ComTech Gold dan PeerHive Ganding Bahu Perkenalkan Penyelesaian Pembiayaan Bersandarkan Emas Bagi Pelabur Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026 – ComTech Gold (CGO), platform emas digital yang menawarkan pemilikan emas fizikal berasaskan token, berganding bahu dengan penyedia perkhidmatan PeerHive untuk memperkenalkan penyelesaian pembiayaan bersandarkan emas baharu yang dirangka untuk membantu pelabur mendapatkan dana tanpa menjual pegangan emas masing-masing.

Kerjasama ini menangani cabaran umum yang dihadapi oleh para pelabur emas di Malaysia – iaitu memilih antara pegangan emas sebagai simpanan nilai jangka panjang atau melupuskannya untuk memenuhi keperluan tunai jangka pendek. Menerusi tawaran terbaharu ini, pelabur Malaysia boleh menggunakan pegangan emas mereka sebagai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan, sambil mengekalkan manfaat pemilikan emas.

Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) ini, pelanggan yang memegang Token CGO –setiap satu disokong dalam nisbah 1:1 oleh emas fizikal 24-karat yang disimpan dalam bilik kebal yang dikawal dan diinsuranskan – boleh mencagarkan token masing-masing untuk mendapatkan pembiayaan menerusi PeerHive, tanpa menjual emas mereka.

Memenuhi Permintaan Semakin Meningkat bagi Pembiayaan Emas Fleksibel

Emas sudah sekian lama menjadi aset yang amat diyakini rakyat Malaysia, dihargai kerana peranannya melindungi nilai kekayaan dan memberikan jaminan kewangan. Dengan minat yang semakin bertambah terhadap aset digital dan penyelesaian pembiayaan alternatif, kerjasama ini bertujuan memodenkan cara emas boleh digunakan sebagai alat kewangan.

“Kerjasama ini dijalin untuk memberikan fleksibiliti lebih tinggi kepada pelabur emas,” kata Jignesh Ved, Pengasas ComTech Gold. “Rakyat Malaysia sejak turun-temurun menganggap emas sebagai aset selamat, tetapi emas mereka perlu dijual untuk mendapat tunai. Dengan penyelesaian ini, pelabur boleh memanfaatkan nilai emas mereka sambil terus mengambil kesempatan daripada kenaikan harga jangka panjang.”

Setiap Token CGO mewakili satu gram emas tulen 99.99% yang dipegang di dalam bilik kebal yang dikawal dan diinsuranskan sepenuhnya, memberi pelanggan kaedah pemilikan emas yang terjamin dan telus.

Menerusi kerjasama ini, para pemegang token boleh mencagarkan Token CGO masing-masing untuk mendapatkan pembiayaan daripada PeerHive manakala emas sandaran disimpan dengan selamat dan pelanggan mengekalkan manfaat hak milik ke atas aset tersebut.

Alternatif Moden kepada Model Pajak Gadai dan Belian Balik Emas

Berbeza daripada kaedah pajak gadai atau belian balik konvensional, di mana pemilikan emas dipindah milik secara sementara atau kekal, struktur pembiayaan in membolehkan pelabur mengekalkan manfaat hak milik ke atas emas mereka sepanjang tempoh pembiayaan.

Ciri-ciri penting penyelesaian ini termasuk:

  • Mencagarkan Token CGO bersandarkan emas untuk mendapatkan pembiayaan tanpa menjualnya
  • Penilaian telus berasaskan penanda aras LBMA PM Fix 
  • Mengekalkan manfaat hak milik sepanjang tempoh pembiayaan
  • Kawalan risiko gred institusi, termasuk had pinjaman kepada nilai dan pemantauan margin.

Model ini boleh dimanfaatkan sebagai alternatif bagi kaedah pembiayaan emas tradisional, khususnya bagi pelabur yang mahukan penyelesaian yang lebih telus dan menggunakan kaedah digital.

Menyokong Inovasi Fintech dalam Pinjaman Bersandarkan Aset

ComTech Gold menyediakan infrastruktur emas digital, serta keupayaan pemerolehan dan penyimpanan emas digitalnya, manakala PeerHive membawakan kepakaran dalam pemberian pinjaman bercagar, penilaian kredit dan penyusunan pinjaman. Secara bersama, pakatan ini mengguna pakai amalan pengurusan risiko mantap yang lazimnya dikaitkan dengan pinjaman institusi kepada kelas aset yang dipegang secara meluas oleh pelabur runcit.

“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana pinjaman bercagar tradisional boleh berkembang untuk memenuhi keperluan pelabur moden,” kata En. Vincent Yeo. di PeerHive. “Kami menyediakan pembiayaan bersandarkan emas fizikal – kelas aset yang sudah terbukti sejak sekian lama – sambil mengguna pakai teknologi lejar yang cekap untuk pengurusan cagaran. Hakikatnya kaedah ini merupakan pinjaman berlandaskan aset, yang ditambah baik oleh infrastruktur operasi yang memanfaatkan kedua-dua pemberi dan penerima pinjaman.”

Kerjasama ini dikendalikan di bawah rangka kerja kawal selia UAE, dengan perkhidmatan disediakan kepada pelabur antarabangsa, termasuk di Malaysia, sejajar dengan peraturan yang berkenaan.

Previous ArticleNext Article

Harga Emas Tinggi Jejas Permintaan Terhadap Barang Kemas – Tomei

KUALA LUMPUR: Harga emas mencapai kemuncak awal tahun ini sebelum pembetulan dan kini dijangka kekal dalam lingkungan harga yang sama sehingga terdapat kepastian dalam pasaran.

Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng, berkata walaupun Tomei kekal positif terhadap emas dalam jangka masa panjang, harga yang tinggi menjejaskan permintaan barang kemas kerana pengguna menjadi lebih sensitif terhadap harga, manakala permintaan untuk produk pelaburan emas seperti wafer, syiling dan bar kilo telah meningkat.

“Dari segi margin, Tomei membuat jualan berasaskan nilai pasaran semasa dan tidak mengamalkan lindung nilai untuk inventorinya, selain syarikat membeli semula kuantiti emas yang setara setiap hari selepas jualan dibuat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-21 syarikat itu

Sementara itu, beliau berkata platform emas digital Tomei, GoldNow yang dilancarkan secara tidak rasmi sebelum Tahun Baru Cina telah mencatatkan pengambilan yang menggalakkan walaupun sumbangannya kekal kecil iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah perolehan kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Tomei menjangkakan bakal mencatatkan peningkatan bersih daripada satu cawangan kepada dua cawangan menjelang akhir tahun ini, memandangkan peruncit barangan kemas itu mengambil strategi perluasan yang berwaspada namun selektif di tengah-tengah persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Yih Pyng berkata, syarikat itu kini mengendalikan 63 cawangan dan sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah untuk potensi pengembangan.

Bagaimanapun, beliau berkata Tomei mungkin menangguhkan beberapa pembukaan yang dirancang dan turut mengkaji semula prestasi cawangan sedia ada.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah mengenai pengembangan tetapi mungkin perlu menangguhkan sebahagian daripada pengembangan berikutan situasi semasa di Asia Barat.

“Kami mungkin membuka beberapa outlet dan menutup beberapa cawangan yang tidak berprestasi, namun peningkatan bersih tidak akan lebih daripada satu atau dua,” katanya.

Beliau berkata, Tomei kekal berhati-hati mengenai prospek jangka pendek, memandangkan suku kedua dan ketiga dijangka lebih perlahan susulan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya telah berakhir.

Menurutnya, sentimen pasaran juga telah menjadi lebih perlahan, tetapi syarikat akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memperkenalkan rangkaian produk baharu untuk menyokong permintaan.

Sementara itu, Pengerusi Tomei, Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad, berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengekalkan nisbah hutang yang sihat dan aliran tunai kukuh dan menilai peluang perniagaan baharu dengan lebih teliti.

“Menggunakan analogi bola sepak, ini adalah fasa bertahan bukannya fasa menyerang untuk menjaringkan gol. Kami perlu memastikan nisbah hutang berada dalam keadaan baik dan aliran tunai kekal kukuh,” katanya.

-BERNAMA