BNM Menerbitkan Laporan Tahunan 2025, Tinjauan Ekonomi Dan Monetari 2025, Serta Laporan Kestabilan Kewangan Bagi Separuh Kedua 2025

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Laporan Tahunan 2025 (AR 2025), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 (EMR 2025), serta Laporan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2025 (FSR 2H 2025).

AR 2025 mengetengahkan inisiatif utama BNM sepanjang tahun lalu dalam melaksanakan mandatnya untuk mempromosikan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia. Laporan ini juga menyediakan gambaran operasi keseluruhan bank pusat. Sementara itu, EMR 2025 menyediakan penilaian dan unjuran ekonomi oleh BNM, merangkumi perkembangan ekonomi dan monetari pada 2025 serta prospek bagi 2026. FSR pula merupakan penerbitan dua kali setahun yang memperincikan penilaian BNM terhadap risiko kestabilan kewangan domestik dan prospeknya.

Sorotan laporan:

Pada tahun 2025, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2%, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan. Perbelanjaan isi rumah kekal kukuh, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif dan langkah dasar yang lebih bersasar. Aktiviti pelaburan meningkat dengan ketara, didorong oleh kemajuan berterusan projek berbilang tahun dan kelulusan pelaburan yang kukuh, khususnya dalam perkhidmatan berteknologi tinggi dan pembuatan maju.

Inflasi purata 1.4%, yang terendah dalam tempoh lima tahun. Walau bagaimanapun, kos sara hidup masih menjadi kebimbangan. Artikel khas AR 2025 bertajuk ‘Beyond the Headline: Inflation Through the Eyes of Households’ menerangkan bagaimana pengalaman harga harian rakyat boleh berbeza daripada data inflasi rasmi, yang masih berguna sebagai penunjuk untuk panduan dasar.

Dalam persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 5% pada 2026. Malaysia memasuki tempoh mencabar ini dengan kedudukan yang kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, inflasi sederhana, sektor kewangan yang kukuh dan kedudukan luaran yang berdaya tahan. BNM akan terus berwaspada terhadap konflik Timur Tengah yang berkembang pesat.

Dengan pemacu pertumbuhan yang pelbagai, permintaan domestik yang berdaya tahan dan kedudukan kukuh dalam kitaran teknologi, Malaysia berada dalam keadaan baik untuk mengharungi cabaran dan risiko akan datang. Penggunaan isi rumah kekal sebagai tonggak penting pertumbuhan. Prospek pendapatan yang positif, pasaran buruh yang stabil dan sokongan dasar bersasar akan mengekalkan perbelanjaan isi rumah yang kukuh. Artikel khas EMR 2025 ‘Sustaining the Engine: The Evolving Drivers behind Malaysia’s Private Consumption Growth’ menghuraikan isu ini.

Aktiviti pelaburan akan terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih sederhana.
Sektor luaran dijangka kekal berdaya tahan berdepan cabaran konflik Timur Tengah dan ketidaktentuan tarif. Sektor E&E dijangka mendapat manfaat daripada permintaan semikonduktor yang kukuh bagi menyokong pembangunan AI serta pelaksanaan berterusan pelaburan pusat data. Artikel khas EMR 2025 ‘Disentangling Malaysia Value Chains in The Age of Trade Turbulence’ membincangkan topik ini. Pelancongan masuk, selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, juga akan menyokong sektor luaran.

Inflasi keseluruhan dijangka berada antara 1.5% hingga 2.5%, kekal stabil dan hampir kepada purata jangka panjang. Keadaan monetari dan kewangan domestik akan terus menyokong keperluan pembiayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi berterusan. Dasar monetari akan terus memberi tumpuan kepada mengekalkan kestabilan harga sambil menyokong pertumbuhan mampan.

Sistem kewangan kekal berdaya tahan untuk menyokong ekonomi dalam persekitaran global yang tidak menentu. Usaha juga diteruskan untuk memperkukuh dan membangunkan sektor kewangan.
Kestabilan kewangan terus terpelihara. Institusi kewangan mempunyai modal yang kukuh dan operasi yang berdaya tahan, disokong oleh kecairan yang mencukupi dan kualiti aset yang baik. Sistem pembayaran dan penyelesaian Malaysia kekal boleh dipercayai dan selamat.

Ujian tekanan keupayaan pembayaran makro, yang mengambil kira risiko penurunan utama, mengesahkan daya tahan institusi kewangan terhadap kejutan ekonomi makro dan kewangan yang teruk.
Sektor kewangan terus menyokong keperluan pembiayaan ekonomi. Pembiayaan tertunggak kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat 5.9% pada 2025. Kelulusan dan pengeluaran pembiayaan kekal stabil dan meluas merentasi sektor.

Reformasi turut dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan daya tahan sektor kewangan, termasuk penggubalan Akta Kredit Pengguna, pindaan Akta Sewa Beli, pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030, serta pengenalan inisiatif RESET bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Platform dan inisiatif seperti Digital Asset Innovation Hub, Climate Finance Innovation Lab dan program i-CITA diwujudkan bagi menyokong penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan ekonomi dan masyarakat. Kemajuan juga dicapai dalam memperkukuh daya tahan iklim institusi kewangan dan pelanggan mereka.

Bank-bank mempergiat usaha menutup jurang perkhidmatan bagi golongan yang tidak mendapat atau kurang mendapat akses. Perkara ini dibincangkan dalam artikel khas AR 2025 ‘Bridging the Gap: The Path to Affordable and Accessible Basic Banking Services’.

Dalam kewangan Islam, industri terus memacu kewangan berasaskan nilai yang memberi impak positif dan hasil sosioekonomi. Artikel khas AR 2025 ‘The Rise of Islamic Finance in ASEAN: Unlocking its Growth Potential’ mengetengahkan peluang pertumbuhan dan potensi kewangan Islam dalam rantau ini.

Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026 kini memasuki fasa akhir, dengan usaha sedang dijalankan untuk merangka hala tuju baharu sektor kewangan Malaysia.

Usaha membanteras penipuan kewangan terus dipergiat. Pengukuhan sistem pertahanan menunjukkan hasil positif, dengan beberapa bank melaporkan sifar kes malware pada 2025. Pendekatan seluruh negara kekal penting dalam melindungi komuniti daripada penipuan.

Komitmen bersama ASEAN turut memperkukuh keyakinan, menyokong aktiviti ekonomi dan menyediakan persekitaran serantau yang lebih stabil. Artikel khas AR 2025 mengenai Pengerusian ASEAN/ASEAN+3 Malaysia 2025 mengetengahkan manfaat integrasi serantau.

Malaysia diletakkan dalam kategori tertinggi “Pemantauan Berkala” oleh Financial Action Task Force (FATF), mengiktiraf kekukuhan sistem pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan negara.

AR 2025 turut merangkumi Penyata Kewangan BNM yang telah diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2025. Jumlah aset BNM adalah RM602.22 bilion, dengan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM12.45 bilion. Daripada jumlah itu, RM7.45 bilion dipindahkan ke Rizab Risiko BNM, manakala dividen RM5 bilion diisytiharkan kepada Kerajaan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan 5.2% pada 2025 walaupun berdepan cabaran luaran yang besar. Keadaan domestik yang stabil membantu mengurangkan kesan kejutan luar dan membuka ruang kepada reformasi penting. Kita perlu terus memperkukuh asas ekonomi dan dasar bagi menghadapi cabaran masa hadapan.”

Untuk membaca laporan penuh, sila layari bnm.gov.my/AR2025

Previous ArticleNext Article

Sebanyak 10 Syarikat Pemula Niaga Cip Tempatan Dipilih Sertai Kohort Pertama Semiconstart Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) — Sebanyak 10 syarikat pemula niaga semikonduktor Malaysia dipilih untuk program inkubasi semikonduktor kebangsaan yang julung kali diadakan, Semicon Start Malaysia, yang bertujuan membantu mengkomersialkan teknologi buatan tempatan dan membangunkan syarikat teknologi.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MIDC) Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata program selama setahun itu akan menyediakan syarikat-syarikat berkenaan untuk beralih daripada syarikat pemula niaga kepada firma peringkat pertengahan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Dalam jangka masa pendek, kami akan menyediakan 10 syarikat ini untuk benar-benar mendepani segala cabaran bagi beralih daripada sebuah syarikat pemula niaga kepada syarikat peringkat pertengahan. Ia amat mencabar.

“Tawaran awam permulaan (IPO) masih terlalu awal pada pandangan saya, tetapi ia merupakan objektif utama; itulah yang kami mahukan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Semicon Start Malaysia di sini hari ini.

Semicon Start Malaysia ialah program inkubasi semikonduktor peringkat kebangsaan yang direka untuk menyokong pertumbuhan syarikat semikonduktor berpotensi tinggi dari Malaysia dan yang berpangkalan di Malaysia dalam segmen bernilai lebih tinggi bagi rantaian nilai semikonduktor global.

Semicon Start Malaysia, yang diterajui oleh MIDC dengan kerjasama Silicon Catalyst UK, ialah program pertama di negara ini untuk membantu syarikat pemula niaga semikonduktor membangunkan perniagaan mereka. Program ini membantu mereka menghadapi cabaran industri seperti kos prototaip yang tinggi.

Abdul Rahman berkata program itu bertujuan menyediakan syarikat semikonduktor Malaysia untuk menjadi pemain global, sambil menambah kohort pertama itu hanyalah sebagai permulaan dan lebih banyak syarikat dijangka menyertai kohort berikutnya pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M’IDC Mohammad Hazani Hassan berkata program itu memberi tumpuan kepada usaha membina syarikat produk Malaysia dengan menyokong syarikat pemula niaga daripada peringkat awal pembangunan teknologi sehinggalah ke fasa pengkomersialan.

Beliau berkata sebahagian besar syarikat yang mengambil bahagian kini berada pada tahap kesediaan teknologi (IRL) 4 hingga 6 dan program berkenaan bertujuan untuk membantu mereka meningkat ke sekurang-kurangnya TRL 8 sebelum mengkomersialkan produk mereka.

“Tetapi yang paling penting (adalah) bagaimana kita membina asasnya. Dari hari pertama lagi, kita mendedahkan syarikat-syarikat ini kepada pentas antarabangsa, termasuk para pelabur, rakan kongsi, mentor dan juga pelanggan,” katanya.

Mohammad Hazani berkata program itu telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya sekurang-kurangnya empat daripada 10 syarikat berkenaan dapat melangkah ke peringkat seterusnya dengan memperoleh pelaburan baharu dan rakan kongsi strategik.

Beliau berkata sebanyak RM10 juta diperuntukan untuk fasa pertama program itu dan setelah selesai, MIDC merancang untuk menyokong syarikat yang mengambil bahagian dengan peruntukan sebanyak RM10 juta lagi di samping memanfaatkan pembiayaan daripada firma modal teroka, termasuk Khazanah Nasional Bhd dan pelabur antarabangsa.

Di bawah program Semicon Start Malaysia, syarikat yang terpilih boleh menerima sokongan inkubasi sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat, bersama laluan pembangunan berstruktur selama 26 hari.

Kohort pertama yang berlangsung dari 1 Julai, 2026 hingga 30 Jun, 2027, telah dipilih daripada 39 permohonan.

Mohammad Hazani berkata M’IDC turut merancang untuk membentuk kohort kedua daripada syarikat-syarikat pemula niaga yang selebihnya.

— BERNAMA