Sabah Electricity Rayu Sokongan Kewangan Daripada Kerajaan Persekutuan


KOTA KINABALU, 4 Nov (Bernama) — Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) berdepan kekurangan dana dan memerlukan sokongan kewangan dari kerajaan Persekutuan bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan, kata Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Tangau dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya bekalan elektrik terputus di seluruh negeri bermula Januari 2025 kecuali kerajaan Persekutuan memberikan sokongan kewangan yang mendesak.

“Bayangkan apa yang akan berlaku kepada pasukan keselamatan, sistem perubatan dan kesihatan, operasi lapangan terbang, bekalan air, telekomunikasi, sistem pengangkutan serta keseluruhan rangkaian perkhidmatan kerajaan tanpa elektrik,” kata Tangau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran dan Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Implikasi bekalan elektrik terputus secara sepenuhnya melebihi daripada sekadar keselamatan tenaga, malah ia juga mengancam keselamatan negara, katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangannya mengenai situasi ini dalam Belanjawan 2025.

Menurut beliau tarif elektrik di Sabah kekal pada kadar disubsidi sebanyak 34.52 sen per kilowatt-jam (kWh) sejak 2014, walaupun kos pengeluaran dan pembelian tenaga semakin meningkat.

Sabah Electricity, katanya, kini hanya menghasilkan 20 peratus daripada bekalan tenaga negeri dan membeli 80 peratus lagi daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan kos purata sebanyak 43 sen per kWh.

Beliau berkata subsidi sokongan bahan bakar dan tarif kerajaan Persekutuan menampung perbezaan kos bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan dengan kerugian kira-kira 10 sen bagi setiap unit elektrik.

“Namun, tahun ini, perbezaan kos semakin besar kerana Sabah Electricity terpaksa membelanjakan lebih banyak untuk membeli diesel bagi menjana tenaga.

“Ini adalah alternatif segera bagi kelewatan dalam pengoperasian beberapa loji penjanaan yang akan beroperasi, khususnya Loji Hidro Tenom Pangi 66 megawatt (MW) yang terjejas berikutan tanah runtuh dan aliran lumpur pada Oktober 2022,” katanya.

Tangau berkata di bawah rejim peraturan berasaskan insentif, sebarang jurang dalam kos perlu dipulihkan daripada pengguna atau kerajaan melalui subsidi.

“Saya difahamkan kerajaan Sabah telah menghantar surat rayuan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tangau berkata Sabah Electricity juga akan menghantar surat rayuan yang serupa kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya dengan serta-merta.

Beliau berkata aliran tunai Sabah Electricity kini sedang mengalami defisit.

Katanya, tanpa sokongan segera, mereka tidak akan mempunyai wang untuk membayar IPP dan pembekal bahan bakar.

“Ketika itu, bekalan bahan bakar ke loji tenaga akan terhalang dan keseluruhan sistem akan runtuh,” katanya.

Tangau berkata bekalan elektrik terputus yang berpanjangan akan melumpuhkan perkhidmatan penting, berpotensi mengganggu operasi lapangan terbang, merencatkan penjagaan di hospital dan mengganggu kemudahan rawatan air yang akan memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat di Sabah.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.