Kenaan Cukai Keuntungan Modal Ke Atas Pelupusan Saham Syarikat Tersenarai Belum Sesuai – Lim

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Kerajaan berpandangan pengenaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) ke atas pelupusan saham syarikat tersenarai masih belum sesuai dilaksanakan pada masa ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

“Pendekatan itu diambil bagi memastikan bursa saham tempatan terus kompetitif dan berdaya saing dengan prestasi (pasaran saham) negara serantau,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, hari ini.

Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan dua Rang Undang-undang (RUU) melibatkan cukai iaitu Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 dan Rang Udang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024.

Lim ketika membentangkan RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 berkata ia bertujuan meminda Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), merangkumi sembilan fasal bagi melaksanakan pindaan bersifat penambahbaikan terhadap dasar serta pentadbiran cukai.

Antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuk pelaksanaan cukai keuntungan modal dan cukai keuntungan modal dari sumber luar negara; pelaksanaan e-Invois; dan pindaan pentadbiran cukai.

Menurut Lim hasrat pelaksanaan cukai keuntungan modal adalah untuk memperluas asas cukai serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Manakala pelaksanaan e-Invois adalah bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai dalam menangani cabaran ekonomi bayangan serta mengekang ketirisan hasil cukai negara secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024 bertujuan melaksanakan pindaan berbangkit berkaitan pelaksanaan e-Invois seperti pindaan terhadap Akta Cukai Pendapatan 1967.

RUU ini mempunyai dua fasal yang meminda Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, dengan pindaan itu disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Jan, 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Krisis Geopolitik Ancam Bekalan Lebih Besar Berbanding Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global dilihat lebih berisiko terhadap rantaian bekalan produk berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, walaupun cabaran geopolitik ketika ini belum memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia, negara dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan yang lebih ketara dalam tempoh akan datang.

“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga, sebaliknya apa yang lebih penting ialah sama ada kita mempunyai bekalan itu atau tidak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata tekanan harga global dan perkembangan geopolitik sememangnya memberi kesan kepada harga domestik, namun impaknya di Malaysia masih terkawal buat masa ini.

“Ada item tertentu yang turun harga dan ada juga yang meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.

“Namun bagi saya, kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa berkemungkinan hanya dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dunia pernah melalui situasi sama sebelum ini dan banyak negara serta perniagaan kini lebih berpengalaman dalam mengurus gangguan rantaian bekalan.

“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan cabaran kekurangan baja. Tidak kurang juga cabaran ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas cabaran sektor e-dagang terhadap industri runcit, Ameer Ali berkata pemain e-dagang turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos logistik.

“Oleh itu, kita sebagai peruncit masih mempunyai beberapa kelebihan. Situasi kali ini tidak sama seperti ketika COVID-19 yang menyaksikan lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.

“Sekarang orang ramai boleh keluar. Sudah pasti harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat, tetapi bukan pada tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang lebih cenderung membeli item secara individu, sekali gus menjadikan kos penghantaran sebagai komponen lebih besar dalam jumlah keseluruhan kos.

“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh terpengaruh dengan iklan seperti penghantaran percuma dan kupon percuma sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.

“Namun ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, orang lain yang akan membayarnya,” katanya.

Ditanya sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang yang berorientasikan masyarakat berbanding memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.

“Untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelabur.

“Anda juga perlu menunjukkan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala melibatkan kos tertentu,” katanya.

Beliau berkata Mydin mungkin tidak mencatat keuntungan setinggi syarikat lain dalam sektor sama kerana syarikat itu lebih mengutamakan khidmat kepada komuniti serta mengembalikan manfaat kepada pembekal.

“Kami tidak menjana keuntungan terlalu besar. Kenapa? Kerana sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pembekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Mydin kekal komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.

– BERNAMA