13 Jenama Yang Nak Rampas Takhta Ramly Burger

Malaysia memang terkenal dengan Burger Ramly, yang telah menjadi ikon makanan jalanan tempatan. Jenama tempatan yang diasaskan oleh Ramly Mokni ini mula terkenal pada tahun 1984. Banyak gerai burger tepi jalan menggunakan produk daging lembu dan ayam dari jenama Ramly kerana rasanya yang unik, harga berpatutan dan digemari oleh masyarakat Malaysia dari pelbagai lapisan.

Bukan sahaja terkenal di Malaysia, bahkan jenama Ramly juga dieksport ke negara-negara lain termasuk Singapura, Indonesia, dan Brunei. Justeru tidak hairanlah, populariti Ramly Burger menjadi inspirasi kepada jenama-jenama burger tempatan lain cuba untuk merampas takhtanya sebagai “King of Burger” di Malaysia. 

Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda 13 jenama tempatan yang menjadi pesaing hebat untuk Ramly Burger.

1. Syukor Burger

Syukor Burger diasaskan oleh Syukor Khamis, seorang usahawan muda yang berjaya memperkenalkan jenama burger ini ke seluruh Malaysia. Bermula kecil-kecilan, Syukor Burger kini berkembang pesat dengan lebih 100 cawangan di seluruh negara.

Burger ini dikenali dengan harganya yang berpatutan dan saiznya yang besar berbanding pesaing lain. Syukor Burger menawarkan perniagaan francais yang mudah diurus, menarik ramai peniaga baru. 

Daging burger yang tebal dan kepingan keju tambahan memberikan rasa lebih kaya. Selain itu, mereka juga menawarkan “Burger Banjir”, di mana burger disaluti dengan sos istimewa.

2. MHR Burger

MHR Burger berasal dari selatan Malaysia, dan berkembang menjadi jenama burger yang terkenal di kawasan Johor dan sekitarnya. Fokus utama mereka ialah pada konsep burger tempatan dengan rasa tradisional yang sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia.

MHR Burger menyediakan burger dengan daging buatan sendiri yang lebih lembut dan berperisa. Sos cili dan mayonis khas yang mereka gunakan juga menjadikan rasa burger lebih unik. 

Ia menawarkan burger ayam, daging, kambing, dan sotong goreng, MHR Burger juga mempunyai variasi dengan tambahan sayur-sayuran dan sos buatan sendiri.

3. GTR Burger

GTR Burger adalah entiti perniagaan yang mewakili Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia Berhad. Ia mewakili 5,000 ahli termasuk penternak ruminan iaitu lembu, kambing, rusa dan lembu tenusu.

Muncul sebagai salah satu jenama burger yang pantas berkembang, GTR Burger popular dengan konsep ‘burger jalanan’ yang menyasarkan golongan muda. GTR Burger terkenal dengan daging yang berjus dan berperisa, serta saiz yang lebih besar daripada pesaing.

Diasaskan oleh Encik Nordin Mat, kini GTR Burger berjaya mencipta nama dengan menempatkan lebih 300 gerai di seluruh negeri di Malaysia. Mereka menawarkan pelbagai jenis burger antaranya burger daging lembu dan ayam premium, dengan variasi seperti “Burger Cheese Meleleh” dan “Monster Burger” yang lebih besar daripada biasa.

4. OTAi Burger

Pengasas Otai Burger adalah Suhaimi Abas. Beliau memulakan perniagaan ini sebagai usaha kecil-kecilan menjual burger jalanan dan akhirnya berjaya membangunkan jenama ini menjadi salah satu rangkaian burger terkenal di Malaysia​.

Otai yang membawa maksud ‘Organisasi Tempat Ambil Ilmu’ diaplikasikan dari pengalaman beliau selama 20 tahun dalam dunia perniagaan burger. Jenama ini menyediakan pelbagai variasi burger, termasuk burger ‘Double Patty’, ‘Chicken Chop’ burger dan pelbagai pilihan lain yang memenuhi citarasa tempatan.

Jenama ini terdapat di pelbagai lokasi seluruh Malaysia melalui konsep francais, yang membolehkan peniaga kecil-kecilan turut menjadi sebahagian daripada keluarga OTAi Burger.

5. Dara Burger Bakar

Dara Burger Bakar mula dikenali pada tahun 2011. Kelainan dalam jenama ini ialah konsep burger bakar yang menggunakan daging yang dibakar secara langsung di atas api terbuka, memberikan rasa yang pekat dan unik.

Teknik pembakaran daging menjadkan burger Dara lebih beraroma dan lebih kaya rasa dengan pilihan daging yang lebih premium. 

Rasa daging yang dibakar pada arang dan sos istimewa Dara memberi keunikan tersendiri berbanding burger biasa. Antara produk di bawah jenama Dara adalah seperti patty daging ayam, patty daging lembu, patty daging kambing, bebola daging, dan pelbagai lagi.

6. Zamburger

Zamburger adalah salah satu jenama burger yang terkenal di kawasan utara Malaysia, berkembang pesat di Kedah dan Perlis. 

Menawarkan harga yang sangat mampu milik dengan saiz burger yang sederhana tetapi berperisa. 

Zamburger terkenal dengan variasi sos mereka yang tersendiri, seperti sos lada hitam dan sos cili pedas, memberikan pilihan rasa yang berbeza. Menu utamanya termasuklah burger ayam, daging, dan Arnab dengan pilihan tambahan keju dan telur.

7. Akie Burger

Akie Burger merupakan jenama tempatan yang fokus pada burger bersaiz besar dan rasa yang mantap. Bermula dari gerai kecil, ia berkembang ke banyak cawangan di beberapa negeri. Saiz burger yang lebih besar dan harga yang berpatutan menjadikan Akie Burger popular dalam kalangan penggemar burger. 

Mereka menyediakan pilihan burger bersaiz XXL dengan pelbagai jenis sos buatan sendiri, termasuk sos lada hitam dan keju cair. 

Antara produk di bawah jenama Akie adalah patty burger, daging kisar dan ayam kisar. Akie Burger juga ada menubuhkan program keusahawanan untuk membantu bakal usahawan yang berminat untuk berniaga burger jalanan.

8. Official Street Burger

Official Street Burger (OSB) bermula dari gerai kecil di tepi jalan dan kini berkembang pesat dengan konsep “burger jalanan” yang sangat popular di kawasan bandar.

OSB terkenal dengan burger jalanan yang ringkas tetapi sedap, menggunakan bahan-bahan tempatan yang segar dan berpatutan. 

Mereka menawarkan konsep “Do It Yourself” di mana pelanggan boleh memilih bahan tambahan mereka sendiri, menjadikan setiap burger unik. 

Tambahan Khas:

9. Burger Gaya ‘Fast Food’: Pak Mat Western (Mat Chicken & Burger)

Diasaskan oleh dua rakan karib, Pak Mat Western bermula dengan produk sejuk beku seperti kambing perap dan ayam perap. Pak Mat Western sering kali tular dengan gaya pemasaran yang kreatif dan menghiburkan.

Setelah berjaya dengan restoran Pak Mat Western yang terkenal dengan pelbagai hidangan barat versi tempatan, kini Pak Mat Western membuka anak syarikat ketiga dibawah jenamanya yang dikenali sebagai Mat Chicken & Burger. Fokus jenama ini adalah untuk menyediakan makanan segera pada harga berpatutan yang setanding dengan francais makanan segera

10. Burger Gaya ‘Fast Food’: Muiz Hot Chicken

Muiz Hot Chicken bermula dengan gerai ayam goreng secara kecil-kecilan di tepi jalan sejak Februari 2013. Jenama ini cepat berkembang dan menjadi pilihan ramai penggemar ayam goreng berempah. Dengan misi menyediakan makanan segera yang lazat tetapi dengan kualiti yang tinggi, Muiz Hot Chicken telah membina pengikut yang setia, terutamanya di kalangan generasi muda.

Menu Muiz Hot Chicken bukan sahaja fokus kepada ayam goreng, tetapi mereka telah berkembang dengan membuka restoran Muiz Hot Chicken. Restoran ini menawarkan pelbagai hidangan sampingan seperti kentang goreng, nasi lemak dan burger ayam pedas dengan sos rahsia mereka yang digemari ramai. 

11. Burger Gaya ‘Fast Food’: Darsa Fried Chicken

Darsa Fried Chicken adalah jenama yang pada awalnya fokus kepada ayam goreng tetapi mula memperkenalkan burger ayam yang sangat popular. Keistimewaan Darsa terletak pada ayam goreng ranggup yang digunakan dalam burger mereka, menjadikannya lain daripada yang lain.

Selain ayam goreng dan burger, terdapat juga menu lain seperti shawarma, bubur nasi, nugget, kentang goreng dan lain-lain. Harga set Burger Chicken Crispy Combo yang didatangkan bersama DarSA Cola dan kentang goreng bermula dengan RM17.80

12. Burger Premium: Fuel Shack

Fuel Shack merupakan jenama burger premium yang memfokuskan kepada burger gourmet dengan kualiti bahan yang lebih tinggi. 

Berbanding dengan burger tepi jalan, Fuel Shack menawarkan daging berkualiti premium dan roti yang lebih lembut, disesuaikan dengan selera moden. Bahan-bahan yang digunakan lebih segar, dan burger disediakan mengikut standard tinggi untuk mengekalkan kualiti rasa dan tekstur. 

Menu utama termasuk burger daging lembu premium, ayam goreng dan burger vegetarian. Semuanya dengan pilihan sos gourmet dan tambahan seperti avocado dan bacon.

12. Burger Premium: WoodFire

Woodfire Burger adalah jenama burger premium yang bermula di Johor Bahru. Kini, ia telah berkembang ke beberapa cawangan restoran. Apa yang menarik tentang Woodfire adalah cara mereka menyediakan burger gouremet yang penuh dengan rasa smoky, menggunakan teknik grill api kayu.

Antara menu yang paling popular ialah Smoked Beef Burger yang terkenal dengan dagingnya yang berjus dan penuh perisa. Selain itu, jenama ini juga popular dengan pelbagai pilihan milk shakes dan pilihan burger yang amat menyelerakan.

Kesimpulannya, walaupun banyak jenama di luar sana yang bersaing untuk merampas takhta Ramly Burger, namun sehingga ke hari ini  Ramly Burger masih kekal mendapat tempat tersendiri di hati rakyat Malaysia.

Jadi, jenama mana satu yang menjadi pilihan anda?

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.