Felda Berperanan Pastikan Sektor Sawit Negara Tidak Senasib Getah

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempunyai peranan penting dalam memastikan kelestarian industri sawit Malaysia supaya dapat mengelakkan nasib seperti yang menimpa sektor getah negara dan tidak berulang, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata menerusi pemilikan tanah perladangan terbesar seluas 800,000 hektar di Malaysia, Felda perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatannya dengan meningkatkan pengeluaran dan menumpukan sektor hiliran.

“Cuba bayangkan, jika kita tidak terlibat dalam industi hiliran selama 15 hingga 30 tahun akan datang. Saya tidak mahu melihat industri sawit yang dikendalikan oleh Felda ini menjadi senasib seperti getah.

“Pada satu ketika, kita ialah pengeluar getah terbesar di dalam dunia. Hari ini, kita menjadi pengeluar produk getah yang utama tetapi kita mengimport getah asli dari Vietnam dan Thailand kerana perlu memenuhi permintaan industri dan jika tidak (import), kita tidak cukup getah, tetapi yang anehnya, kita ada 420,000 hektar (penanaman) pokok getah yang melibatkan 290,000 pekebun kecil,” katanya dalam ucaptama di Simposium Felda 2024 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pada 2013, Malaysia mengeluarkan 19.5 juta tan sawit manakala Indonesia menghasilkan 26 juta tan namun dalam tempoh 10 tahun, pengeluaran negara menurun kepada 18.5 juta pada 2023 dan negara jiran itu terus meningkatkan hasil kepada 46.5 juta.

Johari berkata Indonesia menggunakan separuh hasil sawitnya untuk pengeluaran biodiesel manakala Malaysia mengeksport 15 juta tan ke pasaran dunia.

Justeru, beliau menekankan amat penting untuk Felda menggembleng aset tanah dan infrastruktur lengkap miliknya dengan sebaik mungkin.

Felda digesa untuk meningkatkan hasil tandan buah segar (TBS) ke tahap lebih tinggi berbanding 16.49 tan sehektar pada 2023, memandangkan para peserta sawit utama negara menghasilkan anggaran 20 tan TBS sehektar, katanya.

Beliau memberi contoh, jika Felda dapat menghasilkan 18 tan TBS sehektar, hasil keseluruhan akan meningkat kepada 14.4 juta TBS dan agensi itu boleh menjadi pengeluar terbesar dengan 2.8 juta tan minyak sawit mentah (MSM).

“Bayangkan, jika harga sawit RM4,000 satu tan dan anggaran kos adalah RM3,000, kita untung RM1,000. Secara keseluruhan, kita akan untung RM2.8 bilion.

“Jadi, kita perlu belajar daripada kejayaan Felda dahulu dan kita susun strategi untuk 20 hingga 30 tahun akan datang, saya percaya jika kita pandai mengolah tanah 800,000 hektar milik Felda ini, satu hari nanti generasi yang kelima atau seterusnya akan berbangga menjadi sebahagian daripada Felda,” katanya.

Johari juga memberi bayangan bahawa Felda dapat menjadikan para peneroka sebagai pengendali penuh aset mereka sehinggalah kepada pengeluaran hiliran dengan menyusun semula tanah rancangan itu menjadi kluster yang besar.

“Jadi, kelapa sawit ini sangat penting kepada negara. Jika Felda mahu menjalankan tanggungjawab sosial, sektor ini hanya mampan jika dapat membuat keuntungan yang besar. Tidak ada (syarikat) yang boleh membuat sumbangan sosial untuk masyarakat kalau tidak menjana pendapatan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA