FeedMe, Syarikat Pemula Niaga Dari Malaysia Dipilih Sertai Akademi AI Google


KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — FeedMe, syarikat pemula niaga hospitaliti dari Malaysia adalah antara 23 pemula niaga dipilih dari seluruh Asia Pasifik (APAC) menyertai Akademi AI Google pertama kali diadakan di rantau ini. 

Ketua Pegawai Teknologi FeedMe, Lo King Wei berkata FeedMe sedang membangunkan platform perisian-sebagai-perkhidmatan (SaaS) dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk merevolusikan kecekapan perniagaan makanan dan minuman.

“Di FeedMe, kami membantu pemilik restoran membuat keputusan lebih pantas dan tepat untuk mengembangkan perniagaan mereka. Menerusi bimbingan daripada Akademi AI Google, kami sasar untuk mencapai keputusan transformatif untuk penyelesaian disediakan FeedMe,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. 

Sementara itu, Ketua Google untuk Startups Asia Pasifik, Michael Kim meluahkan rasa keterujaan untuk memulakan Akademi AI Google buat julung kalinya di Asia Pasifik.

“AI mempunyai potensi menghasilkan impak berganda luar biasa dan ia adalah sesuatu yang sangat mengagumkan untuk melihat 23 syarikat pemula peniaga ini memanfaatkan potensi AI bagi menangani cabaran sukar,” katanya. 

Beliau berkata pelbagai cabaran tersebut termasuk menangani sektor yang kurang menerima perkhidmatan seperti memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan, membina kolaborator AI untuk golongan peguam serta mendemokrasikan pemasaran pempengaruh dengan avatar dijana AI.

“Melalui program ini, kami berharap untuk memupuk gelombang inovasi yang akan memberi kesan membanggakan di seluruh rantau Asia-Pasifik,” katanya. 

Akademi AI direka bentuk untuk membantu syarikat pemula memperhalusi penyelesaian AI mereka dan memajukan pertumbuhan perniagaan mereka, program itu bermula minggu ini dengan kem latihan interaktif selama tiga hari di Singapura, menghimpunkan semua pengasas syarikat pemula niaga dari Malaysia dan enam negara lain iaitu Korea, Jepun, India, Indonesia, Singapura, dan Pakistan.

Syarikat pemula niaga dalam program ini akan menerima lebih 170 jam bimbingan khusus daripada pakar AI dan Cloud, sehingga US$350,000 (US$1 = RM4.30) dalam bentuk kredit Google Cloud dan peluang berhubung dengan rakan inovator AI di seluruh rantau Asia Pasifik.

Sesi kemuncak Akademi AI akan berlangsung pada bulan Disember depan dengan Hari Graduasi, pada hari berkenaan syarikat pemula niaga akan mempamerkan penyelesaian AI yang telah ditambah baik kepada para pelabur, usahawan dan pemimpin industri AI.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian