Malaysia Antara 10 Destinasi Utama Mesra Kripto – Gobind

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Malaysia tersenarai antara kelompok 10 destinasi utama mesra kripto bagi kalangan nomad dan syarikat digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Ketika berkongsi kelebihan itu, beliau berkata status itu didorong oleh keunikan tenaga kerja negara dengan kos pengambilan khidmat warga tempatan adalah kompetitif berbanding negara-negara jiran.

Malah, keupayaan rakyat Malaysia menguasai pelbagai bahasa juga membolehkan negara-negara global memberi khidmat secara berkesan kepada pelanggan, katanya.

“Bagi tempoh suku pertama 2024, sebanyak 193 syarikat dianugerahkan status Malaysia Digital, separuh daripadanya adalah syarikat infoteknologi yang memanfaatkan teknologi seperti blockchain, Web3 dan kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam ucaptama di Minggu Blockchain Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Gobind turut menekankan kepentingan untuk Malaysia terus menerima guna teknologi baharu muncul seperti blockchain dan AI untuk mencipta cadangan nilai baharu.

Memetik Custom Market Insights (CMI), beliau berkata saiz pasaran teknologi blockchain global dianggarkan bernilai US$4.8 bilion (US$1=RM4.58) pada 2022 dan sekitar US$69 bilion menjelang 2032.

“Kalangan pakar menjangkakan teknologi blockchain akan menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Usaha memanfaatkan potensi blockchain itu merentasi pelbagai sektor. Kita mampu mencipta peluang baharu, meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan kedudukan sebagai ekonomi digital terkemuka, katanya.

Gobind turut menyentuh usaha Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memperkenalkan garis panduan kawal selia bursa aset digital (DAX) di bawah rangka kerja Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO).

Panduan itu memastikan rakyat mendapat akses dan berdagang token dihasilkan oleh teknologi blockchain secara sah dalam persekitaran selamat serta patuh.

“Susulan itu, lebih 840,000 rakyat Malaysia telah membuka akaun dengan DAX setakat ini yang mewakili lebih 72 peratus daripada segmen pelabur,” katanya.

— BERNAMA

Sumber asal daripada laman web TheKapital.my.

Previous ArticleNext Article

19 Syarikat Malaysia Disenarai Dalam ‘Terbaik Di Bawah Satu Bilion 2026’ Oleh Forbes Asia

SINGAPURA: Forbes Asia mengumumkan senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion 2026’ yang menampilkan 200 syarikat tersenarai kecil dan sederhana berprestasi terbaik di Asia Pasifik, dengan jumlah syarikat Malaysia dalam senarai itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 19.

Menurut Forbes Asia dalam kenyataan hari ini, lebih separuh daripada syarikat Malaysia yang disenaraikan menerima manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).

“Syarikat kecil dan sederhana yang disenaraikan dalam pengiktirafan itu pada tahun ini berjaya mengharungi cabaran ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga.

“Senarai kali ini didominasi oleh syarikat yang seiring dengan perkembangan pesat sektor teknologi dan ledakan AI global,” menurutnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, China mencatatkan jumlah syarikat tertinggi yang disenaraikan iaitu 28 syarikat, diikuti India pada kedudukan kedua melibatkan 27 syarikat.

Syarikat Malaysia, Southern Cable Group, pengeluar kabel voltan rendah dan voltan tinggi, membuat kemunculan pertama dalam senarai itu, dengan sokongan perkembangan pesat industri pusat data yang menyumbang sebanyak 15 peratus daripada hasil syarikat berjumlah RM1.8 bilion pada 2025.

Senarai ‘Terbaik di Bawah Satu Bilion 2026’ menampilkan 200 syarikat tersenarai awam daripada kira-kira 19,000 syarikat di rantau Asia Pasifik yang mempunyai jualan tahunan melebihi AS$10 juta dan di bawah AS$1 bilion.

Menurut Forbes Asia, syarikat perisian serta pembekal komponen elektronik utama dan peralatan untuk industri semikonduktor menyumbang 25 peratus daripada syarikat yang layak.

“Sebahagian syarikat lain pula memanfaatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu yang semakin berkembang dengan memenuhi permintaan industri yang meningkat terhadap peralatan dan perkhidmatan khusus,” menurutnya.

-BERNAMA