ST Rosyam Mart Sasar Nilai Jualan Cecah RM2 Bilion Tahun Ini


KLANG, 20 Mac (Bernama) — Rangkaian pasar borong dan runcit ST Rosyam Mart menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2 bilion tahun ini menerusi lapan cawangan seluruh negara termasuk premis baharu di Jalan Kebun di sini yang dibuka semalam.

Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Rosyam Nor berkata sasaran itu dilihat mampu dicapai memandangkan rangkaian pasaraya itu merekodkan hasil jualan mencecah RM1.4 bilion tahun lepas.

“Dengan konsep memenuhi keperluan seisi keluarga merangkumi makanan, fesyen, hiburan, teknologi dan aktiviti sukan pickleball di bawah satu bumbung, saya optimis sasaran itu boleh dicapai.

“Selain itu, kami juga memperkenalkan sistem pandu lalu pengambilan barang pesanan kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian di ST Rosyam Mart sekali gus menambah potensi kepada peningkatan jualan di premis kami,” katanya semasa majlis pembukaan cawangan baharu syarikat itu di sini.

Pembukaan rasmi cawangan kelapan ST Rosyam Mart di atas tapak seluas 114,000 kaki persegi itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Rosyam berkata pembukaan cawangan itu mencerminkan keprihatinan pihaknya terhadap kehendak rakyat membeli barangan segar dan berkualiti pada kadar harga mampu milik serta jimat.

“Pembukaan cawangan baharu ST Rosyam Mart adalah manifestasi kepada prinsip perniagaan kami iaitu menawarkan barangan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosyam berkata pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk terlibat sama dalam inisiatif Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada masa akan datang.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Türkiye Umum Prestasi Sektor Pelancongan 2025: Terima Kehadiran 64 Juta Pengunjung, Negara Jana AS$65 bilion Hasil Pendapatan Pelancongan, Catat Rekod Tertinggi 

KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI 2026 – Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Türkiye, Mehmet Nuri Ersoy, mengumumkan prestasi sektor pelancongannya bagi tahun 2025 pada sidang akhbar yang diadakan di İstanbul. Beliau menyatakan bahawa bilangan pengunjung ke Türkiye sepanjang tahun 2025 adalah seramai 64 juta manakala hasil pendapatan pelancongan pada tahun lalu adalah sebanyak AS$65,231 bilion. 

Menteri Ersoy menekankan bahawa sektor pelancongan Turki kini sudah menjadi kuasa bukan sahaja pada skala serantau tetapi juga di peringkat global, menurut data daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau mengingatkan pada tahun 2017, Türkiye berada pada kedudukan kelapan dalam kalangan negara yang menerima kunjungan paling ramai pelancong di dunia, namun menjelang 2024 ia meningkat pada kedudukan keempat. Ersoy turut menyatakan, dari segi hasil pendapatan pelancongan, Türkiye berada pada kedudukan ke-15 pada tahun 2017 tetapi meningkat ke tangga ketujuh pada 2024, dan beliau mengumumkan sasaran sebanyak AS$68 bilion bagi tahun 2026.

Menteri Ersoy berkata, Türkiye kini memiliki tahap kepekaan yang kuat dan pengalaman serius dalam menguruskan krisis. Malah beliau menyatakan bahawa sektor pelancongan Türkiye telah melangkah lebih jauh, bukan sekadar pelancongan berorientasikan laut, pasir dan matahari. Terdapat kepelbagaian yang semakin berkembang dalam bermacam bidang seperti pelancongan budaya dan kepercayaan, pelancongan alam semula jadi dan eko, pelancongan arkeologi, kesihatan dan tenaga haba, pelancongan gastronomi, kongres dan festival, pelancongan pelayaran serta pelancongan musim sejuk.

Menteri Ersoy berkata, visi ‘Warisan untuk Masa Hadapan’ dan projek Muzium Malam adalah antara beberapa pencapaian di dunia yang mampu disempurnakan oleh sebilangan kecil negara, dan Türkiye menjadi salah satu contoh negara yang paling berjaya dalam bidang ini. Model “miniseries’ yang digunakan dalam strategi promosi turut mencapai kejayaan di peringkat global, dan menurut beliau, satu episod berkenaan iaitu “An Istanbul Story’ mencapai 32 juta tontonan, malah kandungan yang paling kurang disaksikan pula mencatat 10 juta tontonan. 

Ringkasan prestasi pelancongan Türkiye 2025:

 Pertumbuhan 2024-2025Pertumbuhan 2017-2025Pertumbuhan 2024-2025
Bilangan pengunjung:63.941.000+2.7%+68%
Pendapatan pelancongan:65,231 billion USD+6.8%+109%
Perbelanjaan satu malam:100,0 USD+3.6%+36%

3 pasaran terbesar Türkiye:

1.      Persekutuan Russia: 6.90 Juta

2.      Jerman: 6.75 Juta

3.      UK: 4.27 Juta