Keuntungan Bersih Nestle Malaysia Bagi Suku Ketiga Meningkat Kepada RM114.0 Juta

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle) meningkat kepada RM114.0 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2025 (S3 2025) daripada RM85.4 juta setahun sebelumnya.

Perolehan melonjak 21.9 peratus kepada RM1.76 bilion daripada RM1.45 bilion pada suku yang sama sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestle berkata pertumbuhan itu disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport, disokong oleh asas perbandingan yang rendah pada suku ketiga 2024.

“Prestasi kumpulan itu membuktikan bahawa strategi komersial dan keupayaan pengedarannya yang terus relevan, disokong oleh kepercayaan pengguna yang berterusan terhadap jenamanya.

“Ia kekal komited untuk memenuhi jangkaan rakyat Malaysia terhadap kualiti, rasa dan nutrisi, sambil mengukuhkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kemampanannya,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2025, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM387.50 juta berbanding RM374.52 juta setahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM5.20 bilion daripada RM4.75 bilion sebelumnya.

Nestle berkata pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik dan pengembangan dua digit dalam jualan eksport, sekali gus mencerminkan daya saing kumpulan itu di peringkat global dalam portfolio produk keluaran Malaysia yang 100 peratus diperakui halal.

Oleh itu, kumpulan itu mengesahkan semula panduan terdahulu dan kekal komited untuk memberikan nilai mampan melalui inovasi, kecemerlangan operasi dan strategi yang berpusatkan pengguna.

Katanya, janji untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang saham dan mencipta nilai yang bermakna kepada semua pihak berkepentingan kekal menjadi keutamaan kumpulan itu, disokong oleh produk diperakui halal buatan Malaysia. — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Besar Diumumkan Semasa Lawatan Perdana Menteri New Zealand, Tuan Yang Terutama Christopher Luxon ke Malaysia

Kuala Lumpur, 28 Oktober 2025 – Syarikat tenaga boleh diperbaharui yang beribu pejabat di Malaysia, Yinson Renewables, telah mengumumkan rancangannya untuk melabur di New Zealand menerusi rangkaian projek tenaga boleh diperbaharui yang dijangka menghasilkan sekitar 1GW tenaga bersih.

Selama empat tahun yang lalu, Yinson telah membangunkan rangkaian projek tenaga angin di New Zealand dengan sokongan Invest New Zealand, agensi kerajaan yang bertanggungjawab menarik pelaburan ke negara tersebut.

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan yang amat bermakna ini daripada kerajaan New Zealand, yang menandakan satu langkah penting dalam perkembangan Yinson Renewables di negara tersebut. Kami mempunyai komitmen jangka panjang terhadap New Zealand dan akan terus komited untuk menjalin kerjasama erat dengan kerajaan New Zealand, rakan kongsi tempatan serta komuniti bagi menyokong aspirasi tenaga boleh diperbaharui negara itu,” kata Encik Lim Han Weng, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson.

Sementara itu, satu lagi pelaburan signifikan dalam infrastruktur pelancongan New Zealand telah disahkan pada hari Selasa oleh konglomerat infrastruktur Malaysia, YTL Corporation Berhad. YTL Hotels telah memperoleh Hotel Indigo yang mempunyai 225 bilik di Auckland melalui perjanjian bernilai NZD $160 juta (~ RM388 million), menjadikannya pelaburan hotel pertama syarikat itu di New Zealand. Perjanjian ini juga merupakan transaksi hotel kedua terbesar yang direkodkan di negara tersebut tahun ini.

“Pengambilalihan ini mengukuhkan komitmen jangka panjang YTL Hotels terhadap sektor pelancongan dan hospitaliti di rantau ini, selain mencerminkan keyakinan Kumpulan terhadap daya tahan ekonomi pelancongan New Zealand,” kata Datuk Mark Yeoh, Pengarah Eksekutif YTL Hotels.

Kedua-dua pelaburan ini telah menerima kelulusan daripada Pejabat Pelaburan Luar Negara New Zealand. “Pengumuman pelaburan seperti ini membuktkan bahawa New Zealand dilihat sebagai destinasi pelaburan yang berwibawa oleh pelabur global berkualiti tinggi, selain menawarkan peluang pelaburan yang luas merentasi pelbagai sektor,” ujar Benny Goodman, Pengurus Besar Invest New Zealand.

Majlis pengumuman pelaburan tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri New Zealand, Tuan Yang Terutama Christopher Luxon, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Pelaburan New Zealand, Yang Berhormat Nicola Grigg dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong.