Jadual Elektrik Baharu: Lebih 23.6 Juta Pengguna Domestik Semenanjung Nikmati Kadar Lebih Adil 

KUALA LUMPUR, 20 Jun  (Bernama) — Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan oleh kerajaan, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, ST mengumumkan penetapan tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025 hingga 31 Dis, 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen berikut:

  • (i) kadar purata tarif asas;
  • (ii) jadual tarif baharu; dan
  • (iii) mekanisme pelarasan kos bahan api

Penyelarasan Kadar Purata Tarif Asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, tambah ST.

ST menjelaskan berdasarkan pelarasan itu, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).

Perubahan Struktur Tarif Elektrik Merangkumi Kategori Pengguna, Caj dan Insentif

Pengenalan jadual tarif baharu itu meliputi perkara berikut:

  • (i) perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana dan tinggi; dan
  • (ii) penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.

Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemat, jelas ST.

Melalui insentif itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.

Pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif tersebut.

Menurut ST, selain itu, skim Masa Penggunaan (TOU) telah diselaraskan dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan mulai 10 malam sehingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat.

“Ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan lestari. Sekiranya pengguna menggunakan waktu di luar puncak, pengguna dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak,” jelas ST.

ST memaklumkan bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara, kerajaan bersetuju supaya:

  • (i) tarif spesifik digunakan bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel atau “traction”;
  • (ii) pemberian rebat sebanyak 10 peratus bagi institut berdaftar pengajian tinggi, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat; serta
  • (iii) penerusan Program Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik yang berhampiran.

ST berkata secara keseluruhan, pendekatan itu bertujuan menggalakkan inisiatif kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu yang memberi manfaat bersama melalui sistem tenaga yang lebih efisien dan mampan.

Bagi tujuan itu, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci.

Susulan pelaksanaan jadual tarif baharu itu, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan malah pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga, menurut suruhanjaya itu.

Pembaharuan Mekanisme Pelarasan Kos

Bagi komponen caj tenaga, mekanisme pelarasan kos bahan api baharu yang lebih dinamik iaitu Automatic Fuel Adjustment (AFA) akan menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Mekanisme ini membolehkan pelarasan kos penjanaan dilaksanakan secara automatik berdasarkan harga bahan api di pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang asing. Maklumat tersebut akan dilaporkan setiap bulan di laman sesawang ST.

Pelaksanaan dan khidmat sokongan bagi pengguna

Jadual tarif baharu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025 dan diselaraskan dalam bil elektrik bermula penggunaan Julai 2025.

Perincian kadar serta kategori baharu (jika berkaitan) boleh disemak melalui saluran berikut:

  • Anggaran kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang boleh diakses seawal-awalnya mulai Isnin, 23 Jun, 2025 melalui laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff

Pengguna digalakkan menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, e-mel ke [email protected] atau melalui platform rasmi TNB yang lain untuk sebarang pertanyaan lanjut

Komitmen Suruhanjaya Tenaga

Sebagai badan kawal selia tenaga di Semenanjung Malaysia, ST komited untuk memastikan pelaksanaan tarif berdasarkan prinsip adil, telus dan mampan bagi memenuhi keperluan dan mengimbangi kepentingan semua pengguna tenaga.

Penstrukturan dan penyelarasan secara menyeluruh itu merupakan langkah penting bagi merealisasikan serta memperkukuh agenda peralihan tenaga negara yang saksama dan inklusif.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.