Pas Penerbangan Tulisan Tangan, Daftar Masuk Manual Tangani Kekalutan Gangguan IT Global

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) — Insiden gangguan teknologi maklumat (IT) global mencetuskan kekalutan operasi lapangan terbang dan syarikat penerbangan di serata dunia pada Jumaat, termasuk lapangan terbang Berlin yang mengumumkan penangguhan semua penerbangan manakala di Malaysia menyaksikan segelintir syarikat melaporkan sistem daftar masuk dan tempahan terjejas.

Malah, setakat petang ini, difahamkan selain lapangan terbang dan syarikat penerbangan, gangguan itu turut menular ke peringkat operasi bursa saham, syarikat perkhidmatan kereta api, media serta bank-bank.

Punca insiden itu, sebagaimana diakui Crowdstrike, sebuah syarikat keselamatan siber Amerika Syarikat (AS) yang memaklumkan bertanggungjawab berikutan apa didakwanya sebagai ‘kecacatan’ pengaturcaraan di peringkatnya.

Berikutan itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya George Kurtz berkata CrowdStrike sedang bekerjasama dengan pelanggan terjejas akibat kesan dalam kemas kini kandungan tunggal untuk hos Windows.

“Ini bukannya satu insiden keselamatan atau serangan siber. Malah, puncanya telah dikenal pasti, diasingkan serta usaha mengatasinya sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan disiarkan dalam laman LinkedIn.

Mengikut laporan, syarikat penerbangan seperti American Airlines, United dan Delta telah meminta bantuan pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) supaya semua penerbangan turut digantung di peringkat global.

FAA sebaliknya menyatakan sedang memantau semua isu teknikal membabitkan sistem IT di syarikat-syarikat penerbangan negara maju itu selain mengesahkan beberapa syarikat penerbangan meminta bantuan bagi menghentikan perkhidmatan berkenaan sehingga masalah itu dapat ditangani.

Sebaliknya di peringkat domestik, Malaysia Airports Holdings Bhd berkata rangkaian lapangan terbangnya di Malaysia tidak terjejas dengan gangguan IT global Microsoft.

“Bagaimanapun, beberapa rakan syarikat penerbangan kami terjejas akibat isu ini,” katanya.

Kenyataan itu jelas merujuk kepada keadaan dialami pelanggan syarikat penerbangan AirAsia

“Terkini!!! Semua sistem Daftar Masuk (dalam talian, kiosk) penerbangan #AirAsia mengalami gangguan teknikal,” kata pengguna Syahrul Azlan menerusi akaun X beliau, @syahrulazlan91.

“Mana yang perlu menaiki penerbangan dalam masa terdekat, sila datang awal ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2). Mereka yang belum ada pas penerbangan atau perlu serah bagasi, wajib beratur di kaunter,” katanya.

Akshay Kothari, melalui akaun X miliknya, @akothari  berkata: “Kegagalan Microsoft/CrowdStrike telah “menghuru-harakan” (menganggu operasi) kebanyakan lapangan terbang di India.

“Saya mendapat pas penerbangan tulisan tangan buat pertama kali hari ini,” katanya yang disertakan gambar pas penerbangan syarikat penerbangan Indigo Airlines dengan tulisan tangan berbanding biasanya cetakan komputer.

Ron Jeremy pula berkata sebuah syarikat penerbangan yang beribu pejabat di Denver, Colorado (Amerika Syarikat) – FlyFrontier telah menutup operasi sepenuhnya dan membatalkan semua penerbangan.

“Dalam beberapa jam anda akan menerima e-mel mengenai pilihan anda. Akibat masalah produk Microsoft, syarikat penerbangan ini tidak boleh beroperasi. Kakitangan mereka tidak boleh bekerja menggunakan komputer dan mereka tiada pilihan lain,” katanya di X.

Seorang lagi pengguna X, Pengarah Scowcroft Strategy Initiative, Andrew A. Michta berkata beliau terperangkap di Lapangan Terbang Athens, Greece.

“Kami diberitahu semua rangkaian Microsoft syarikat penerbangan AS tidak dapat beroperasi. Mereka tidak boleh mengeluarkan pelan pelan penerbangan…tiada apa pun yang boleh dilakukan. Saya baru sahaja menerima mesej dari seorang kenalan dari negara Eropah, beliau memberitahu bahawa rangkaian perbankan “lumpuh” di negaranya. Adakah ini serangan siber?.

Sementara itu, antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, Lapangan Terbang Heathrow London, United Kingdom berkata gangguan di peringkat global itu hanya memberi kesan kepada sistem terpilih semasa penerbangan beroperasi dan telah melaksanakan pelan kontigensi untuk meminimumkan sebarang kesan terhadap perjalanan udara.

Pihak pengendali lapangan terbang itu turut menasihatkan penumpang supaya merujuk dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat penerbangan terkini.

Di Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berkata semakannya mendapati berlaku gangguan operasi di beberapa kawasan utama di negara ini.

“Sebagai contoh, operasi KLIA2 terjejas, menyebabkan proses daftar masuk terpaksa dilakukan secara manual dan tempoh menunggu yang lama. Bank turut menghadapi gangguan sistem sehingga menjejaskan urus niaga dan perkhidmatan pelanggan.

“Ini telah menyebabkan kelewatan dan cabaran terhadap operasi merentas pelbagai sektor, menjejaskan perniagaan dan orang ramai. Kami memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan operasi secepat mungkin,” katanya

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.