Hasil Perikanan Sabah Sumbang Imbangan Dagangan Positif Hingga RM900 Juta Setahun

KOTA KINABALU, 30 Nov (Bernama) — Sabah terus menjadi negeri pengeksport utama hasil perikanan di Malaysia sekali gus menyumbang kepada imbangan dagangan yang positif antara RM600 juta hingga RM900 juta setahun, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata Sabah merupakan negeri pengeksport bersih bagi komoditi ikan serta mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus dari segi pengeluaran ikan.

“Kecekapan pengendalian aktiviti perikanan di Sabah perlu ditingkatkan termasuk Kompleks Perikanan Bersepadu di daerah perikanan utama seperti Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan perlu diwujudkan termasuk penyediaan jeti,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2023.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata sektor perikanan menyumbang sebanyak 15.6 peratus atau RM1.95 billion setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Mohd Tamin Zainal berkata momentum penerimaan pelaburan termasuk pelaburan langsung asing (FDI) di Sabah dijangka meningkat sehingga tahun hadapan.

“Ketika ini, kerajaan Sabah telah menerima pelaburan dari Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd (Korea Selatan) dan Syarikat Kumpulan Kibing (China) iaitu masing-masing dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.2 billion dan RM2 billion.

“Lebih 400 peluang pekerjaan juga dapat diwujudkan apabila kilang kerajang tembaga Syarikat SK Nexilis ini siap sepenuhnya.

“Sebanyak 2,100 peluang pekerjaan dapat dimanfaatkan penduduk negeri ini apabila kilang pemprosesan pasir silika di Kudat dan kilang pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi Syarikat Kumpulan Kibing ini siap,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah bekerjasama dengan Jabatan Cetak Negeri Sabah bagi mencetak logo ‘Authentic Sabah’ berbentuk hologram yang akan diedarkan percuma kepada semua usahawan berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pada Januari depan.

“Tujuan cetakan hologram ini adalah bagi mengatasi masalah lambakan produk yang menggunakan identiti produk Sabah walhal diproses atau dikilangkan di luar negeri Sabah.

“Justeru kriteria bagi penerima label hologram ini termasuk produk terbabit perlu dihasilkan di Sabah, memenuhi piawaian pembungkusan, selain produk boleh menembusi pasaraya tempatan, luar negeri atau eksport,” katanya.

Katanya DIDR akan meneruskan program mempromosi serta memasarkan produk Sabah ke pasaran antarabangsa melalui ekspo perdagangan antarabangsa yang diadakan di seluruh dunia pada tahun hadapan antaranya Foodex (Jepun), K-Beauty (Korea Selatan), Thaifex (Thailand) dan Gulfood Dubai (Arab Saudi).

Penyertaan para usahawan Sabah ke ekspo antarabangsa pada tahun ini 2022 termasuk di Dubai World Expo pada penghujung tahun lepas, menjana hasil jualan RM27.32 juta manakala jumlah jualan kaunter diperolehi RM366,867, katanya.

Persidangan DUN Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian