Applecrumby Kumpul Pembiayaan Berjumlah US$4.2 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Applecrumby dari Malaysia, yang merupakan jenama penjagaan bayi telah mengumpulkan pelaburan pertumbuhan sebanyak US$4.2 juta (US$1=RM4.7270) daripada firma modal teroka berbilang peringkat 500 Global.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan itu akan mempercepatkan pertumbuhan syarikat melalui produk penjagaan bayi yang berkualiti tinggi, selamat dan mampu milik.

Pembiayaan baharu itu akan membolehkan Applecrumby mengembangkan jejaknya di peringkat global, selain memperluaskan saluran pengedaran dan membangunkan produk baharu di bawah rangkaian PureBasics bagi memenuhi keperluan ibu bapa moden yang semakin berkembang.

“Kami percaya ibu bapa wajar mempunyai akses kepada produk penjagaan bayi yang berpatutan serta bebas toksin, tidak kira di mana pun. Applecrumby telah membawa ketenangan fikiran kepada ibu bapa sejak 2012, rangsangan modal baharu ini akan membolehkan syarikat meluaskan impak kami, memastikan lebih ramai keluarga dapat memberikan anak mereka permulaan hidup yang lebih sihat dan bahagia,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Applecrumby Sean Tan dalam satu kenyataan.

Produk Applecrumby kini boleh didapati di 11 buah negara. Ia merancang untuk berkembang ke 20 negara lagi menjelang akhir tahun ini melalui pengedar serantau.

Di Malaysia, jenama itu tersedia di hampir 2,000 lokasi runcit tahun ini bagi memberikan kemudahan yang lebih baik kepada ibu bapa.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Kukuh Lonjak Untung Bersih Suku Pertama Poh Kong Kepada RM39.6 Juta

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Poh Kong Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi suku pertama tahun kewangan 2026, berakhir 31 Okt, 2025 (SI TK2026) kepada RM39.61 juta daripada RM21.34 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil bagi syarikat barang kemas itu juga meningkat kepada RM439.94 juta daripada RM329.28 juta tahun lalu, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk barang kemas daripada emas dan produk pelaburan emas, serta lonjakan harga emas.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata keuntungan bersih yang meningkat sebanyak RM18.27 juta disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi dan trend kenaikan harga emas secara keseluruhan.

Poh Kong juga berkata pendapatan kumpulan itu sebahagian besarnya diperoleh daripada segmen runcit.

Mengenai prospek, kumpulan itu berkata industri barang kemas daripada emas di Malaysia menunjukkan pertumbuhan dan daya tahan yang kukuh tahun ini, didorong oleh permintaan tempatan dan antarabangsa.

“Pasaran barang kemas berpotensi untuk terus berkembang dan kami menjangkakan trend kenaikan harga emas akan berterusan sehingga 2026.

“Walaupun terdapat faktor seperti inflasi dan turun naik nilai mata wang, kami percaya pembelian kukuh oleh bank pusat, perbelanjaan pengguna dan permintaan aset selamat yang meningkat di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik global akan terus menyokong permintaan untuk barang kemas dan produk pelaburan emas,” katanya.

Kumpulan itu berkata ia akan terus memantau kesan ketidaktentuan semasa ke atas operasinya, menegakkan serta menunaikan kewajipan kewangan dan sentiasa menilai prestasi Poh Kong.

“Sekiranya tidak berlaku sebarang keadaan yang di luar jangka, lembaga pengarah yakin kumpulan telah melaksanakan langkah- langkah yang mencukupi untuk menghadapi cabaran pada tahun kewangan yang berakhir 31 Julai, 2026,” tambahnya.
— BERNAMA