Mekanisme Penyasaran Subsidi RON95 Masih Diperhalusi, Sistem MyKad Dalam Pertimbangan – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 sedang diperhalusi yang akan melibatkan harga dua peringkat dengan kemungkinan menggunakan sistem MyKad, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata kerajaan tidak mahu membuat sebarang pra-pengumuman mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada masa ini dan dijangka mengumumkannya selepas separuh pertama tahun ini.

“Perkara paling penting yang kami ingin pastikan ialah sistem itu kukuh. Kami akan menggunakan harga dua peringkat: harga tidak bersubsidi dan harga bersubsidi.

“Lebih 85 peratus rakyat akan mendapat harga bersubsidi. Itulah pendekatan penyasaran subsidi di Malaysia,” katanya pada sidang media pada pelancaran sistem pembayaran terbuka RapidKL Atas Permintaan (On-Demand) Prasarana hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata sistem MyKad yang akan digunakan dalam penyarasan subsidi boleh berpandukan sistem yang digunakan dalam pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Buat masa ini, seramai 700,000 orang (menerima SARA) dan bermula minggu depan akan dinaikkan kepada 5.4 juta orang yang akan mendapat (SARA) dan mereka menggunakan MyKad.

“Terdapat lebih 3,500 kedai runcit dan pasar raya yang boleh menggunakan sistem MyKad untuk SARA. Oleh itu, kalau kita boleh menggunakan MyKad untuk 5.4 juta orang dengan 3,500 kedai, ia tidaklah berbeza jika kita menggunakannya untuk RON95 juga,” katanya. 

Pada masa ini, seramai 700,000 orang menerima SARA berjumlah RM50 hingga RM100 sebulan yang digunakan untuk membeli barang menggunakan sistem MyKad. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama