Pelabur Asing Menumpu Ke Malaysia Ketika Kebimbangan Mengenai Kenaikan Kadar AS Menurun: RAM Ratings

Sumber : themalaymailonline.com

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Pelabur asing menumpu ke Malaysia pada Julai selepas didorong oleh tanda-tanda yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) menghampiri penghujung kitaran pengetatan kadarnya, kata RAM Ratings.

Kedua-dua pasaran ekuiti serta bon menyaksikan aktiviti belian asing yang lebih rancak. Secara keseluruhan, aliran masuk asing ke dalam pasaran bon melonjak lebih dua kali ganda dari bulan ke bulan kepada RM11.3 bilion (Jun: RM5.2 bilion), yang terbesar sejak Jun 2020 dan pembelian bersih asing bulan ketujuh berturut-turut.

 “Bursa Malaysia juga mencatat aliran masuk asing bersih sebanyak RM1.4 bilion selepas aliran keluar bersih 10 bulan berturut-turut.

“Sentimen pelabur yang lebih baik dan selera untuk aset pasaran baru muncul yang lebih berisiko muncul selepas keluaran cetakan inflasi AS yang menggalakkan pada awal Julai yang menunjukkan penyederhanaan kepada 3 peratus, terendah sejak Mac 2021,” katanya.

“Sejak kenaikan kadar 25 mata asas selanjutnya pada 26 Julai, Fed nampaknya kurang agresif, meningkatkan keyakinan pasaran bahawa tambahan 25 mata asas terakhir seperti yang diramalkan oleh ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan untuk tahun ini tidak akan berlaku,” tambahnya. 

Agensi penarafan itu menyatakan permintaan yang lebih kukuh menyaksikan penanda aras hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun susut sebanyak 4.8 mata asas dari bulan ke bulan kepada 3.84 peratus pada akhir Julai manakala ringgit menambah nilai kepada 4.54 berbanding dolar US (akhir Jun: 4.68 ). Sehingga 15 Ogos lepas, hasil MGS 10 tahun berada pada 3.88 peratus manakala ringgit berada pada 4.63 setiap dolar US.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Rentak Menurun Kembali Rancak

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami tekanan jualan yang hebat pada Khamis apabila jatuh MYR76 untuk ditutup lebih rendah pada harga MYR4,557. Pada awalnya, komoditi ini memulakan sesi dagangan pada paras MYR4,624. Selepas merekodkan paras tertinggi sesi hari tersebut pada MYR4,630, ia terjerumus ke paras terendah intrahari bernilai MYR4,520 dan menutup dagangan pada MYR4,558 dengan corak lilin menurun. Pergerakan harga semasa yang negatif menunjukkan momentum negatif semakin menguat susulan penolakan yang berlaku pada paras rintangan MYR4,700.

Sekiranya momentum menurun berterusan, komoditi ini mungkin akan bergerak lebih rendah untuk menguji paras MYR4,500. Dalam keadaan pasaran menurun, kami menjangkakan paras sokongan menjadi lemah. Pergerakan harga yang menembusi paras sokongan terdekat akan menjejaskan lagi sentimen pasaran dan mendorong harga untuk menurun lebih rendah ke arah paras sokongan berikutnya pada MYR4,390. Setelah memerhati pergerakan harga semasa, kami terus berpegang pada bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,500 yang diikuti oleh paras MYR4,390. Paras rintangan pertama pula kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,840.