OPEC+ Tambah 5.8 Juta Tong Minyak Mentah Sehari Tampung Bekalan Minyak Dari Kanada, Mexico

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka mampu menambah bekalan minyak mentah purata 5.8 juta tong sehari (bpd) sekiranya berlaku penurunan ketara bekalan minyak dari Kanada dan Mexico, menurut Rystad Energy.

Dalam satu nota peyelidikan hari ini, firma perunding tenaga itu berkata anggaran itu adalah berdasarkan tahap purata penggunaan sebelum ini. 

Ia berkata tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang akan mengenakan tarif kepada negara rakan dagangnya akan memberi kesan terhadap pengeluaran minyak dan ekonomi logistik bagi kedua-dua negara tersebut.

Trump baru-baru ini mengumumkan akan melaksanakan tarif ke atas tiga rakan dagangan terbesarnya iaitu Kanada dan Mexico sebanyak 25 peratus, manakala 10 peratus kepada China, yang dijangka akan memberi kesan global yang meluas, katanya.

Kesan Tarif dan Tindak Balas

Bagaimanapun, menurut Rystad Energy tarif 25 peratus ke atas minyak Kanada itu telah ditetapkan kepada 10 peratus, menyebabkan negara itu bertindak mengenakan tarif 25 peratus ke atas import AS bernilai US$105 bilion.

Sementara itu, Mexico dan China masih dalam proses merangka tindak balas ekoran dianggarkan bahawa sekatan ini akan mengancam 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Mexico dan Kanada.

Pengeluaran minyak mentah Mexico yang kini menyusut pula dijangka merosot lagi akibat tarif ke atas 0.5 juta bpd eksport ke AS, kata firma perunding itu.

Kapasiti OPEC+ dan Pertimbangan Pasaran

Firma itu menekankan bahawa OPEC+ mempunyai kapasiti untuk menghasilkan minyak mentah pada kira-kira 50.0 juta bpd dengan purata penggunaan sebelum ini sekitar 94 peratus dari 2010 hingga 2018.

“Jumlah aliran yang terjejas adalah kira-kira 4.5 juta bpd import AS, walaupun tidak semuanya akan terjejas.

“OPEC+ juga sedar bahawa harga minyak yang lebih tinggi hampir US$90 setong boleh mengurangkan permintaan dan menggalakkan ketidakpatuhan seterusnya menyebabkan kebocoran bekalan yang lebih tinggi ke pasaran,” katanya.

Bagi meningkatkan tahap pematuhan usaha berterusan telah dilaksanakan oleh pertubuhan itu dan ia telah pulih dengan ketara berbanding suku keempat 2024.

“Apa yang boleh dilihat kini ialah OPEC+ berkemungkinan akan menambah bekalan hanya untuk mengekalkan harga siling dan tidak mungkin menurunkan harga,” kata Rystad Energy.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OPR Dijangka Kekal 2.75 Peratus Pada 2026 Susulan Kekuatan Permintaan Domestik – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Ketahanan permintaan domestik serta tekanan inflasi yang masih terkawal dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 2.75 peratus sepanjang 2026, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana, namun gangguan berterusan di sekitar Selat Hormuz masih berpotensi menimbulkan risiko kenaikan inflasi menerusi peningkatan kos bahan api import, baja dan logistik

“Penstabilan dasar monetari dijangka terus menjadi objektif utama, manakala ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat serta kedudukan ringgit yang agak kukuh memberi ruang yang mencukupi kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah semasa,” katanya.

Bagi unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit pada akhir tahun, Kenanga IB mengekalkan sasaran pada RM3.95 berbanding dolar AS, yang didorong bukan semata-mata oleh bilangan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, sebaliknya oleh jangkaan kelemahan struktur mata wang dolar AS yang lebih meluas.

Unjuran itu turut disokong oleh kepelbagaian rizab antarabangsa, pengagihan semula portfolio pelaburan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemampanan fiskal AS.

Bank pelaburan itu berkata asas ekonomi domestik kekal menyokong, dengan deposit mata wang asing mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM305.8 bilion pada April, sekali gus mencerminkan potensi besar penukaran kepada ringgit dalam tempoh jangka panjang.

“Bagaimanapun, risiko kini dilihat lebih seimbang. Meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat boleh menyebabkan harga minyak, jangkaan inflasi dan permintaan terhadap dolar AS kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kami berpandangan perkembangan politik domestik semakin menjadi faktor penting yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.

— BERNAMA