BYD Bakal Lancar Model Denza Di Malaysia Pada Suku Pertama 2025

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — BYD, pengeluar automotif dari China akan memperkenalkan subjenamanya iaitu Denza kepada pasaran Malaysia pada suku pertama 2025.

Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd Eagle Zhao berkata model baharu itu akan mengukuhkan lagi kehadiran syarikat dan menawarkan lebih banyak pilihan bagi memenuhi “permintaan besar” dalam pasaran tempatan.

“Kami akan memperkenalkan Denza yang menggunakan teknologi BYD iaitu dengan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV),” katanya selepas melancarkan varian baharu BYD Seal yang dikenali sebagai BYD Seal Dynamic, model sedan elektrik dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Atto 3.

Beliau berkata BYD tidak sabar-sabar untuk meningkatkan kerjasamanya dengan Sime Darby Motors Sdn Bhd (SDM) melebihi daripada sekadar berkongsi hak pengedaran dengan ketibaan Denza.

“Kami mengalu-alukan rakan tempatan untuk menyokong kami dalam banyak bidang bagi memperkenalkan jenama kami ke Malaysia,” katanya.

Mengenai pelancaran varian BYD Seal Dynamic baharu dan Atto 3, Zhao berkata varian baharu itu akan menyokong peralihan ke arah mobiliti yang dipacu dengan teknologi lebih mampan untuk pasaran Malaysia.

Menurut beliau, model tersebut menawarkan pilihan untuk mencari pengalaman pemanduan moden yang mesra alam.

BYD Seal Dynamic melengkapkan tiga varian Seal yang dijual pada harga bermula RM163,800 untuk kenderaan sahaja, manakala Atto 3 berharga RM149,800. Kedua-duanya boleh didapati di pasaran mulai hari ini.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.