
KUALA LUMPUR: Harga emas mencapai kemuncak awal tahun ini sebelum pembetulan dan kini dijangka kekal dalam lingkungan harga yang sama sehingga terdapat kepastian dalam pasaran.
Pengarah Urusan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng, berkata walaupun Tomei kekal positif terhadap emas dalam jangka masa panjang, harga yang tinggi menjejaskan permintaan barang kemas kerana pengguna menjadi lebih sensitif terhadap harga, manakala permintaan untuk produk pelaburan emas seperti wafer, syiling dan bar kilo telah meningkat.
“Dari segi margin, Tomei membuat jualan berasaskan nilai pasaran semasa dan tidak mengamalkan lindung nilai untuk inventorinya, selain syarikat membeli semula kuantiti emas yang setara setiap hari selepas jualan dibuat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-21 syarikat itu
Sementara itu, beliau berkata platform emas digital Tomei, GoldNow yang dilancarkan secara tidak rasmi sebelum Tahun Baru Cina telah mencatatkan pengambilan yang menggalakkan walaupun sumbangannya kekal kecil iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah perolehan kumpulan.
Dalam perkembangan lain, Tomei menjangkakan bakal mencatatkan peningkatan bersih daripada satu cawangan kepada dua cawangan menjelang akhir tahun ini, memandangkan peruncit barangan kemas itu mengambil strategi perluasan yang berwaspada namun selektif di tengah-tengah persekitaran pasaran yang tidak menentu.
Yih Pyng berkata, syarikat itu kini mengendalikan 63 cawangan dan sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah untuk potensi pengembangan.
Bagaimanapun, beliau berkata Tomei mungkin menangguhkan beberapa pembukaan yang dirancang dan turut mengkaji semula prestasi cawangan sedia ada.
“Kami sedang berbincang dengan beberapa pusat beli-belah mengenai pengembangan tetapi mungkin perlu menangguhkan sebahagian daripada pengembangan berikutan situasi semasa di Asia Barat.
“Kami mungkin membuka beberapa outlet dan menutup beberapa cawangan yang tidak berprestasi, namun peningkatan bersih tidak akan lebih daripada satu atau dua,” katanya.
Beliau berkata, Tomei kekal berhati-hati mengenai prospek jangka pendek, memandangkan suku kedua dan ketiga dijangka lebih perlahan susulan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya telah berakhir.
Menurutnya, sentimen pasaran juga telah menjadi lebih perlahan, tetapi syarikat akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memperkenalkan rangkaian produk baharu untuk menyokong permintaan.
Sementara itu, Pengerusi Tomei, Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad, berkata kumpulan itu kekal fokus untuk mengekalkan nisbah hutang yang sihat dan aliran tunai kukuh dan menilai peluang perniagaan baharu dengan lebih teliti.
“Menggunakan analogi bola sepak, ini adalah fasa bertahan bukannya fasa menyerang untuk menjaringkan gol. Kami perlu memastikan nisbah hutang berada dalam keadaan baik dan aliran tunai kekal kukuh,” katanya.
-BERNAMA










