Industri Takaful Membayar Sebanyak RM8.74 Bilion Tuntutan Perlindungan Takaful Pada Tahun 2023

Takaful Keluarga dan Takaful Am masing-masing membayar RM6.79 bilion dan RM1.95 bilion.

Kuala Lumpur, 26 Mac 2024 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) hari ini mengumumkan bahawa pengendali takaful telah membayar tuntutan perlindungan Takaful berjumlah RM8.74 bilion pada tahun 2023 bagi menyokong rakyat pada masa mereka memerlukan. Pengendali Takaful Keluarga telah membayar sebanyak RM6.79 bilion, menggariskan komitmen mereka untuk melindungi keluarga di seluruh negara. Pengendali Takaful Am pula telah mengeluarkan jumlah tuntutan sebanyak RM1.95 bilion. Peningkatan pembayaran sebanyak 24.40% ini menunjukkan kepekaan industri takaful terhadap keperluan pemegang sijil dan berdedikasi untuk meringankan beban rakyat pada kadar segera.

Pembayaran ini disokong oleh sumbangan kasar perniagaan berkuat kuasa Takaful Keluarga yang meningkat sebanyak 7.55% kepada RM8.97 bilion, berbanding RM8.34 bilion pada tahun 2022. Bilangan sijil berkuat kuasa pada tahun 2023 stabil pada 6.60 juta, berbanding 6.63 juta sijil berkuat kuasa yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Sepanjang tahun 2023, pengendali Takaful Keluarga menambah 1.13 juta sijil baharu dengan caruman kasar sebanyak RM9.59 bilion tetapi tidak dapat mencapai 1.31 juta sijil baharu dan caruman kasar RM10.06 bilion yang didaftarkan pada tahun 2022. Walaupun jumlahnya lebih rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya, ia masih memberi kesedaran dan kepercayaan yang berterusan terhadap perlindungan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi MTA, Encik Elmie Aman Najas berkata, ̉Kepentingan dan manfaat takaful semakin mendapat sambutan seperti yang dibuktikan oleh bilangan sijil berkuat kuasa yang konsisten berikutan tahun yang kukuh untuk sijil baharu pada tahun sebelumnya. Ini menandakan bahawa peserta Takaful terus memenuhi kewajipan dalam memberi sumbangan mereka, mempunyai kesedaran yang berterusan terhadap perancangan kewangan serta pengekalan di kalangan pemegang peserta Takaful. Inisiatif kesedaran yang meluas diterjemahkan kepada hasil yang ketara di mana produk takaful terus menjadi pilihan utama.

Dari segi prestasi, data tiga tahun menunjukkan normalisasi dalam industri pada tahun 2023, selepas setahun pertumbuhan kukuh pasca-pandemik pada tahun 2022. Kadar penembusan Takaful Keluarga pada tahun 2023 kekal stabil pada 19.58%, walaupun populasi mencatat pertumbuhan tertinggi 10 tahun dengan peningkatan sebanyak 678,500 orang, mengatasi pertumbuhan tahun 2022,Ó sambung beliau. Pada tahun 2022, kadar penembusan Takaful Keluarga adalah 20.06% dan pertumbuhan populasi adalah 401,600 orang.

Trajektori perniagaan Takaful Am terus meningkat pada tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 17.44% dalam sumbangan kasar kepada RM5.45 bilion daripada RM4.64 bilion. Sumbangan langsung juga mencatatkan peningkatan, sebanyak 17.40% kepada RM5.44 bilion daripada RM4.64 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi teguh takaful kenderaan yang berkembang sebanyak 18.70% kepada RM3.64 bilion membantu kepada peningkatan sumbangan dan kekal sebagai pemacu utama Takaful Am. Prestasi ini sejajar dengan 799,731 kenderaan bermotor baharu yang dijual pada tahun tersebut yang didorong oleh kempen promosi dan pelancaran model baharu. Peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap produk takaful serta kemudahan pembelian melalui platform digital menyebabkan takaful kenderaan telah menyumbang sebanyak 66.94% daripada perniagaan Takaful Am.

Pengendali Takaful Am tangkas dalam memperkenalkan produk takaful kenderaan yang inovatif bagi pemilik kenderaan elektrik (EV). Produk yang direka khusus untuk kenderaan EV telah membantu pengendali, serta menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang menyasarkan 20% daripada jumlah kenderaan yang dijual adalah xEV menjelang tahun 2030, dan 50% menjelang tahun 2040.

Bidang perniagaan lain juga mencatat pertumbuhan kukuh akibat pemulihan pasca-pandemik berterusan, khususnya industri berkaitan logistik. Prestasi penerbangan meningkat sebanyak 146.04%, mencatatkan RM13.81 juta sumbangan kasar secara langsung (2022: RM5.61 juta), manakala industri kargo meningkat sebanyak 79.09% kepada RM30.85 juta (2022: RM17.24 juta) dan badan kapal laut meningkat sebanyak 45.89% kepada RM15.07 juta. Pemulihan sektor pembinaan pada 2023 membantu Semua Risiko Kontraktor (CAR) & Kejuruteraan mencapai peningkatan sebanyak 44.00% atau RM71.32 juta, iaitu RM233.42 juta bagi tahun tersebut.

Dari segi saluran, Agensi dan Bancatakaful kekal sebagai pusat hubungan utama, dengan sumbangan perniagaan baharu sebanyak 34.03% dan 29.99%.

MTA menjangkakan industri takaful dapat mengekalkan momentum yang stabil pada 2024, selari dengan unjuran pengembangan ekonomi keseluruhan Malaysia. Industri takaful bersatu dalam komitmennya untuk menyediakan perlindungan takaful yang boleh diakses dan berpatutan untuk rakyat sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyokong pembangunan ekonomi negara.

Selaras dengan ini, MTA mengumumkan pelan transformasi strategik empat tahunnya untuk meningkatkan dan menginovasikan takaful menjadi nama yang dikenali di Malaysia dan mengilhamkan pemegang polisi generasi baharu. Mandat ini adalah untuk menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan memberi impak yang lebih besar.

Dikenali sebagai Hijrah27, pelan transformasi strategik ini merangkumi perubahan dengan tujuan serta menyepadukan misi MTA dengan matlamat visi Rangka Kerja Sektor Kewangan 2026 dan kerangka Intermediasi Berasaskan Nilai untuk industri. Hijrah27 adalah sambungan daripada Pelan Reformasi MTA yang berjaya dilaksanakan pada 2022-2023, yang dikenali sebagai ISLAH 23, dan akan memacu industri dan ekosistem Islam secara keseluruhan bagi memajukan takaful.

Walaupun Hijrah27 masih dalam proses penyelesaian, MTA merancang Hijrah27 ini akan memberikan dorongan dan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan takaful dan menjadikannya pemimpin di Malaysia. Hijrah27 akan berterusan memberikan penekanan pada kerjasama, kesedaran menyeluruh, inovasi produk dan perkhidmatan, dan pengekalan peranan Takaful dalam seluruh ekosistem untuk memperluaskan perlindungan dan memenuhi keperluan rakyat yang kurang (unserved) atau tidak mempunyai akses (underserved) mengikut tahap keperluan mereka bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai jaringan keselamatan.

Previous ArticleNext Article

Penjagaan Kesihatan: Program Rintis MediAsas Bakal Bermula Akhir Julai

Saranan WAJARAN TINGGI kekal

Program perintis untuk MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai. Walaupun senarai hospital yang menyertai program ini masih belum diumumkan, kami menjangka pengendalipengendali fasiliti perubatan yang kami kaji akan menyertainya, walaupun secara pilihan. Premium bulanan indikatif berlingkungan antara MYR60 dan MYR550, manakala harga muktamad akan ditetapkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Apa itu MediAsas?

Ia merupakan produk asas MHIT yang direka untuk menambah baik tahap kemampuan sambil bertindak sebagai batu loncatan ke arah pelaksanaan berperingkat sistem bayaran mengikut diagnosis pesakit (DRG). Dua produknya iaitu Medi Asas Teras (pelan biasa) dan MediAsas Fleksi (pelan tambahan), akan dilancarkan secara rintis di Lembah Klang sepanjang tempoh tiga bulan sehingga Okt 2026.

Program rintis ini melibatkan enam syarikat insurans dan takaful, iaitu AIA, Allianz Malaysia (ALLZ MK, BELI, TP: MYR23.90), Great Eastern Malaysia, Prudential BSN Takaful, Etiqa, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga (STMB MK, NEUTRAL, TP: MYR3.60), dan hospital-hospital terpilih. Premium bulanan indikatif dijangka berlingkungan antara MYR60 dan MYR550 untuk individu yang menyertai pelan tersebut sehingga usia 70, dengan liputan dilanjutkan sehingga usia 85. Harga akhir akan disahkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Ciri-ciri utama dan bakal implikasi.

Kertas Putih untuk pelan MHIT Asas yang diterbitkan sebelum ini menggariskan potongan MYR500 di samping mekanisme bayaran bersama (co-payment) dua tahap, dengan tiada bayaran bersama untuk hospital Tahap 1 (rangkaian dalaman) dan bayaran bersama sebanyak 20% (terhad padaMYR3,000 bagi setiap kecacatan) untuk hospital Tahap 2 (luar rangkaian).

Dua kesan penting:

i) Hospital yang tidak terpilih sebagai hospital panel pilihan mungkin akan mengalami tekanan terhadap bilangan pesakit (kesan terhadap pengendali premium seharusnya kecil memandangkan tumpuan mereka pada kes-kes yang lebih serius

ii) penetapan harga yang dibandingkan dengan hospital swasta bertahap lebih rendah hingga sederhana mungkin memerlukan pengendali premium untuk menawarkan pakej yang lebih seragam dan cekap kos, sekali gus membataskan keupayaan mereka untuk mengewangkan nilai jenama premium untuk segmen M40.

Menyentuh hal tersebut, kami berpendapat bahawa KPJ Healthcare berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pelaksanaan MHIT dan DRG kelak, khususnya menerusi rangkaian luas hospital sekunder/komuniti miliknya yang beroperasi dengan asas kos yang lebih rendah, dengan ruang untuk menampung lebih banyak bilangan pesakit dan seterusnya mungkin memelihara margin bawah struktur pembayaran balik berasaskan DRG.

Risiko-risiko negatif utama, kos mengurus lebih mahal daripada anggaran, kunjungan pesakit dan pertumbuhan intensiti hasil lebih rendah berbanding jangkaan, dan perubahan dasar yang buruk. Sekiranya nilai USD melemah dengan ketara, IHH Healthcare mungkin mengalami kesan FX yang buruk terhadap perolehannya di luar negara manakala Duopharma mungkin meraih manfaat daripada pelepasan kos terhadap bahan farmaseutikal aktif (API) diimport.