Siapa Sebenarnya ‘Dalang’ Yang Tentukan Harga Emas Dunia?

Bila harga emas melambung naik, ada yang akan cakap:

“Ni mesti kedai emas saja-saja naikkan harga.”

Bila harga emas turun, ada pula yang kata:

“Emas ni dah tak laku la…”

Sebenarnya, harga emas yang kita nampak di Malaysia tu bukan ditentukan sesuka hati oleh kedai emas seperti Tomei, Habib Jewels, Sri Tanah Merah atau kedai emas murah di Kuala Pilah. Kedai di sini cuma ikut “market”.

Yang menentukan harga emas dunia ialah pasaran global dan ada beberapa pemain besar yang sangat mempengaruhi pergerakan harga.

Mari kami terangkan secara mudah.

Apa maksud “harga emas dunia”?

Harga emas dunia biasanya merujuk kepada harga spot emas (Gold Spot Price).

Ini ialah harga “real time” emas yang bergerak setiap saat berdasarkan permintaan dan penawaran di pasaran antarabangsa.

Maksudnya:

  • bila permintaan tinggi → harga naik
  • bila orang ramai jual → harga turun

Malaysia ikut harga dunia ini, kemudian barulah ada faktor tambahan seperti:

  • spread
  • kos upah
  • caj logistik/penyimpanan

5 Pemain Utama Yang “Gerakkan” Harga Emas Dunia

1) Pasaran Spot Emas Global

Ini tempat utama harga emas bergerak ikut aktiviti beli-jual emas di pusat kewangan besar dunia.

Antara pusat besar:

  • London
  • New York

Contoh:
Tiba-tiba berlaku perang. Pelabur risau dan mula cari aset selamat.
Mereka beli emas spot (harga live) secara besar-besaran.

Harga $4,000/oz boleh naik jadi $4,100/oz dalam masa sehari bila berlaku pembelian panik.

Walaupun dekat Malaysia tak berlaku apa-apa, harga tetap naik sebab kita ikut harga dunia.

2) Bursa Futures (COMEX – New York)

Harga emas harian bukan bergerak sebab “orang beli emas fizikal” semata-mata.
Banyak masa, dia bergerak sebab aktiviti jual beli kontrak emas (futures).

COMEX di New York ialah antara tempat paling besar dalam dunia untuk institusi dan trader besar jual beli kontrak emas. Kontrak ni lebih kurang macam “janji beli/jual emas pada masa akan datang pada harga tertentu”.

Contoh:
Hedge fund (jerung) masuk pasaran dan beli kontrak emas secara agresif.

Walaupun mereka tak semestinya ambil emas fizikal, pasaran akan baca:

“Eh, banyak yang masuk beli emas… ni mesti ada sesuatu.”

Jadi harga emas akan bergerak naik mengikut volume dan sentimen.

Inilah sebab kadang-kadang emas naik turun laju walaupun tiada berita besar.

3) London Bullion Market (LBMA)

LBMA ni boleh dianggap “standard dunia” untuk emas fizikal institusi besar.

Di sini berlaku urus niaga emas fizikal berskala besar, terutamanya gold bar yang standard.

Contoh:
Bila institusi banyak tempah dan cari gold bar standard, ia memberi tekanan kepada permintaan emas fizikal.

Demand naik → harga global pun akan naik.

4) Bank Pusat (Central Banks)

Bank pusat negara-negara besar juga main peranan besar.

Sebab bank pusat simpan emas sebagai ‘backup’ untuk kukuhkan kedudukan kewangan negara.

Contoh:
Bila bank pusat China atau negara lain beli emas beratus tan setahun, pasaran akan anggap:

“Eh, bank besar pun tengah kumpul emas!”

Ini tingkatkan keyakinan pasaran, jadi permintaan naik dan harga turut meningkat.

Awal tahun 2026, National Bank of Poland antara bank pusat paling agresif menambah pegangan emas. Menurut laporan Euronews, Poland turut meletakkan sasaran yang besar iaitu sekitar 700 tan emas.

5) USD

Antara faktor paling kuat yang mempengaruhi pergerakan harga emas ialah nilai dolar Amerika Syarikat (USD) dan kadar faedah yang ditetapkan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Reserve / The Fed). Hal ini kerana emas biasanya bergerak secara bertentangan dengan kekuatan USD dan juga kadar faedah.

Apabila USD semakin kukuh, harga emas cenderung untuk menjadi lebih perlahan atau menurun kerana emas menjadi lebih mahal kepada pembeli dari negara lain.

Selain itu, apabila kadar faedah meningkat, pelabur akan lebih tertarik untuk menyimpan duit dalam USD atau melabur dalam instrumen seperti bon kerana pulangan yang lebih jelas dan tetap.

Sebaliknya, apabila Federal Reserve mula menurunkan kadar faedah, situasinya berubah. USD biasanya akan menjadi lebih lemah dan pulangan bon juga berkurang. Dalam keadaan begini, ramai pelabur kembali mencari aset yang boleh melindungi nilai kekayaan mereka dan emas sering menjadi pilihan utama sebagai aset simpan nilai. Sebab itulah apabila kadar faedah menurun dan USD melemah, harga emas lazimnya akan bergerak naik.

Kesimpulan

Jadi siapa yang tentukan harga emas dunia?

Jawapannya: pasaran global dan pemain utamanya ialah:

  • spot market global
  • COMEX
  • LBMA
  • Bank pusat
  • USD & interest rate

Kedai emas bukan “penentu harga”, mereka cuma ikut harga yang bergerak di dunia.

Plih platform emas yang betul dan sesuai supaya senang simpan dan mudah jual bila perlu. Jom kami kongsikan 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Tinggi Jejas Permintaan Terhadap Barang Kemas – Tomei

KUALA LUMPUR: Harga emas mencapai kemuncak awal tahun ini sebelum pembetulan dan kini dijangka kekal dalam lingkungan harga yang sama sehingga terdapat kepastian dalam pasaran.

Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng, berkata walaupun Tomei kekal positif terhadap emas dalam jangka masa panjang, harga yang tinggi menjejaskan permintaan barang kemas kerana pengguna menjadi lebih sensitif terhadap harga, manakala permintaan untuk produk pelaburan emas seperti wafer, syiling dan bar kilo telah meningkat.

“Dari segi margin, Tomei membuat jualan berasaskan nilai pasaran semasa dan tidak mengamalkan lindung nilai untuk inventorinya, selain syarikat membeli semula kuantiti emas yang setara setiap hari selepas jualan dibuat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-21 syarikat itu

Sementara itu, beliau berkata platform emas digital Tomei, GoldNow yang dilancarkan secara tidak rasmi sebelum Tahun Baru Cina telah mencatatkan pengambilan yang menggalakkan walaupun sumbangannya kekal kecil iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah perolehan kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Tomei menjangkakan bakal mencatatkan peningkatan bersih daripada satu cawangan kepada dua cawangan menjelang akhir tahun ini, memandangkan peruncit barangan kemas itu mengambil strategi perluasan yang berwaspada namun selektif di tengah-tengah persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Yih Pyng berkata, syarikat itu kini mengendalikan 63 cawangan dan sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah untuk potensi pengembangan.

Bagaimanapun, beliau berkata Tomei mungkin menangguhkan beberapa pembukaan yang dirancang dan turut mengkaji semula prestasi cawangan sedia ada.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah mengenai pengembangan tetapi mungkin perlu menangguhkan sebahagian daripada pengembangan berikutan situasi semasa di Asia Barat.

“Kami mungkin membuka beberapa outlet dan menutup beberapa cawangan yang tidak berprestasi, namun peningkatan bersih tidak akan lebih daripada satu atau dua,” katanya.

Beliau berkata, Tomei kekal berhati-hati mengenai prospek jangka pendek, memandangkan suku kedua dan ketiga dijangka lebih perlahan susulan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya telah berakhir.

Menurutnya, sentimen pasaran juga telah menjadi lebih perlahan, tetapi syarikat akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memperkenalkan rangkaian produk baharu untuk menyokong permintaan.

Sementara itu, Pengerusi Tomei, Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad, berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengekalkan nisbah hutang yang sihat dan aliran tunai kukuh dan menilai peluang perniagaan baharu dengan lebih teliti.

“Menggunakan analogi bola sepak, ini adalah fasa bertahan bukannya fasa menyerang untuk menjaringkan gol. Kami perlu memastikan nisbah hutang berada dalam keadaan baik dan aliran tunai kekal kukuh,” katanya.

-BERNAMA