Amalan Tubuh, Simpan Syarikat Tidak Catat Untung Perlu Dihentikan – PM Anwar


KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata budaya menubuhkan syarikat serta amalan menyimpan syarikat yang tidak mencatatkan keuntungan harus dihentikan serta merta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan melaksanakan pemantauan ketat terhadap syarikat di bawah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan setakat ini, hanya sejumlah kecil sahaja syarikat di bawah GLIC dan GLC yang ditutup.

“Tetapi, dengan prinsip ketelusan dan tatakelola, yang ditutup banyak itu di bawah agensi kerajaan, umpamanya syarikat kecil di bawah RISDA atau FELDA yang tidak memenuhi keperluan dan tujuan matlamat asal. Itu dan kalau tidak catat keuntungan, kita tutup.

“Tidak relevan bagi syarikat yang dibuka, kemudian ada ahli lembaga, kemudian ada allowance-nya (elaun), syarikatnya rugi. Jadi kita rasa ini amalan yang budaya yang tidak memberi manfaat dan harus dihentikan,” kata beliau semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai pencapaian dan keberkesanan fungsi komposisi lembaga pengarah GLIC dan GLC yang ditetapkan pencapaian dan integriti operasi pelaburan dan perkhidmatan.

Anwar berkata, pemantauan terhadap GLIC dan GLC kini dilaksanakan dengan lebih ketat lagi. 

“Ini saya boleh bagi jaminan, pada 2023 ada pemantauan secara menyeluruh dan lebih ketat dan pengurusan syarikat-syarikat ini dipertanggungjawabkan seandainya ada kelemahan untuk diperbaiki.

“Jadi untuk GLIC dan GLC, saya bagi jaminan ia (pelaksanaannya) lebih keras sekarang ini dan ia turut dijalankan kepada semua agensi-agensi kerajaan di mana sebahagiannya tidak munasabah dipertahankan,” katanya.

Mengenai isu perolehan GLIC dan GLC, Anwar berkata syarikat membelanjakan RM59 bilion iaitu 32 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan dari tahun 2020-2024 terhadap syarikat Bumiputera termasuk dari segi peluang pekerjaan, latihan dan pendidikan melalui program pembangunan vendor Bumiputera GLC di Malaysia.

“Contohnya, anak syarikat UEM Group menggunakan rangka kerja Malaysian Productivity Business Excellence untuk membantu perniagaan memperoleh persijilan seperti ISO dan menyertai anugerah industri seperti Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Kecemerlangan Prestasi Global untuk memperkukuh daya saing mereka di pasaran,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, GLC dan GLIC turut komited menyokong kebajikan pekerja dan kesejahteraan komuniti selain membantu golongan rentan dan keluarga yang ditimpa bencana dan menyokong pemulihan semula bandar raya Kuala Lumpur.

Manakala di bawah program Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35), GLIC dan GLC diberi peranan khusus untuk menyumbang kepada agenda Bumiputera melalui pelaburan dalam syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, program pembangunan vendor serta program pembangunan modal insan Bumiputera.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA