: TradingView

Pada 3 Januari 2023, ALSREIT berharga RM0.350 dan di penghujung tahun harganya telah meningkat kepada RM0.475. Kenaikan sebanyak RM0.125 ini telah memberi peningkatan sebanyak 35.71%.

Al-Aqar Healthcare Reit (ALAQAR)

Al-’Aqar Healthcare REIT disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 10 Ogos 2006. Sejak itu, AL- Aqar telah mencapai pelbagai pencapaian. Antaranya seperti REIT Islamik pertama di dunia, REIT penjagaan kesihatan Islamik pertama di Asia dan penanda aras untuk pengembangan REIT Islamik di rantau ini. 

Ditubuhkan dengan portfolio awal sebanyak enam hartanah, kini Al-’Aqar telah mengembangkan portfolio menjadi 23 hartanah yang terdiri daripada 17 hospital, 3 pusat kesihatan, 2 kolej dan 1 pusat rawatan & penjagaan warga emas.

Al-’Aqar diuruskan oleh Damansara REIT Managers Sdn Berhad, anak syarikat milik penuh Johor Corporation dan disokong oleh KPJ Healthcare Berhad.

Carta: TradingView

AlAQAR pula juga antara REITs patuh syariah paling popular dalam kalangan pelabur. Pada awal tahun harga ALAQAR adalah RM1.13 dan di penghujung tahun adalah RM1.22. ALAQAR telah naik sebanyak RM0.09 atau 7.96%.

Walaubagaimanapun, kenaikan harga bukanlah pengukur utama bagi REITs kerana majoriti pelabur melabur dalam REITs kerana ingin mendapatkan dividen. Setiap REITs di atas juga semuanya mengagihkan dividen kepada para pelabur. 

Baca: Dividen Real Estate Investment Trust (REIT) Tinggi Ke?

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian