Dasar Jelas, Kestabilan Politik Kunci Raih Ranking Tinggi Daya Saing Global – Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Kedudukan daya saing global Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan pelaksanaan dasar yang konsisten, terutamanya kerana keputusan tidak popular kadangkala diperlukan untuk mengoptimumkan peruntukan sumber dan mengukuhkan struktur ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata antara contoh utamanya adalah usaha kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi dan meningkatkan hasil cukai bagi membolehkan perbelanjaan awam yang lebih besar untuk membina kapasiti pengeluaran negara.

“Ini termasuk perbelanjaan untuk sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur dan keselamatan. Oleh itu, kerajaan mesti memastikan mesej dasar ini disampaikan dengan jelas kepada orang ramai supaya mereka memahami hala tuju dasar negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejayaan Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025, prestasi terbaik negara sejak 2020.

WCR diterbitkan setiap tahun oleh International Institute for Management Development (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.

Mohd Afzanizam berkata laporan itu menyediakan penilaian menyeluruh tentang keupayaan ekonomi untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.

“Peningkatan dalam ranking itu jelas menunjukkan Malaysia mempunyai ekosistem yang kondusif untuk perniagaan dan pelaburan.

“Dasar kerajaan yang pro-perniagaan, jentera perkhidmatan awam yang berpengalaman, tenaga kerja yang berdaya saing, dan kumpulan bakat yang berpendidikan tinggi semuanya telah menyumbang kepada meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada kejutan tarif dan peningkatan risiko geopolitik, Malaysia terus menarik pelaburan asing.

Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan ini sebenarnya telah membuka peluang kepada Malaysia untuk mempamerkan keupayaannya menyokong ekosistem perniagaan yang kukuh.

“Sebagai contoh, peningkatan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mencetuskan minat yang semakin meningkat dalam pembangunan pusat data, khususnya di Johor.

“Ini, seterusnya, memerlukan infrastruktur sokongan seperti bekalan elektrik dinaik taraf. Selain itu, aktiviti pembinaan juga telah meningkat dengan pesat, memberi manfaat kepada kontraktor tempatan,” katanya.

Justeru, katanya, kesan limpahan jelas kelihatan dan secara keseluruhannya, Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk mencatat pertumbuhan berkualiti.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA