Bursa Malaysia Tegur Ecobuilt, Denda Dua Bekas Pengarah RM200,000 Seorang

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran awam kepada Ecobuilt Holdings Bhd (ECOHLDS) dan dua bekas pengarahnya berikutan melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Selain itu, dua bekas pengarah berkenaan dikenakan denda sebanyak RM200,000 setiap seorang.

ECOHLDS diberikan teguran awam kerana gagal membuat pengumuman segera berhubung perintah penggulungan bertarikh 24 Julai, 2024 terhadap syarikat berkenaan.

Syarikat itu juga gagal membuat pengumuman segera mengenai rayuannya kepada Mahkamah Rayuan pada 25 Julai, 2024 serta saman dalam kamar untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggulungan pada 26 Julai, 2024 yang difailkan di Mahkamah ‘Tinggi.

ECOHLDS juga didapati memutarbelitkan fakta dalam pengumumannya pada 24 Julai, 2024 dan gagal memastikan pengumuman itu berdasarkan fakta, tepat serta tidak palsu atau mengelirukan.

Dua bekas pengarah pada masa berkenaan iaitu Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Ng Choon Keith dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Ong Chee Koen dikenakan penalti kerana membenarkan ECOHLDS melakukan pelanggaran tersebut.

Ng dan Ong masing-masing menerima teguran awam serta denda sebanyak RM150,000 bagi pelanggaran berkaitan kelewatan dan RM50,000 bagi pelanggaran berkaitan putar belit fakta.

Bursa Malaysia Securities berkata keputusan berkenaan dibuat setelah proses sewajarnya diselesaikan dan setelah mempertimbangkan semua fakta termasuk kepentingan serta kesan pelanggaran tersebut terhadap pemegang saham dan pelabur.

“Bursa memandang serius pelanggaran ini kerana pendedahan maklumat material yang tepat pada masanya, lengkap dan tepat merupakan kunci kepada pasaran yang telus, teratur dan adil,” katanya.

Ia juga mengingatkan ECOHLDS dan ahli lembaga pengarahnya tentang tanggungjawab korporat mereka untuk mengekalkan piawaian yang sesuai serta akauntabiliti kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur.

Pada 24 Julai, 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohon an ECOHLDS untuk menangguhkan petisyen penggulungan dan mengeluarkan perintah penggulungan terhadap syarikat tersebut.

Bagaimanapun, ECOHLDS gagal membuat pengumuman segera mengenai perintah penggulungan itu dan selanjutnya memutarbelitkan kenyataan dalam pengumuman 24 Julai iaitu Mahkamah Tinggi mengarahkan penangguhan petisyen penggulungan berkenaan.

ECOHLDS hanya mengumumkan perintah penggulungan pada 29 Julai, 2024 selepas kelewatan selama tiga hari pasaran dan mengumumkan maklumat lanjut mengenai perintah penggulungan seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia Securities pada 30 Julai, 2024 dan 1 Ogos, 2024.

Walaupun perdagangan sekuriti syarikat digantung pada 9 Ogos, 2024, ECOHLDS tidak disenaraikan memandangkan terdapat rayuan dan permohonan penangguhan.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan perintah penggulungan pada 11 Sept, 2024.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.