Capital A Gagal Peroleh Kelulusan Bursa Bagi Lanjutan Tempoh Lengkapkan Pengagihan Saham

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Capital A Bhd tidak menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd bagi lanjutan tempoh untuk melengkapkan pengagihan saham yang dicadangkan, namun ia tetap dilaksanakan serentak dengan tawaran saham persendirian AirAsia X Bhd (AAX).

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, seperti yang diumumkan pada 31 Dis, 2025, pengagihan saham tersebut dicadangkan untuk diperuntukkan dan diterbitkan oleh AAX secara serentak dengan tawaran saham yang akan diterbitkan seiring dengan tawaran saham persendirian AAX.

“Lembaga pengarah bercadang untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham yang akan diagihkan itu secepat mungkin apabila ia diperuntukkan dan diterbitkan secara serentak dengan tawaran saham persendirian AAX,” katanya.

Bagi mengelakkan sebarang keraguan, ia berkata Capital A meneruskan pengumuman mengenai tarikh kelayakan berdasarkan anggapan iaitu terdapat tempoh mencukupi bagi para pelabur yang dikenal pasti untuk mengemukakan dokumentasi yang diperlukan.

Syarikat itu berkata pada masa pengumuman tarikh kelayakan berkenaan, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan pelabur yang dikenal pasti tidak akan dapat memenuhi tarikh akhir seperti yang ditetapkan oleh AAX.

Katanya, sesuatu yang munasabah untuk menjangkakan tawaran saham persendirian AAX akan diselesaikan dalam tempoh yang diluluskan iaitu selewat-lewatnya pada 31 Dis, 2025, seiring dengan sasaran tarikh penyelesaian AAX.

“Selain itu, pengumuman tarikh kelayakan merupakan langkah yang perlu bagi membolehkan Capital A mengemukakan permohonan tambahan kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah sampingan selaras dengan Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

“Permohonan ini berkaitan dengan pengurangan modal saham terbitan syarikat susulan pengagihan tersebut yang berjumlah kira-kira RM2.7 bilion, berdasarkan harga pasaran penutup saham AAX sebanyak RM1.62 pada tarikh kelayakan,” katanya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kajian Segmen Pasaran SC Perkukuh Rangka Kerja Pasaran Awam

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula serta Kertas Respons, memperkenalkan penambahbaikan bersasar terhadap rangka kerja pasaran utama.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses kepada penyenaraian awam bagi penerbit, di samping memperjelas peranan serta memperkukuh pembezaan antara setiap segmen pasaran seperti berikut:

  • Pasaran Utama  – Pasaran utama bagi syarikat lebih besar dan dikenali
  • Pasaran ACE        – Pasaran bagi syarikat kecil dan sederhana yang berfungsi sebagai laluan peralihan ke Pasaran Utama

Penambahbaikan ini adalah susulan proses rundingan awam yang telah selesai  pada Disember 2025 di bawah kajian segmentasi pasaran, dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Cadangan yang diterima pakai bagi Pasaran Utama akan berkuat kuasa pada 3 Jun 2026 melalui Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan SC terhadap pengawalseliaan yang bersesuaian dengan tujuan (fit-for-purpose) — seimbang, memudah cara serta responsif terhadap  evolusi model perniagaan.

“Usaha ini menyokong inisiatif lebih luas SC dalam meningkatkan kecekapan kawal selia dan kecemerlangan tadbir urus seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030,” katanya.

Penambahbaikan utama termasuk:

  • Pasaran Utama: Keperluan keuntungan yang lebih tinggi, kualiti pelaporan kewangan yang diperkukuh, penambahan fleksibiliti dalam penilaian aliran tunai operasi serta peluasan kelayakan bagi penyenaraian berasaskan infrastruktur.
  • Pasaran ACE: Diperkukuh sebagai pasaran berasaskan penaja (sponsor-driven), dengan keperluan rekod prestasi minimum dua tahun selepas penyenaraian sebelum boleh dipindahkan ke Pasaran Utama, pemansuhan pengecualian terhadap penajaan dan moratorium, serta pengenalan keperluan peruntukan pegangan saham awam minimum.

Dato’ Faiz menambah, “Secara keseluruhannya, segmentasi yang lebih jelas ini memperkukuh pembezaan antara lapisan pasaran, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan peralihan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk berkembang daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.”

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman berikut: