Industri Lada Sarawak Sumbang 90 Peratus Daripada Sumbangan Industri Kepada KDNK Negara

KUCHING, 30 Nov (Bernama) — Industri lada Sarawak menyumbang 90 peratus daripada sumbangan RM2.2 bilion industri lada Malaysia kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2021, kata Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata jumlah pengeluaran eksport lada Sarawak tahun lepas berjumlah 8,097 tan metrik yang bernilai RM151.2 juta.

“Dalam suku ketiga 2022 (S3 2022), nilai eksport lada Sarawak meningkat daripada RM102.0 juta kepada RM136.5 juta berbanding Suku Ketiga 2021.

“Destinasi utama eksport lada Sarawak ialah Jepun, Vietnam, Taiwan dan Korea Selatan,” katanya dalam ucapan penggulungan Bajet 2023 negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Rundi berkata harga lada ketika ini stabil pada purata RM13,000 setan metrik bagi lada hitam dan RM23,300 setan metrik bagi lada putih.

“Harga dijangka berada dalam jajaran RM15,000 hingga RM17,000 setan metrik bagi lada hitam dan RM25,000 to RM26,000 setan metrik bagi lada putih pada 2023,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan kepentingan industri lada kepada ekonomi negeri, terutamanya bagi 37,484 pekebun kecil lada ketika ini, penting bagi Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam industri tersebut.

“Mustahak untuk menubuhkan Lembaga Lada Sarawak sendiri untuk mempercepat pembangunan industri lada premium,” katanya.

–BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/industri-lada-sarawak-sumbang-90-peratus-daripada-sumbangan-industri-kepada-kdnk-negara/

Previous ArticleNext Article

BNM Pastikan Pasaran Kewangan Kekal Teratur Hadapi Ketidaktentuan Global

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan pasaran kewangan kekal teratur dan sistem kewangan negara terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global melalui pemantauan pasaran yang berterusan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF berkata BNM melaksanakan pelbagai rangka kerja pengurusan risiko yang menyeluruh bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara.

Katanya, pergerakan ringgit terus ditentukan oleh pasaran.

“BNM tidak menyasarkan sebarang paras nilai ringgit. Tumpuan BNM adalah untuk memastikan nilai ringgit didagangkan dalam keadaan yang teratur.

“BNM akan terus memantau keadaan pasaran pertukaran asing domestik dan sentiasa bersedia mengambil langkah yang sewajarnya sekiranya terdapat pergerakan mata wang yang tidak teratur,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai bentuk pengurusan risiko yang dilaksanakan BNM bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara dan apakah petunjuk prestasi utama (KPI) yang digunakan oleh BNM bagi menilai kejayaan pengurusan risiko ini.

Bagaimanapun, MOF berkata kerajaan serta BNM juga mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing yang seterusnya dapat menstabilkan nilai ringgit.

“Ini termasuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkan pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten.

“BNM juga melaksanakan program syarikat pelabur pemastautin yang berkelayakan (QRI) pada Julai 2025 untuk terus menyokong aliran dana dua hala dalam pasaran tukaran asing,” katanya.

Menurut MOF, setakat 1 Mac, 2026, nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding US dolar. Kadar kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ini merupakan antara yang tertinggi dalam kalangan mata wang serantau.

“Apabila kita mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama Malaysia seperti dolar Singapura, renminbi China dan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) mencatat peningkatan sebanyak 6.1 peratus bagi 2025 dan 2.8 peratus setakat pertengahan Februari 2026,” katanya.
— BERNAMA