
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih MISC Bhd untuk suku kedua berakhir pada 30 Jun 2025 susut kepada RM464.40 juta berbanding RM545.90 juta yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pendapatan menurun kepada RM2.72 bilion daripada RM3.33 bilion disebabkan oleh prestasi lemah dalam pelbagai segmen seperti kejuruteraan marin dan berat.
Pihak lembaga telah meluluskan dividen yang dikecualikan cukai kedua sebanyak lapan sen sesaham untuk fiskal 2025, yang perlu dibayar menjelang 25 Sept 2025. Tarikh tanpa dividen adalah pada 9 September.
MISC melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pendapatan kejuruteraan marin dan beratnya adalah berjumlah RM431.6 juta bagi suku tahun yang ditinjau, merosot 52 peratus berbanding RM900 juta pada suku tahun sebelum ini berikutan pendapatan yang lebih rendah daripada projek-projek kejuruteraan berat yang berterusan, dengan beberapa projek hampir siap dan projek yang baru dapat pula masih di peringkat awal pelaksanaan.
Aset-aset dan penyelesaian gas menyaksikan penurunan pendapatan sebanyak 23.8 peratus kepada RM524.4 juta pada suku kedua 2025 disebabkan oleh tempoh hasil yang kurang memberangsangkan daripada penamatan kontrak, pelupusan kapal dan kadar pajakan yang lebih rendah pada suku semasa.
Selain itu, segmen petroleum dan produk turut memberi kesan ke atas prestasi kumpulan selepas sumbangan pendapatannya merosot 1.7 peratus kepada RM1.29 bilion daripada RM1.32 bilion.
“Ini didorong oleh kesan tukaran dari pengukuhan ringgit berbanding dolar US pada suku semasa,” katanya.
Sementara itu, untuk tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2025, MISC mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM1.17 bilion berbanding RM1.30 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan jatuh kepada RM5.54 bilion daripada RM6.97 bilion.
Mengenai unjuran, terutamanya dalam segmen kejuruteraan marin dan berat, peningkatan krisis perdagangan dan geopolitik yang berpanjangan serta perubahan dasar dijangka akan terus menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dengan menggagalkan rantaian bekalan, mengubah aliran perdagangan dan menyebabkan sentimen pelaburan menjadi lebih berhati-hati.
“Pada masa yang sama, sub-segmen marin akan sentiasa mendapatkan projek pembaikan dan ubah suai kapal, sambil meningkatkan infrastruktur limbungan termasuk mengoptimumkan kecekapan operasi bagi mengekalkan daya saing jangka panjang,” katanya.
Untuk segmen petroleum dan produk, pasaran kapal tangki mentah dijangka kekal stabil sehingga penghujung 2025, yang disokong oleh tinjauan bekalan yang seimbang.
“Ini dipacu oleh prospek dalam peningkatan eksport OPEC+, khususnya ke arah musim dingin yang lebih ekstrem serta pengembangan armada yang sederhana, yang dijangka kekal terhad dan membantu mengekalkan kestabilan pasaran,” katanya.
— BERNAMA














