Sarawak Rancang Bawa ‘Lipan’ Dan ‘Kerbau’ Ke Peringkat Antarabangsa


KUCHING, 14 Okt (Bernama) — Sarawak mahu mengetengahkan ciptaan tempatan iaitu dua mesin jentera penuai buah sawit yang dikeluarkan oleh Sarawak Plantation Bhd (SPB), dinamakan Lipan serta Kerbau ke peringkat antarabangsa. 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kedua-dua mesin berkenaan mampu menuai hasil sebanyak 1.2 tan metrik buah sawit dalam masa dua minit, sekali gus meningkatkan produktiviti hasil tuaian komoditi itu dalam negara. 

“Saya berbincang dengan MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) mengenai jentera ini dan ia adalah satu pemindahan teknologi, jadi kita sudah menemui satu teknologi baharu untuk menuai buah sawit.

“Saya menjemput MPOB menjadi rakan kongsi ekuiti dalam syarikat tersebut (SPB) dan kerajaan Sarawak akan menyertainya, jadi kita sudah ada hak paten, maka kita menjadi pengeluar utama dalam industri kelapa sawit apabila pasaran boleh membeli mesin kita,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT Sarawak 2024) di sini hari ini, beliau berkata SPB akan menambah baik inovasi serta fungsi jentera berkenaan sebelum ia dapat dipasarkan di peringkat seterusnya. 

Pada 9 Sept, 2024, media melaporkan mesin penuai buah kelapa sawit Lipan diperkenalkan di ladang milik SPB di Subis, yang terletak kira-kira 88 kilometer dari bandar Miri. 

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata Lipan dan Kerbau dikendalikan dengan menggunakan kawalan jarak jauh yang boleh mengurangkan kebergantungan pemain industri tempatan terhadap tenaga kerja asing susulan ia menjadi permasalahan sebelum ini. 

Premier Sarawak itu turut memaklumkan negeri berkenaan mencatatkan jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit sebanyak 3.13 juta tan metrik dengan nilai eksport mencecah lebih RM11.02 bilion sehingga Ogos 2024.

“Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding RM9.78 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023,” katanya.

Menurut Abang Johari, Sarawak merupakan negeri dengan keluasan tanaman sawit terbesar di Malaysia iaitu seluas 1.62 juta hektar. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.