SC Dijangka Serah Syor Semakan Fi Kepada MoF Menjelang Akhir Mac


KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dijangka mengemukakan cadangan bagi menyemak semula levi fi daripada perantara, kepada Kementerian Kewangan (MoF) menjelang akhir Mac ini.

Pengerusi Eksekutif SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata perantara itu merujuk kepada entiti yang diberi lesen untuk menjalankan aktiviti dikawal selia membabitkan sekuriti, pengurusan dana serta nasihat pelaburan.

Beliau berkata sejak penubuhan SC pada 1993, fi terbabit tidak pernah disemak semula walaupun peranan serta tanggungjawab suruhanjaya itu telah bertambah.

Sehubungan itu, SC mencadangkan fi yang berkadar, adil dan saksama, berstruktur mengikut saiz selain mengikut kerumitan serta tahap aktiviti terbabit.

“Fi itu juga berbeza mengikut kelas (entiti). Sebagai contoh, jika anda seorang perunding unit amanah dengan bayaran adalah RM50, akan menyaksikan fi lebih RM50. Namun, SC mahu mengadakan perbincangan dan libat urus untuk melihat impaknya ke atas keuntungan anda (entiti) jika ini dilaksanakan.

“Kami tidak mahu satu kadar yang membebankan yang kemudiannya dilepaskan kepada pengguna. Bukan itu tujuannya…kami mahu entiti membayarnya, bukan pelanggan anda,” katanya pada sidang media bersempena Laporan Tahunan SC 2024 di sini, hari ini. 

Mohammad Faiz juga menegaskan tujuan semakan semula fi itu adalah bagi menampung kos operasi dan bukannya meraih untung, sejajar dengan kedudukan SC sebagai entiti yang bukan meraih keuntungan.

Ditanya mengenai tarikh penguatkuasaan fi itu, beliau berkata ada kes tertentu yang berkemungkinan dilaksanakan lebih awal menerusi perjanjian bersama manakala yang lain memerlukan pindaan peraturan serta undang-undang sedia ada.

“Apa yang penting adalah kami telah mengetengahkannya. Mungkin perubahan ini dapat dilihat pada tahun depan,” katanya.

Mohammad Faiz berkata SC akan terus mempromosikan skim insentif Pejabat Keluarga di Forest City, Johor, dalam kalangan pelabur tempatan dan asing, termasuk mengadakan beberapa siri lawatan ke Timur Tengah, bermula dengan Oman pada tahun ini dan Arab Saudi pada 2026.

“Saya mahu mengadakan perbincangan dengan pemegang saham dan pengawal selia mereka bagi mengenal pasti halangan serta keterbukaan terhadap dana yang mahu melabur di sini,” katanya.

“Kami juga berhasrat untuk menemui beberapa penggiat utama dan sudah pasti memerlukan kehadiran (secara bersemuka) di sana,” katanya.

Mohammad Faiz berkata berbanding Singapura, Johor dilihat lebih memberi manfaat dari segi harga tanah dan tenaga kerja lebih murah selain lokasi bersesuaian seperti Forest City yang berhampiran dengan republik itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840