Persidangan Kesediaan IPO Bantu PKS Meneroka Peluang Bagi Penyenaraian Awam


KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) — Persidangan The Scaling Heights: The IPO Readiness menjadi platform bagi pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneroka tahap kesediaan bagi mengumpul dana daripada pasaran modal, selain peluang dan cabaran untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

Anjuran bersama Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) dan RDS Partnership, persidangan yang diadakan di UOB Plaza 1 di sini semalam, disertai pemimpin industri, pakar kewangan dan pemilik SME.

Timbalan Presiden Kebangsaan SME Malaysia Datuk Seri Ricky Yaw Chan Choy yang merasmikan persidangan itu berkata penawaran IPO menyediakan akses kepada modal dan meningkatkan kredibiliti.

Selain itu, beliau juga menekankan keperluan untuk tadbir urus yang baik, disiplin kewangan dan matlamat yang strategik.

“Dengan lebih 30 tahun menerajui pembangunan PKS, SME Malaysia komited untuk memupuk ekosistem supaya perniagaan mempunyai akses kepada peluang kewangan, menerima perubahan digital dan membina daya tahan.

“Penawaran IPO lebih daripada sekadar mengumpul modal. Ia mengenai membina kredibiliti, mengukuhkan tadbir urus dan memastikan kejayaan perniagaan bagi tempoh jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada persidangan itu, Pengarah Penyenaraian Bursa Malaysia Bhd Leong See Meng berkongsi pandangan mengenai pasaran IPO di Malaysia.

Katanya, negara ini kekal sebagai pemimpin serantau dalam aktiviti IPO, yang disokong oleh keyakinan pelabur yang kukuh.

Beliau turut menekankan bahawa platform seperti Pasaran ACE dan Pasaran LEAP menawarkan laluan yang sesuai bagi PKS meneroka pasaran modal, membolehkan penyenaraian awam lebih mudah diakses berbanding sebelumnya. 

Persidangan yang menampilkan panel pakar industri daripada RDS, Baker Tilly Malaysia dan Axcelasia Group turut menyentuh topik penting seperti keperluan penyenaraian, tadbir urus korporat, amalan terbaik pelaporan kewangan dan strategi mengoptimakan cukai.

Sesi itu juga menyediakan bimbingan kepada PKS termasuk cara memahami proses IPO dan membantu mereka memenuhi jangkaan pengawal selia dan pelabur yang teliti.

Bagi PKS yang berminat untuk meneroka peluang IPO dan mendapatkan bimbingan tambahan, SME Malaysia ada menyediakan program tertentu, bengkel, sokongan dan nasihat.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GTA Holdings Peroleh Kelulusan Bursa Malaysia Bagi Penyenaraian Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) — Penyenggara penerbangan, GTA Holdings Bhd mendapat kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata kelulusan itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat GTA Holdings.

Beliau berkata kelulusan itu juga mencerminkan kemajuan dalam membina perniagaan sokongan penerbangan yang khusus, dengan kekukuhan keupayaan teknikal, hubungan pelanggan yang dipercayai serta kejelasan strategi pertumbuhan.

“Tawaran awam awal (IPO) ini akan membolehkan kami memperkukuh keupayaan operasi, mengembangkan perniagaan dengan menceburi segmen sokongan penerbangan lengkap serta memperluas jangkauan pasaran di Malaysia dan luar negara.

“Kami percaya langkah ini akan meletakkan GTA Holdings pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memanfaatkan peluang dalam industri penyenggaraan dan sokongan penerbangan, di samping terus memberikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut prospektus GTA Holdings, cadangan IPO itu akan melibatkan 329 juta saham, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 205 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 124 juta saham sedia ada, bersempena dengan penyenaraian di Pasaran ACE.

GTA Holdings menjelaskan terbitan awam tersebut merangkumi 64.57 juta saham untuk permohonan warganegara Malaysia, 12.91 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak, serta 127.52 juta saham melalui tawaran persendirian kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.

“Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.29 bilion saham, saham IPO itu mewakili kira-kira 25.48 peratus daripada keseluruhan asas saham syarika yand diperbesar,” katanya.

GTA Holdings memaklumkan hasil yang diperoleh daripada terbitan awam itu akan digunakan untuk membangunkan kemudahan operasi baharu, mengembangkan aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter di Asia Barat, serta mengembangkan perkhidmatan MRO bagi gear pendaratan, roda dan sistem brek pesawat.

Hasil itu juga akan digunakan untuk keperluan modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.

GTA Holdings menjelaskan kemudahan baharu itu akan menyokong pengembangan keupayaan teknikalnya dalam aktiviti MRO, memperoleh pensijilan tambahan, meningkatkan jumlah tenaga kerja serta melaksanakan inisiatif berkaitan latihan baharu.

Hong Leong Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen tawaran tunggal bagi IPO tersebut.

— BERNAMA