Bukan Masa Sesuai Perkenal Semula GST – Steven Sim

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Kerajaan tidak mempertikaikan kelemahan atau kekuatan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya kesesuaian waktu untuk melaksanakannya semula, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan berikutan negara masih lagi berdepan fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dan pelbagai cabaran ekonomi global akibat pergolakan geopolitik, negara masih belum bersedia untuk melaksanakan GST.

“Ini bukan satu perbincangan dari segi kekuatan atau kelemahan sistem percukaian GST… tetapi kesesuaian. Kita perlu melakukan perkara yang betul pada masa yang betul. Kalau lakukan perkara betul tetapi pada masa salah, maka akan memberi beban kepada rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen, hari ini.  

Menurut Sim, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi melihat kesesuaian dan penambahbaikan sistem percukaian sedia ada seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat pelbagai aspek sebelum mempertimbangkan keputusan untuk melaksanakan sebarang dasar percukaian antaranya struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada dan batasannya, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan dan taraf hidup rakyat serta kesediaan rakyat.

Berkenaan pengenalan cukai karbon, Sim berkata sebarang pengenalan cukai baharu perlu dikaji dengan teliti untuk mengambil kira kesannya, bukan sahaja kepada aktiviti ekonomi, malah kepada kehidupan rakyat. 

“Oleh itu, kerajaan buat masa ini tidak ada keputusan untuk melaksanakan cukai karbon. Namun, Kementerian Kewangan sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan cukai karbon sebagai antara instrumen harga karbon bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau seperti yang diumumkan dalam RMK-12,” katanya.

Beliau berkata kajian itu juga merangkumi proses penandaarasan dengan mengenal pasti amalan terbaik yang telah dilaksanakan di negara-negara maju berhubung pelaksanaan cukai karbon.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Pelbagaikan Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Russia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah.

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Russia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Pada 20 Jun lalu, PETRONAS memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

PETRONAS memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-BERNAMA