‘Force Majeure’ Dan Impaknya Kepada Ekonomi Dunia

KUALA LUMPUR: ‘Force Majeure’ dalam bahasa Perancis merujuk kepada ‘kuasa besar’ atau dari sudut undang-undang bermakna keadaan di luar jangka yang berlaku seperti perang di Asia Barat yang jelas di luar kawalan sesuatu pihak dan membolehkan mereka dikecualikan daripada memenuhi obligasi kontrak.

Profesor Madya Ekonomi Perniagaan Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tan Chee Meng, berkata syarikat yang mempunyai obligasi kontrak dapat menggunakan klausa ini bukan hanya sewaktu peperangan tetapi juga dalam konteks seperti konflik bersenjata, bencana alam, mogok dan sekatan kerajaan.

“Klausa ini digunapakai sebagai langkah perlindungan untuk melindungi pihak-pihak yang terkesan akibat peperangan atau konflik,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai penggunaan ‘force majeure’ serta impaknya terhadap ekonomi, khususnya di Asia.

Serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran berlaku pada 28 Februari dan 2026, disusuli dengan serangan balas Tehran menerusi pengeboman terhadap pangkalan udara serta kemudahan penapisan minyak di 11 negara di rantau Teluk sejak 24 hari lalu.

Setakat tengah hari ini, Iraq telah menguatkuasakan ‘force majeure’ ke atas semua medan minyak asing dibangunkan oleh syarikat minyak luar negara manakala Kuwait ke atas minyak mentah dan produk minyak ditapis dan Qatar ke atas eksport gas atau penghantaran gas asli cecair (LNG) serta syarikat tenaga milik negara Bahrain (BAPCO).

BAPCO juga bertindak mengisytiharkan penguatkuasaan ‘force majeur’ ke atas operasi selepas kemudahan penapisan minyaknya turut menjadi sasaran serangan.

Di Iraq misalnya, medan minyak adalah milik kerajaan manakala pengendali asing menghasilkan minyak berdasarkan kontrak dengan kerajaan negara itu.

“Meskipun perang, entiti asing ini masih mempunyai obligasi atau kewajipan kontrak untuk pengeluaran walaupun tidak dapat diangkut keluar dari Asia Barat dengan selamat selain kekurangan ruang simpanan minyak.

“Mungkin ini juga menjadi alasan Iraq mengumumkan pelaksanaan ‘force majeure’ yang boleh menjadi asas undang-undang kepada firma asing uintuk tidak lagi bertindak mengeluarkan minyak selagi perang berterusan manakala eksport dan kemampuan penyimpanan pula kekal terhad,” katanya.

Berikutan itu, jelas Tan, apa yang lazimnya berlaku adalah pengurangan pengeluaran.

“Memandangkan perang di Iran berlanjutan dan pergerakan sukar bagi mengangkut minyak dan gas keluar masuk menerusi Selat Hormuz, adalah tidak realistik atau membazir untuk pengendali terbabit mengeluarkan minyak dan gas pada tahap sebelum perang berikutan ketiadaan tempat penyimpanan yang mencukupi,” katanya.

Tan berkata kenaikan premium insurans bukan disebabkan oleh ‘force majeure’ sebaliknya akibat gangguan susulan sekatan di Selat Hormuz, laluan sempit transit minyak paling kritikal dunia dengan Iran memegang kuasa besar ke atasnya.

Selat itu menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman dan Laut Arab dengan kira-kira 20 hingga 30 peratus perdagangan minyak global melintasinya saban hari.

“Oleh kerana risiko melintasi selat ini meningkat ketara sepanjang tempoh peperangan ini, syarikat insurans bertindak mengenakan premium lebih tinggi, mengehadkan liputan dan menetapkan deduktibel lebih tinggi iaitu bahagian tuntutan yang ditanggung oleh pihak diinsuranskan,” katanya.

Deduktibel merujuk kepada bahagian kerugian ditanggung oleh pihak terbabit sebelum berhak menerima pampasan daripada syarikat insurans.

Sebagai contoh, jika kargo bernilai AS$500,000 diinsuranskan dengan kadar deduktibel sebanyak AS$5,000 dan kargo mengalami kerosakan bernilai AS$50,000, syarikat insurans hanya akan membayar AS$45,000 sebagai pampasan manakala baki AS$5,000 ditanggung oleh pihak yang diinsuranskan.

Bagaimanapun, susulan peningkatan risiko sebegitu tinggi, nisbah itu berubah secara drastik sehingga tidak lagi ekonomik untuk kedua-dua pihak pengangkut dan syarikat insurans, katanya.

Namun, Tan berkata ini bukanlah alasan utama banyak negara di serata dunia berdepan kekurangan minyak dan gas kerana perkara asas adalah sekatan Selat Hormuz.

Sehubungan itu, ‘force majeure’ dalam konteks ini adalah sebagai tindak balas terhadap gangguan dan memberi asas undang-undang kepada firma minyak untuk mengurangkan pengeluaran akibat ketidakupayaan melakukan eksport secara selamat melintasi selat itu serta kekangan penyimpanan.

Oleh kerana sekatan itu masih berterusan, penghantaran minyak dan gas melalui selat itu telah merosot sebegitu ketara.

Tan turut merujuk unjuran agensi berita Reuters bahawa penghantaran telah merosot daripada kira-kira 25.1 juta tong sehari (bpd) kepada 9.7 juta bpd.

Memburukkan lagi keadaan, lebih 80 peratus minyak dan gas dari Asia Barat itu adalah bagi destinasi ke Asia.

“Tanpa bahan bakar fosil ini, banyak negara Asia kini mengalami kekurangan tenaga dan bahan bakar, terutamanya negara kurang maju yang tiada kapasiti mengekalkan jumlah simpanan besar,” katanya.

Berikutan itu, negara seperti Bangladesh, Vietnam dan Thailand bertindak mengumumkan langkah bekerja dari rumah dan penggunaan pengangkutan awam sebagai usaha penjimatan bahan bakar manakala negara lain, terutama pengguna minyak, meningkatkan harga pam di stesen-stesen minyak.

Situasi perang yang berlanjutan akan memaksa lebih banyak kerajaan bertindak mengambil langkah lebih tegas untuk menguruskan penggunaan tenaga.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bertindak menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-6 kepada 4.5 peratus pada 2026 daripada 4.8 peratus dan 4.7 peratus pada 2027 (daripada 4.8 peratus).

Bagi Malaysia, unjuran KDNK 2026 dikurangkan kepada 4.9 peratus daripada 5.1 peratus manakala Indonesia 5.2 peratus (5 peratus), Filipina kepada 4.9 peratus (4.6 peratus), Singapura kepada 3.6 peratus (3.4 peratus), Thailand kepada 2.1 peratus (1.8 peratus) dan Vietnam 7.6 peratus (7.2 peratus).

Pengurangan ketara adalah di Filipina (0.4 peratus), Vietnam (0.4 peratus), dan Thailand (0.3 peratus).

Menurut Maybank IB, kenaikan harga tenaga dan subsidi bahan bakar akan hanya menambah beban fiskal bagi Indonesia, Thailand dan Malaysia.

“Had siling defisit fiskal Indonesia sebanyak tiga peratus mungkin diuji jika kejutan harga minyak ini berlanjutan. Malaysia (sebagai pengeksport tenaga bersih) dan Singapura (mempunyai rizab fiskal besar) berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghadapi impak berkenaan,” menurut bank itu.

Maybank IB turut menaikkan unjuran inflasi ASEAN-6 kepada 2.7 peratus pada 2026 (daripada 2.2 peratus) dan 2.7 peratus pada 2027 (daripada 2.5 peratus) dengan pelarasan lebih tinggi bagi Thailand (0.8 peratus pada 2026), Filipina (0.5 peratus) dan Indonesia (0.5 peratus).

“Kejutan harga tenaga ini telah memendekkan kitaran pelonggaran monetari. Kami menjangkakan bank pusat di Filipina dan Singapura akan bertindak menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas selain mengetatkan dasar masing-masing melalui kecenderungan lebih tinggi pada April.

“(Pendirian) bank-bank pusat ASEAN lain pula berkemungkinan tidak berubah pada 2026,” katanya.

-BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Samsung Bakal Pintas NVIDIA Menjadi Syarikat Paling Untung Di Dunia?

Zaman sekarang, sebut sahaja pasal AI, semua orang akan pandang kepada NVIDIA. Memang tak dinafikan, NVIDIA sekarang adalah ‘King’ dengan keuntungan mencecah $99.2 bilion berbanding Samsung yang sekadar $30.5 bilion.

Namun, penganalisis ekonomi mula nampak satu peralihan kuasa yang besar. Menjelang tahun 2027, Samsung diramal bakal memintas NVIDIA dengan unjuran keuntungan yang luar biasa:

  • Samsung: $331 Bilion (~RM1.4 Trilion)
  • NVIDIA: $329 Bilion (~RM1.39 Trilion)

Dunia sekarang tengah ‘demam’ AI. Memang betul NVIDIA yang buat cip AI (GPU), tapi ramai yang terlepas pandang satu fakta penting: Cip AI NVIDIA tak boleh berfungsi tanpa memori yang dihasilkan oleh Samsung.

Ibarat NVIDIA buat enjin Ferrari yang paling laju, tapi Samsung pula yang pegang stok minyak petrol gred tinggi. Bila permintaan AI mencanak, bekalan memori pula tak cukup, maka harga memori dijangka naik mencacak. Di situlah Samsung akan ‘makan besar’.

Selain itu, Samsung mempunyai kelebihan. Mereka bukan setakat jual cip, mereka buat telefon, skrin OLED, hingga ke perkakas rumah. Bila semua benda mula letak AI, Samsung untung di setiap penjuru. Malah, kontrak terbaharu membekalkan skrin untuk iPhone Foldable selama 3 tahun juga bakal memberi margin ‘kayangan’ kepada mereka.

Prestasi Luar Biasa Q1 2026: Rekod Sejarah Terpecah!

Bukan sekadar ramalan kosong, Samsung baru sahaja membuktikan kehebatan mereka dalam laporan suku pertama (Q1) 2026. Walaupun dunia risau dengan ketidakstabilan di Asia Barat, permintaan cip AI nampaknya jauh lebih kuat.

Berdasarkan laporan awal (preliminary earnings):

  • Untung Operasi Q1: 57.2 trilion won (~$37.9 bilion USD).
  • Lonjakan: Naik 755% berbanding tempoh yang sama tahun 2025!
  • Fakta Menarik: Keuntungan Q1 2026 ini sahaja sudah mengatasi keseluruhan keuntungan tahunan mereka bagi tahun lepas.

Pendorong utama sudah tentu ‘Semiconductor Super-Boom’. Harga DRAM dan NAND melonjak hampir 90% berbanding suku sebelum ini. Bahagian semikonduktor sahaja dianggarkan menyumbang lebih 50 trilion won kepada keuntungan syarikat.

Supaya senang faham, bayangkan komputer atau telefon pintar kita ni macam sebuah pejabat:

  • DRAM (Dynamic Random Access Memory): Ibarat MEJA. Lagi besar meja, lagi banyak kerja/app kita boleh buka serentak tanpa hang. Bila kita tutup komputer, “meja” ni akan kosong balik. Dalam dunia AI, “meja” ni kena besar gila sebab AI buat pengiraan yang sangat banyak dalam satu masa.
  • NAND (Flash Memory): Ibarat STOR. Ini tempat simpan segala gambar, video, dan dokumen kita secara kekal walaupun komputer ditutup. Semua pusat data (Data Center) dunia perlukan “stor” yang sangat besar dan laju untuk simpan data AI.

Dengan nilai pasaran yang kini melepasi $1 trilion, Samsung kini sedang memecut laju untuk memintas syarikat-syarikat yang berada jauh di atasnya dalam ranking aset dunia.

Walaupun Samsung diramal akan menjadi syarikat paling untung, mereka tetap perlu berwaspada dengan SK Hynix dan Micron yang turut berebut kontrak membekalkan memori kepada NVIDIA. Micron adalah wakil tunggal dari Amerika Syarikat dalam liga gergasi memori. Disebabkan isu politik Amerika Syarikat-China, banyak syarikat seperti Microsoft dan Google lebih selesa membeli dari Micron atas faktor keselamatan.

Apa Kesannya Kepada Pelabur Di Malaysia?

Kita sebagai pelabur, ini adalah isyarat jelas bahawa sektor teknologi belum lagi mahu ‘berehat’. Kerajaan Malaysia sekarang bersungguh-sungguh menarik pelaburan Pusat Data (Data Center) dari Microsoft, Google dan Amazon masuk ke Johor dan Selangor.

Pusat-pusat data ini memerlukan beribu-ribu rak pelayan (servers). Dalam server itu ada cip NVIDIA, dan dalam cip itu ada memori Samsung.

Rantaian bekalan ini akan memberi kesan limpahan (spillover effect) kepada syarikat-syarikat OSAT tempatan seperti:

  1. Inari Amertron: Pakar dalam pemasangan dan pengujian cip komunikasi.
  2. Malaysian Pacific Industries (MPI): Banyak terlibat dalam pembungkusan cip untuk automotif dan pusat data.

Selain itu, pelaburan besar Samsung SDI di Seremban juga membuktikan Malaysia adalah rakan strategik utama dalam ekosistem global mereka.

Kesimpulan

Adakah Samsung akan benar-benar menumbangkan NVIDIA dari takhta syarikat paling untung di dunia menjelang 2027? Berdasarkan prestasi ‘ganas’ mereka di awal 2026 ini, jawapannya nampak sangat positif.

Apapun, dalam dunia pelaburan, ini semua adalah ramalan dan unjuran data. Realitinya nanti macam mana, entahlah… harap-harap kita sebagai pelabur pun tumpang untung juga!

Sumber: Korea JoongAng Daily: Will Samsung become more profitable than Nvidia?, Investing.com: This tech company is set to overtake Nvidia as the world’s most profitable