Petronas Akan Buang 5,000 Pekerja, Selepas Keuntungan Merosot 32% Pada Tahun 2024

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mengurangkan 10 peratus kakitangannya disebabkan keadaan operasi yang mencabar, terutamanya akibat kejatuhan harga minyak mentah.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, setakat ini seramai 5,000 orang staf terlibat dalam proses pelarasan semula (right-sizing), dan mereka yang terkesan akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Petronas 2.0 akan dijalankan dengan cara yang berbeza; dari segi pengurusan, susunan kerja, dan cara kerja. Untuk bergerak ke arah ini, kita perlu betulkan proses kerja yang sedia ada,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat mensasarkan operasi yang lebih ringkas dan fleksibel, walaupun harga minyak naik sehingga AS$100 setong. (AS$1 = RM4.23).

“Ada asas dan unjuran yang menyokong perancangan ini. Berdasarkan sejarah, semasa medan minyak lebih mudah diuruskan dahulu, margin untung sebelum cukai Petronas berada pada sekitar 35 hingga 40 peratus.

“Kini, margin tersebut berada di antara 25 hingga 38 peratus dan dijangka terus menurun. Sumber minyak pun makin kecil. Jadi Petronas 2.0 perlu berubah menjadi organisasi yang boleh menjana keuntungan dari setiap molekul minyak dan gas – bukan hanya dalam negara, tetapi juga di luar negara,” katanya.

Bajet Petronas dibuat berdasarkan harga minyak Brent antara AS$75 hingga AS$80 setong. Namun kini harganya menghampiri AS$65 – turun kira-kira 13 peratus tahun ini disebabkan ketegangan perdagangan global dan peningkatan pengeluaran oleh OPEC+.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Petronas mencatat keuntungan bersih RM55.1 bilion. Turun 31.7 peratus berbanding RM80.7 bilion tahun sebelumnya. Penurunan ini disebabkan harga jualan purata yang lebih rendah dan pelarasan cukai yang lebih baik pada tahun 2023.

Mengenai Petronas Petroleum Sarawak Bhd (Petros), Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas kekal terbuka untuk terus berbincang mengenai peranannya di negeri itu.

Pada 21 Mei 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani Pengisytiharan Bersama, menyatakan bahawa Petronas akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturan berkaitan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, beberapa prinsip utama telah dipersetujui untuk menyokong rundingan seterusnya antara Petronas dan Petros.

Pengisytiharan Bersama itu mengiktiraf undang-undang persekutuan dan negeri, perjanjian sedia ada, serta keperluan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.

Di bawah pengisytiharan ini, kerajaan negeri Sarawak melantik Petros sebagai pengumpul gas rasmi berkuat kuasa 1 Mac 2025. Petronas dan Petros juga akan mengadakan perbincangan lanjut untuk memperluas kerjasama dalam memenuhi keperluan gas Sarawak di beberapa kawasan.

Sumber: BERNAMA

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Kerajaan MADANI Sasar Senaraikan 10 Syarikat Bumiputera Di Bursa Malaysia Pada 2026, 2027

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 syarikat Bumiputera disasar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2026 dan 2027, dengan empat daripadanya berada dalam perancangan bagi disenaraikan tahun ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penyenaraian itu susulan hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sasaran itu jauh melebihi pencapaian lima tahun sebelumnya.

“Bagi menyokong sasaran berkenaan, program ’10 Juara Bumiputera’ hasil kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan 10 syarikat Bumiputera bernilai RM500 juta setiap satu menjelang 2028,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Fahmi berkata ekosistem PETRONAS, GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan salah satu penyumbang penting kepada agenda pembangunan bumiputera negara.

Beliau berkata, ekosistem berkenaan telah menyumbang RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lalu, merangkumi pelaburan langsung, perolehan vendor, pembangunan bakat dan komuniti.

“Pada masa yang sama, garis panduan baharu pembangunan vendor Bumiputera turut diperkenalkan bagi memperkukuh saluran pembangunan vendor serta meningkatkan kapasiti mereka secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga sedang meneliti cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar tempoh bayaran GLC dan GLIC kepada vendor tempatan dipendekkan bagi memastikan aliran kewangan atau ‘cash flow’ syarikat dan vendor tempatan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai prestasi operasi pelabuhan persekutuan bagi suku pertama tahun ini yang mencatat 8.002 juta unit setara 20 kaki (TEU), menunjukkan peningkatan 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini dipacu oleh peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindahan ke kapal atau transshipment yang mencatat pertumbuhan 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025,” katanya.

Beliau berkata, kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutama bagi kargo am yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering yang bertambah sebanyak 3.55 peratus.

“Prestasi ini amat membanggakan walaupun ketika negara berdepan dengan krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula sekitar suku pertama tahun ini,” katanya.

— Berita Harian