Ahli Ekonomi Saran Regularisasi Penyertaan Pekerja Asing Di Bawah Ekonomi MADANI

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Ahli ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram menyarankan regularisasi atau pelarasan semula tenaga kerja asing untuk mengiktiraf penglibatan pekerja asing tanpa dokumen dalam sektor tenaga kerja negara di bawah Ekonomi MADANI.

Beliau berkata, Malaysia pada masa ini tidak memasukkan pekerja asing tanpa dokumen dalam pendapatan per kapitanya.

“Antara ciri Ekonomi MADANI yang menarik adalah komitmen untuk meningkatkan bahagian pendapatan buruh. Bahagian pendapatan buruh di Malaysia sebenarnya sangat rendah iaitu pada 40 peratus, dan terdapat jaminan untuk meningkatkannya kepada 45 peratus. Pada pandangan saya, angka ini tidak berasaskan pertimbangan yang tertentu.

“Meningkatkan bahagian buruh dalam pendapatan negara agak penting kerana kita mempunyai kesulitan di Malaysia dengan mengatakan tiada sumbangan daripada buruh tanpa dokumen,” katanya pada siri wacana anjuran INCEIF University di sini hari ini.

Jomo ialah penceramah dalam sesi panel bertajuk “Menggiatkan Semula Ekonomi Malaysia: Kenapa, Bagaimana dan Siapa?.”

Beliau berkata tenaga buruh asing secara kolektifnya dianggarkan berjumlah 6.7 juta pada sedekad lepas berbanding anggaran tenaga buruh sekitar 15 juta.

“Seandainya buruh asing yang mempunyai dokumen berjumlah 2.2 juta, dan 2.2 juta ini ditolak daripada 6.7 juta, ini bererti terdapat 4.5 juta pekerja asing tanpa dokumen iaitu hampir satu perempat daripada tenaga kerja negara, dan anda mengatakan mereka tiada?

“Oleh itu, pada dasarnya, kita sebenarnya membuat anggaran yang berlebihan bagi pendapatan per kapita, dan kita membuat jangkaan berlebihan bagi produktiviti kerana kita tidak mempunyainya dalam denominator,” kata Jomo.

Pada Oktober 2022, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehingga Jun 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan 2.1 juta warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama