Trump Umum Tarif Asas Kepada Semua Negara  Termasuk Malaysia Sebanyak 24 Peratus

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Presiden Donald Trump semalam mengumumkan Amerika Syarikat (AS) akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

Langkah ini boleh menyebabkan ekuiti Asia berada dalam tekanan apabila pasaran kewangan dibuka pada Khamis.

“Walaupun ini menyebabkan peningkatan awal di peringkat global, sentimen di Asia dijangka menyusut apabila pasaran menilai tarif lebih tinggi yang tertumpu kepada negara tertentu termasuk China, yang berdepan 34 peratus tarif ke atas import dan 24 peratus duti Jepun.

“Vietnam dan Kemboja mengalami tarif yang lebih tinggi, masing-masing pada 46 peratus dan 49 peratus,” kata pelabur dan penganalisis makro global ActivTrades Anderson Alves dalam komentar pasaran.

Alves berkata persekitaran enggan mengambil risiko yang meluas dijangka berlaku di pasaran Asia pada Khamis, dengan dolar AS diunjur mengatasi mata wang serantau.

Sektor teknologi dan semikonduktor dijangka mencerminkan penurunan yang berlaku di pasaran AS, dengan indeks Nasdaq berteknologi tinggi mengakhiri peningkatan awal apabila ditutup tiga peratus lebih rendah.

“Operator pasaran akan memantau dengan teliti reaksi China terhadap tarif AS yang diumumkan. Sebahagiannya menjangkakan China akan mengurangkan pelaburan di AS untuk memperkukuh kedudukan rundingannya dalam rundingan perdagangan AS,” katanya.

Menurut Rumah Putih,  AS akan memberikan respons terhadap sebarang cubaan untuk mengambil tindak balas terhadap duti yang dikenakan.

Katanya pergelutan perdagangan mungkin menjadi pemacu utama bagi pasaran hari ini dan sepanjang minggu ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.