Usahawan Berjaya Memang Nampak Gempak, Tapi Hanya Yang Berniaga Saja Tahu

Memang 9/10 daripada punca rezeki adalah daripada berniaga. Dan kebanyakan peniaga ni, kita tengok kehidupan mereka semuanya cukup mewah kan? Tapi tahukah anda itu adalah hasil daripada penat jerih yang dilaluinya selama ini?

Ada yang berpuluh-puluh tahun baru dapat menempa kejayaan, tidak kurang juga ada yang berjaya pada usia yang sangat muda.

Jom kita ikuti perkongsian daripada Puan Mahanom Mohammad, seorang kontraktor yang berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam industri.

Orang Nampak Kejayaan Semata-mata

Orang hanya nampak apa ada pada kita sekarang. Bagaimana kita dapatkannya, tak pernah ada yang datang bertanya.

Cukup makankah?

Cukup wang mahu isi minyakkah?

Anak-anak ada wang saku ke sekolah?

Kena marah pelanggankah? Kena tipu dengan pembekalkah?

Tiada siapa peduli.

Kereta kena tarik? Rumah kena lelong? Bergelap dalam rumah kerana bekalan elektrik dipotong? Guna tandas awam kerana air kena sekat? Ya, tiada siapa mahu tahu zaman ‘gelap’ seseorang yang bergelar usahawan.

Berpanas. Berhujan. Berpeluh. Ya tiada siapa mahu tahu kisah susah orang berniaga. Hatta adik beradik, jiran tetangga dan kawan sahabat sendiri. Ini jalan pilihan hati. Biar semua terbuku sepi.

Bila tiada apa-apa. Orang tak pandang sebelah mata. Masa itu boleh fikir sendiri. Mahu duduk goyang kaki. Salahkan keadaan sekeliling. Atau mahu bangkit dan usaha usaha usaha guna titik peluh yang ada.

Ramai pilih tidak mahu susahkan orang sekeliling, adik beradik, mak ayah, kawan sahabat. Semuanya disimpan kemas. Baik-baik dalam hati disemat. Hanya pasangan dan anak anak saja tempat luah rasa.

Berniaga mengajar untuk tegar dan sudah tidak kisah. Mahu dicaci. Mahu dimaki. Mahu didengki. Mahu difitnah. Silakan. Alah bisa sudah tegal biasa.

Berniaga mengajar untuk hargai masa. Buat cepat. Setiap satu saat usah dipersia. Kerana itu kita lemas bila masalah tidak selesai dengan pelbagai 1001 alasan.

Berniaga mengajar untuk hargai apa yang ada ditangan. Dibelai. Disimpan. Tidak mahu bersepah sepah. Tidak mahu Allah tarik semula.

Berniaga mengajar kita untuk “apa aku kisah”. Dengan apa orang hakimi. Dengan apa orang fikir pasal diri. Kita susah orang tak kasi makan. Asal Allah tahu apa dalam hati. Cukup.

Jadi rakan niaga sekalian. Cabarannya bukan hanya apabila berada dibawah. Cabaran berada diatas juga berbeza.

Bila kita hulur wang, bukan kerana kaya dan berada. Tapi kerana tahu sangat apa makna tidak ada.

Bila kita beri bantuan, bukan kerana senang. Tapi kerana mahu kongsi dengan orang sekeliling rezeki hasil usaha.

Bila kita tidal berkisah pasal hutang, bukan kerana mampu. Tapi kerana tahu orang pandang hina bila sangat memerlu.

Kenapa kita hulur, bantu dan tidak berkisah?

Sebab sudah rasa perit berada disitu. Bila tiada wang. Bila mahu dibantu. Bila mahu meminjam.

Hulurkan kebaikan. Yang hanya dinampak kejahatan. Bantulah dengan apa yang ada. Yang hanya dicanang kejahatan juga. Usah berkisah kira. Akan dikata sombong juga. Akan dikata tak sedar diri. Akan dikata pelbagai lagi.

Buat kerana mahu buat. Biarkan orang berkata-kata. Buat baik kerana Allah suka. Teruskan buat kebaikan. Usah putus asa dengan perkataan, canangan dan fitnahan yang melempar kita.
.
Ingat semula. Bila susah bukan orang yang berkata, mencanang dan menfitnah ini yang bantu.

Sumber: Mahanom Mohammad

Usaha Tangga Kejayaan Dan Jangan Berputus Asa

Jika dilihat kepada tokoh-tokoh usahawan yang berstatus bilionair seperti Bill Gates dan Jack Ma di arena antarabangsa; serta Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Malaysia; mereka semua pernah alami zaman ‘kegelapan’ masing-masing. Tetapi apa yang menyebabkan mereka berjaya, adalah semangat kental yang ditunjukkan dan perkataan putus asa tidak wujud dalam kamus diri mereka.

Jadikanlah pengalaman mereka yang telah berjaya sebagai inspirasi bagi membakar semangat untuk terus berusaha, insyaAllah satu hari nanti ianya menjadi milik kita juga.

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.