Ekonomi Malaysia Di Landasan Kukuh Dan Stabil, Walaupun Diancam Ketidakstabilan Global – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Kedudukan ekonomi Malaysia pada ketika ini berada di landasan yang kukuh dan stabil, walaupun diancam ketidakstabilan ekonomi global yang dicetuskan oleh ketegangan geopolitik dan faktor luar.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif mengawal pergerakan ekonomi semasa bagi memelihara kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan dengan kerjasama sektor swasta dan awam telah berjaya menyokong perniagaan tempatan dan merangsang ekonomi melalui dasar yang responsif dan bertanggungjawab serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang baik pada kadar 8.9 peratus dengan kadar pengangguran 3.7 peratus.

“Ini termasuklah sokongan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), khususnya pelancaran Prinsip Tadbir Urus Baik (PGG) sebagai garis panduan kemampanan tadbir urus GLIC,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat (LKR) Ke-113 di sini hari ini.

Katanya kerajaan bertekad mencapai aspirasi negara ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2025, mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sehingga 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, menjadi negara rendah karbon menjelang 2040, seterusnya mencapai karbon sifar menjelang 2050.

Beliau berkata nilai aset alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dijangka mencecah US$53 trilion menjelang 2025.

Katanya pelabur institusi telah membawa pengaruh kolektif yang berkembang dengan nilai hampir RM2.2 trilion aset di bawah pengurusan dan kira-kira RM750 bilion dalam bursa saham tempatan, iaitu merupakan pengaruh yang cukup besar terhadap peralihan kelestarian.

“Tadbir urus korporat yang berkesan juga adalah komponen penting dalam prinsip ESG untuk membantu memastikan dasar, proses dan struktur yang sesuai disediakan untuk perniagaan kekal berdaya saing dan mampan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM20.96 bilion kepada 358,089 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Mengenai Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP), katanya di bawah Bajet 2022, program itu menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mulai Januari 2022.

“Setakat 9 Sept 2022, sebanyak 63,593 personel telah berjaya ditempatkan dengan 36,781 personel telah ditempatkan di sektor awam manakala 26,812 personel pula ditempatkan di syarikat berkaitan kerajaan dan rakan-rakan strategiknya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Bank Dunia telah menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2022 daripada 5.5 peratus sebelum ini kepada 6.4 peratus.

Katanya ini berikutan terdapat peningkatan dalam permintaan domestik yang dipacu oleh kemajuan dalam pasaran pekerjaan susulan peningkatan gaji minimum.

“Semakan semula unjuran itu dibuat berdasarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terkini iaitu pertumbuhan pada suku kedua yang kukuh mengatasi jangkaan sebanyak 8.9 peratus.

“Namun, Bank Dunia berpendapat tiada penyelesaian yang cepat dan mudah kepada kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sebaliknya apa yang boleh dilakukan adalah memberi tumpuan mengukuhkan asas ekonomi dan melaksanakan pembaharuan struktur,” katanya.

Beliau berkata ini juga penting bagi mengawal inflasi makanan memandangkan sebahagian besar perdagangan Malaysia terutamanya import dalam denominasi dolar AS.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/ekonomi-malaysia-di-landasan-kukuh-dan-stabil-walaupun-diancam-ketidakstabilan-global-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

Khazanah Buka Permohonan Kohort Kedua Program Pengurus Dana

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan anak syarikatnya, Jelawang Capital mengumumkan pembukaan permohonan untuk kohort kedua Program Pengurus Dana Baharu Muncul (EMP).

Ia mencerminkan komitmen berterusan Khazanah, melalui Dana Impak, untuk memangkinkan ekosistem modal teroka (VC) dan syarikat baharu Malaysia dalam memupuk inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata pihaknya mempelawa permohonan untuk kohort kedua EMP 2026, yang kini dipertingkatkan dengan penyerahan sepanjang tahun.

Beliau berkata, sejak pemilihan tiga pengurus dana EMP pertama pada Jun 2025, pihaknya berbesar hati dengan kemajuan awal, termasuk menarik lebih RM30 juta daripada penyedia modal lain di luar komitmen Jelawang dan secara kolektif menggunakan lebih RM60 juta merentasi lebih 10 syarikat peringkat awal, yang kebanyakannya adalah syarikat baharu Malaysia.

Justeru, ia mencerminkan sumbangan EMP dalam menyokong pembangunan pengurus dana baru muncul dan ekosistem modal teroka domestik, katanya.

“Memperkukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia kekal sebagai komponen penting di bawah strategi ‘Memajukan Malaysia’ untuk tahun 2026.

“Melalui Dana Impak, kami kekal komited untuk membina ekosistem modal teroka yang lebih mendalam dan lebih bertenaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai National Fund-of-Funds Malaysia, Jelawang Capital menyalurkan pelaburannya melalui pengurus dana VC di bawah EMP dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI) yang menggunakan pendekatan programatik untuk memupuk dan mengukuhkan ekosistem VC.

EMP direka bentuk untuk menyokong generasi pengurus dana Malaysia yang akan datang melalui pengumpulan modal dan menginstitusikan pengurus dana.

Tiga pengurus dana EMP pertama dalam kohort pertama ialah Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move.

Kohort EMP yang akan datang memperkenalkan beberapa penambahbaikan termasuk permintaan untuk cadangan (RFP) dan proses penyerahan yang diperkemas yang membolehkan permohonan sepanjang tahun, saiz dana minimum yang lebih rendah untuk strategi pra-benih dan benih, dan fleksibiliti yang lebih besar semasa fasa permohonan berhubung dengan kemajuan pengumpulan dana awal.

Khazanah dan Jelawang Capital mempelawa pengurus dana VC Malaysia layak yang mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga mereka untuk memohon EMP.

Inisiatif di bawah Dana Impak dan Jelawang Capital menyokong rangka kerja Ekonomi MADANI yang lebih luas dan membentuk sebahagian daripada komitmen RM1 bilion Khazanah kepada inisiatif GEAR-uP kerajaan untuk memacu ekosistem modal teroka Malaysia, memupuk usahawan pertumbuhan tinggi dan mengumpul modal dalam pengumpulan dana peringkat awal.