
KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 2.75 peratus sepanjang tahun ini dan hanya berpotensi diturunkan jika pertumbuhan ekonomi negara merosot secara ketara ke paras 4.0 peratus, menurut penganalisis.
BIMB Securities Research percaya Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menunggu isyarat yang lebih jelas sebelum membuat sebarang keputusan pelarasan dasar.
Pihaknya menjangkakan sebarang pengurangan kadar hanya berlaku sekiranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia merosot secara ketara ke paras ambang 4.0 peratus, didorong permintaan domestik yang lebih perlahan atau penurunan dalam ketibaan pelancong.
Katanya, walaupun inflasi meningkat sedikit kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, kadar terpantas dalam tempoh lebih setahun, ia kekal jauh dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2026.
“Setakat ini, kenaikan harga tenaga dunia masih belum memberi kesan besar kepada inflasi domestik. Ini dibantu oleh hasil kerajaan berkaitan minyak yang lebih kukuh, menyediakan ruang fiskal sekurang-kurangnya pada permulaan untuk menampung harga bahan api domestik melalui subsidi.
“Sementara itu, ringgit yang mengukuh kira-kira 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari awal tahun telah membantu meredakan tekanan inflasi import,” katanya dalam nota penyelidikannya.
BIMB Securities Research mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2026, didorong terutamanya oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Ia berkata, buat masa ini, inflasi yang rendah memberi ruang kepada bank pusat untuk menangguhkan langkah pengetatan, sementara ketidakpastian luaran tidak mendorong pelonggaran awal.
“Secara keseluruhan, walaupun risiko ekonomi kini semakin pelbagai dan kompleks, keadaan semasa menunjukkan kestabilan dasar yang kukuh.
“Permintaan domestik kekal berdaya tahan sepanjang tahun lalu. Walaupun pertumbuhan semakin perlahan pada marjin, masih tiada bukti penurunan mendadak atau tidak teratur yang akan mewajarkan perubahan dasar,” katanya.
— Berita Harian










