Johor Penyumbang Terbesar Kepada Jumlah Perdagangan Negara Bagi Tempoh Jan-April Tahun Ini

ISKANDAR PUTERI, 22 Jun (Bernama) — Johor muncul sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah perdagangan negara bernilai RM247.592 bilion bagi tempoh Januari sehingga April tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sumbangan Johor daripada segi perdagangan dan pelaburan adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi negara.

“Kedua-dua perdagangan dan pelaburan (Johor) adalah penting dan daripada segi sumbangan Johor untuk perdagangan, kedudukannya naik nombor satu iaitu 30 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM842.795 juta bagi tempoh Januari sehingga April tahun ini.

Bagi tempoh yang sama tahun lepas, Johor berada di tempat ketiga daripada segi jumlah perdagangan di belakang Selangor dan Pulau Pinang.

MITI akan memudahcara pelaburan E&E, kimia dan tenaga lestari di Johor

Selain itu, Tengku Zafrul berkata momentum pelaburan di Johor disifatkan terus positif dan semakin berkembang dengan sektor utama terus menjadi fokus seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta kimia dan petrokimia.

“Mesyuarat hari ini juga membincangkan fokus akan datang iaitu industri tenaga boleh diperbaharui (RE) dan tenaga kerja, justeru pelabur-pelabur dan syarikat-syarikat diminta memberi tumpuan kepada dua aspek ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji prestasi dan penyelarasan serta kerjasama agensi persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan semua pelaburan di negeri Johor yang diumumkan, berjaya dilaksanakan.

“Contohnya apabila pelabur datang, kadang-kadang ada (projek) yang tidak dapat dilaksanakan tetapi di Johor ini, berdasarkan ‘track record’ (rekod pencapaian) hampir 98 peratus projek yang diumumkan telah dapat dilaksanakan,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan agensi persekutuan serta negeri yang terlibat dalam memastikan pelaburan di Johor dalam tahap terbaik.

Ia juga dapat dilihat apabila negeri itu turut mencatatkan eksport tertinggi dalam negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, katanya.

“Kerjasama antara  MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi-agensi di bawah kementerian bersama dengan agensi-agensi di peringkat negeri seperti Invest Johor dan pihak berkuasa tempatan yang banyak menyumbang kepada angka pelaburan ini.

“Nilai eksport terus meningkat kerana pelabur-pelabur hendak lihat daripada segi kecekapan, bagaimana kita membantu mereka kerana time is money,” katanya lagi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Pelbagaikan Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Russia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah.

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Russia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Pada 20 Jun lalu, PETRONAS memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

PETRONAS memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-BERNAMA