Mixue Bakal Ke IPO Di Hong Kong

Perasan tak terdapat sebuah kedai aiskrim & minuman teh yang tiba-tiba tumbuh bagaikan cendawan di Lembah Klang sejak akhir-akhir ini?

Ia tidak lain tidak bukan adalah Mixue. Mixue ialah jenama rangkaian yang terutamanya memberi tumpuan kepada aiskrim dan minuman teh buatan segar. Mixue diasaskan oleh Zhang Hong Chao di Zhengzhou, China pada 1997. Setelah itu, ia terus berkembang di China dan kini telah melebarkan sayapnya di negara serantau termasuklah Malaysia.

Berdasarkan laman sesawang Mixue Malaysia, sudah terdapat lebih 300 kedai Mixue yang ada di Malaysia.

Sumber: Mixue Malaysia

Di kala banyak jenama lain juga turut membuka cawangan dengan sangat pesat di merata-rata, namun Mixue masih lagi mampu memberi saingan sengit. Nak tahu kenapa? Jawapannya adalah Mixue menjual produknya pada harga yang sangat murah.

Minuman paling larisnya iaitu air Lemonade dijual hanya pada RM3 manakala aiskrim pula dijual pada RM2. 

Bagaimana Mixue boleh menyediakan aiskrim serta minuman pada harga yang sangat murah?

Mixue mempunyai pasukan profesional yang mempunyai kepakaran membuat penyelidikan serta membangunkan produk mereka. Selain itu, Mixue juga mempunyai kilang untuk memproses bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan produknya. Oleh itu mereka mampu mengawal kos serta harga jualan.

Status Halal

Berdasarkan carian di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membawa ke portal halal Malaysia, Mixue Malaysia Sdn Berhad serta pembekal aiskrimnya iaitu Wonderfood City (M) Sdn Bhd mempunyai sijil halal.

Direktori Halal Malaysia merupakan sumber maklumat bagi mengetahui produk-produk, premis makanan dan perkidmatan yang dipersijilkan halal. Maklumat merangkumi persijilan halal yang di dalam Malaysia yang disahkan oleh Jakim dan JAIN dan juga Maklumat persijilan halal luar negara ( Persijilan Halal Malaysia Luar Negara).

Sumber: JAKIM

Namun, anda mungkin ingin memastikan cawangan-cawangan juga mempunyai sijil halal. Untuk kepastian bolehlah semak di Portal Halal Malaysia.

Sudah tahu serba sedikit mengenai Mixue, apa kata kita teruskan membaca impian Mixue untuk ke IPO di Hong Kong.

Mixue ke IPO

Menurut sumber daripada CNN, Mixue Group mempunyai hasrat untuk disenaraikan di pasaran saham Hong Kong dan dijangka akan meraih dana IPO sebesar AS$1 bilion.

Pada Januari 2024, Mixue telah menghantar prospektus kepada bursa saham Hong Kong untuk disemak. Sekiranya diluluskan Mixue bakal disenaraikan di Papan Utama Bursa saham Hong Kong (HKEX).

Dalam prospektus yang telah dihantar, Mixue menyatakan bahawa hasil bersih daripada IPO akan digunakan terutamanya untuk meluaskan rantaian bekalan, membina dan mempromosikan jenama serta IP, mempertingkatkan keupayaan digitalisasi dan kecerdasan merentasi semua segmen perniagaan, serta berfungsi sebagai modal kerja untuk tujuan korporat.

Industri minuman teh boba di China pada 2023 dianggarkan bernilai AS$20.4 bilion. 

Jangkaan bagi masa hadapan pula adalah pasaran industri ini dijangka berkembang sehingga mencecah AS$167 bilion menjelang tahun 2028.

Manakala, di peringkat global pula pasaran industri ini dijangka berkembang sehingga mencecah AS$1.1 trilion menjelang tahun 2028.

Dengan IPO tersebut sudah tentu Mixue menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan boleh diskalakan sambil membina jenama yang diiktiraf di peringkat global.

Selain Mixue Group terdapat dua lagi jenama minuman teh boba juga sedang menunggu untuk ke IPO iaitu Guming Holdings dan Auntea Jenny.

Walaubagaimanapun, ketiga-tiga syarikat ini masih menunggu kelulusan daripada pengawal selia, China Securities Regulatory Commission (CSRC) kerana kebimbangan terhadap prestasi saham syarikat minuman teh yang telah disenaraikan serta sentimen konsumer yang semakin melemah.

Prestasi Syarikat Lain

Sumber: TradingView

Sebuah syarikat rangkaian teh boba iaitu Sichuan Baicha Baidao Industrial atau lebih dikenali sebagai Chabaidao telah disenaraikan Bursa Saham Hong Kong (HKEX) pada 23 April 2024. IPO tersebut berjaya meraih dana sebanyak AS$331 juta atau HKD2.59 bilion.

Harga IPO Chabaidao adalah HKD17.50. Saham tersebut jatuh 27% pada debutnya di pasaran saham Hong Kong dan ditutup pada HKD12.80. Setelah itu, saham itu terus jatuh dan harga terkini (20 September 2024) adalah HKD5.41.

Prestasi Sichuan Baicha yang teruk menyebabkan syarikat minuman yang lain belum diberi kelulusan untuk disenaraikan pada tahun ini.

Sama-sama kita tunggu perkembangan seterusnya tentang penyenaraian Mixue ke HKEX.

Previous ArticleNext Article

Rahsia Memilih IPO Yang Berpotensi Memberikan Pulangan Lumayan

Setiap kali sebuah syarikat mengumumkan tawaran Initial Public Offering (IPO), pasti akan ada pelabur yang teruja untuk membuat permohonan. Tidak kurang juga yang berkongsi kisah memperoleh keuntungan pada hari pertama saham tersebut disenaraikan di Bursa Malaysia.

Fenomena ini menyebabkan ramai pelabur baharu beranggapan bahawa membeli IPO adalah jalan mudah untuk menjana keuntungan. Namun, adakah semua IPO pasti menguntungkan? Jawapannya sudah tentu tidak.

Walaupun banyak IPO di Malaysia mencatat prestasi positif pada hari pertama dagangan, tidak semua syarikat mampu mengekalkan prestasi tersebut dalam jangka panjang. Sebab itu, pelabur tidak sepatutnya memohon IPO hanya kerana mendengar cerita orang lain atau melihat permintaan yang tinggi. Sebaliknya, setiap IPO perlu dinilai seperti mana kita menilai mana-mana pelaburan lain.

Dalam artikel ini, kita akan melihat bagaimana pelabur boleh menilai sesuatu IPO sebelum membuat keputusan untuk melabur.

Apa Itu IPO?

IPO atau Initial Public Offering ialah proses apabila sebuah syarikat menawarkan sahamnya kepada orang awam buat kali pertama sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sebelum IPO, syarikat dimiliki oleh pengasas, pelabur awal atau institusi tertentu. Melalui proses ini, orang ramai turut berpeluang menjadi pemegang saham syarikat tersebut.

Bagi syarikat, IPO merupakan salah satu cara untuk mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan bank. Dana yang diperoleh boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti membina kilang baharu, membeli aset, mengembangkan operasi atau memasuki pasaran baharu.

Kenapa IPO Menarik Perhatian Pelabur?

Salah satu sebab utama IPO menjadi rebutan ialah potensi listing gain, iaitu keuntungan yang diperoleh apabila harga saham dibuka lebih tinggi daripada harga tawaran IPO pada hari pertama dagangan.

Sebagai contoh, jika harga IPO ialah RM0.50 sesaham dan saham dibuka pada RM0.70 pada hari pertama, pelabur yang berjaya memperoleh saham IPO berpeluang menikmati keuntungan atas kertas sebanyak 40%.

Namun, perlu difahami bahawa prestasi hari pertama bukanlah jaminan keuntungan jangka panjang. Ada juga IPO yang mencatat kenaikan pada awal penyenaraian tetapi kemudiannya mengalami penurunan apabila sentimen berubah atau prestasi syarikat tidak memenuhi jangkaan.

Jangan Mohon IPO Hanya Kerana “Ramai Orang Mohon”

Antara kesilapan paling biasa ialah membuat permohonan hanya kerana mendengar orang lain mengatakan IPO tersebut “confirm untung”.

Pelaburan yang dibuat berdasarkan sentimen semata-mata boleh menyebabkan kita mengabaikan perkara yang lebih penting, iaitu kualiti syarikat itu sendiri.

Sebelum membuat permohonan, tanya diri sendiri:

  • Apakah syarikat ini menjalankan perniagaan yang mudah difahami?
  • Adakah industrinya masih mempunyai potensi pertumbuhan?
  • Bagaimana prestasi kewangannya?
  • Untuk apa syarikat mahu menggunakan dana hasil IPO?

Jawapan kepada soalan-soalan ini jauh lebih penting daripada sekadar melihat jumlah permohonan yang diterima.

1. Fahami Perniagaan Syarikat

Perkara pertama yang perlu dinilai ialah model perniagaan syarikat. Jangan melabur dalam syarikat hanya kerana namanya popular atau mendapat liputan media.

Sebaliknya, cuba fahami:

  • apakah produk atau perkhidmatan yang ditawarkan,
  • siapa pelanggan utamanya,
  • bagaimana syarikat menjana keuntungan,
  • dan adakah perniagaan tersebut mempunyai kelebihan berbanding pesaing.

Lebih mudah kita memahami perniagaan syarikat, lebih mudah juga untuk menilai potensinya pada masa hadapan.

2. Semak Tujuan Dana IPO Digunakan

Setiap prospektus IPO akan menerangkan bagaimana syarikat bercadang menggunakan dana yang diperoleh daripada pelabur. Inilah antara bahagian yang paling penting tetapi sering diabaikan.

Secara umum, penggunaan dana yang lebih positif termasuk:

  • mengembangkan kapasiti pengeluaran,
  • membuka cawangan baharu,
  • membeli mesin atau teknologi,
  • menjalankan penyelidikan dan pembangunan,
  • atau memasuki pasaran baharu.

Sebaliknya, jika sebahagian besar dana digunakan hanya untuk melangsaikan hutang, pelabur perlu menilai sama ada syarikat benar-benar mempunyai prospek pertumbuhan atau sekadar ingin memperbaiki kedudukan kewangannya. Penggunaan dana perlu dilihat dalam konteks keseluruhan syarikat dan bukan dijadikan satu-satunya faktor membuat keputusan.

3. Nilai Kedudukan Kewangan Syarikat

Walaupun syarikat belum disenaraikan, prospektus IPO menyediakan maklumat kewangan yang cukup lengkap.

Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah:

  • pertumbuhan hasil (revenue),
  • keuntungan bersih,
  • margin keuntungan,
  • aliran tunai,
  • dan tahap hutang.

Sebagai contoh, syarikat yang menunjukkan peningkatan jualan dan keuntungan secara konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini biasanya memberi gambaran bahawa perniagaannya berkembang dengan baik.

Sebaliknya, jika keuntungan tidak stabil atau hutang terlalu tinggi, pelabur perlu membuat penilaian dengan lebih berhati-hati.

4. Lihat Prospek Industri

Kadangkala syarikat yang baik berada dalam industri yang sedang perlahan. Sebaliknya, ada juga syarikat yang masih kecil tetapi beroperasi dalam sektor yang sedang berkembang pesat.

Oleh itu, pelabur perlu melihat keadaan industri secara keseluruhan.

Sebagai contoh:

  • Adakah permintaan terhadap produk syarikat dijangka meningkat?
  • Adakah kerajaan memperkenalkan dasar yang menyokong sektor tersebut?
  • Adakah trend pengguna berubah ke arah yang memberi manfaat kepada syarikat?

Prospek industri sering memainkan peranan besar terhadap prestasi saham selepas penyenaraian.

5. Fahami Sentimen Pasaran

Sentimen pasaran juga mempengaruhi prestasi IPO. Apabila pasaran saham berada dalam keadaan positif dan pelabur optimis, kebanyakan IPO cenderung menerima sambutan yang lebih baik.

Sebaliknya, jika pasaran sedang lemah akibat ketidaktentuan ekonomi atau faktor global, walaupun syarikat mempunyai asas yang kukuh, harga saham mungkin tidak menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan pada peringkat awal.

Oleh itu, memahami keadaan pasaran semasa boleh membantu pelabur menentukan sama ada masa tersebut sesuai untuk menyertai sesuatu IPO.

Adakah IPO Sentiasa Memberikan Keuntungan?

Ini merupakan salah satu salah faham yang paling biasa dalam kalangan pelabur baharu. Walaupun banyak IPO di Bursa Malaysia pernah mencatat keuntungan pada hari pertama dagangan, tiada jaminan bahawa semua IPO akan memberikan pulangan yang sama.

Prestasi sesuatu IPO bergantung kepada pelbagai faktor seperti:

  • kualiti syarikat,
  • penilaian harga,
  • keadaan pasaran,
  • prospek industri,
  • dan sentimen pelabur.

Oleh itu, elakkan menganggap IPO sebagai “pelaburan tanpa risiko”. Setiap keputusan tetap perlu dibuat berdasarkan analisis dan bukan semata-mata kerana berharap kepada keuntungan segera.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua IPO yang ditawarkan pada masa yang sama.

Syarikat A menggunakan sebahagian besar dana IPO untuk membina kilang baharu, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengembangkan pasaran ke luar negara. Prestasi kewangannya juga menunjukkan pertumbuhan hasil dan keuntungan yang konsisten.

Syarikat B pula menggunakan sebahagian besar dana IPO untuk mengurangkan hutang sedia ada. Dalam masa yang sama, keuntungan syarikat tidak menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Walaupun kedua-duanya menawarkan harga IPO yang menarik, ramai pelabur mungkin lebih cenderung memilih Syarikat A kerana penggunaan modal tersebut lebih berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan masa hadapan.

IPO Patuh Syariah

Bagi pelabur Muslim, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah status patuh Syariah.

Status rasmi sesuatu syarikat sebagai sekuriti patuh Syariah ditentukan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui semakan berkala yang lazimnya dibuat pada bulan Mei dan November setiap tahun. Oleh itu, pelabur yang mengutamakan pelaburan patuh Syariah disarankan menyemak status terkini sebelum membuat keputusan pelaburan.

Kesimpulan

IPO sememangnya menawarkan peluang kepada pelabur untuk menjadi antara pemegang saham terawal sesebuah syarikat. Dalam keadaan tertentu, ia juga boleh memberikan pulangan yang menarik, terutamanya jika syarikat mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan disenaraikan ketika sentimen pasaran positif.

Namun begitu, kejayaan dalam melabur IPO bukan bergantung kepada nasib atau sekadar mengikuti trend. Pelabur yang bijak akan meluangkan masa membaca prospektus, memahami model perniagaan, menilai kedudukan kewangan syarikat, melihat prospek industri serta memahami bagaimana dana IPO akan digunakan.

Akhir sekali, jangan jadikan IPO sebagai tiket untuk mencari keuntungan segera. Jadikan ia sebagai satu lagi peluang pelaburan yang perlu dinilai dengan teliti seperti mana anda menilai mana-mana saham lain. Apabila keputusan dibuat berdasarkan ilmu dan analisis, peluang untuk membina portfolio yang berkualiti dalam jangka panjang akan menjadi lebih baik.