Guna Akaun 2 KWSP Untuk Insurans Kesihatan: Penyelesaian atau Sekadar ‘Panadol’?

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan cadangan membolehkan pencarum KWSP menggunakan Akaun 2 mereka untuk membayar premium insurans/takaful kesihatan. Cadangan ini mencetuskan reaksi bercampur daripada rakyat — ada yang menyambut baik, namun ramai juga yang meluahkan rasa tidak puas hati.

Di atas kertas, inisiatif ini kelihatan munasabah. Objektifnya jelas: bantu rakyat mendapatkan rawatan perubatan dengan lebih pantas dan berkualiti, tanpa perlu menunggu berbulan-bulan di hospital kerajaan atau menghabiskan simpanan sendiri secara tiba-tiba apabila jatuh sakit.

Tetapi, adakah ini benar-benar penyelesaian jangka panjang? Atau sekadar penyelesaian sementara kepada masalah yang lebih besar?

64% Rakyat Malaysia Tak Cukup Simpanan Persaraan

Hanya 36% rakyat Malaysia mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Ini bermakna, majoriti rakyat berisiko menghadapi kesempitan kewangan apabila bersara. Dalam keadaan ini, memotong lagi sebahagian dari Akaun 2 — walaupun untuk tujuan insurans/takaful — menimbulkan persoalan: mampukah rakyat menampung keperluan jangka panjang dengan baki yang ada?

Kos Perubatan Terus Meningkat, Tapi Masalah Asas Belum Diselesaikan

Satu perkara penting yang tidak boleh diabaikan ialah kos rawatan kesihatan di Malaysia yang terus meningkat dari tahun ke tahun.

  • Pemeriksaan asas di klinik swasta boleh mencecah ratusan ringgit.
  • Rawatan penyakit kritikal seperti kanser atau masalah jantung boleh menelan belanja puluhan ribu ringgit.
  • Ramai juga yang beralih ke hospital swasta kerana hospital awam terlalu sesak — tapi itu datang dengan harga yang lebih mahal.

Dalam keadaan ini, ramai melihat ini sebagai reaksi kepada sistem yang tidak mampu menampung beban rawatan, bukannya reformasi menyeluruh kepada sektor kesihatan.

Sukarela, Tetapi Mungkin Satu-Satunya Pilihan?

Walaupun kerajaan menekankan bahawa pilihan ini nanti adalah bersifat sukarela, realitinya kebanyakan rakyat tidak mempunyai alternatif lain. Tanpa insurans/takaful, mereka berisiko terpaksa mengeluarkan ribuan ringgit daripada simpanan — sama ada dari KWSP atau poket sendiri — apabila berlaku kecemasan.

Dengan hanya menggunakan sekitar 1% daripada Akaun 2, ini dilihat sebagai cara untuk mendapatkan perlindungan asas pada kadar mampu milik. Tetapi sekali lagi, ia bergantung kepada kefahaman, kesedaran, dan kemampuan rakyat untuk membuat pilihan yang bijak.

Tanpa kawalan terhadap kenaikan harga perubatan, apa jua bentuk perlindungan akan tetap menjadi beban jangka panjang kepada rakyat — dan akhirnya kepada simpanan KWSP itu sendiri.

Perlindungan Hari Ini vs Risiko Hari Esok

Soalnya kini bukan sekadar setuju atau tidak.

Kita perlu menilai secara objektif:

  • Adakah lebih baik guna sedikit dari Akaun 2 hari ini untuk miliki perlindungan perubatan?
  • Atau tunggu apabila sakit dan terpaksa keluarkan sejumlah besar untuk rawatan — mungkin sehingga habis semua simpanan?

Dalam ekonomi yang tak menentu, keputusan sebegini bukanlah mudah.

Apa Rakyat Boleh Buat untuk Tambah Simpanan?

Walaupun isu struktur seperti gaji rendah dan kos sara hidup tinggi sering dibangkitkan (dan memang wajar), kita masih boleh mengambil beberapa langkah praktikal untuk memperbaiki simpanan persaraan masing-masing:

  1. Tingkatkan caruman sukarela KWSP
    Ramai tak tahu, anda boleh buat caruman tambahan ke KWSP selain potongan gaji wajib. Walaupun kecil — RM50 atau RM100 sebulan — ia boleh berganda melalui kuasa faedah compounding jangka panjang.
  2. Manfaatkan saluran pelaburan patuh Syariah
    Gunakan platform seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji atau dana ETF patuh Syariah. Tetapkan auto debit supaya tak perlu tunggu ‘baki lebih’ baru menyimpan.
  3. Kurangkan hutang berfaedah tinggi
    Hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan paling popular sekarang – ansuran ‘beli dulu bayar kemudian’ (BNPL) boleh menjejaskan potensi simpanan. Selesaikan hutang-hutang ini dahulu untuk beri ruang lebih kepada simpanan jangka panjang.
  4. Jangan kena tipu!
    Ramai yang terjebak dengan skim cepat kaya atau pelaburan palsu sebab kurang pendedahan. Tak perlu tunggu kena tipu baru nak belajar — mula dengan benda mudah: tengok video YouTube/Telegram yang trusted, baca buku kewangan santai, atau masuk kelas asas pelaburan. Ilmu ini yang akan bantu kita buat keputusan bijak.
Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA