AHB Agih Pendapatan Interim 2.50 Sen, Dibayar Pada 15 April Ini

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) mengumumkan agihan pendapatan interim  sebanyak 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, 2024, yang akan dibayar pada 15 April, 2024.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pihak AHB, Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) berkata agihan itu turut membabitkan pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.20 sen seunit dan agihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit.

Pembayaran bonus dibuat oleh PHB selaku penaja AHB dan akan dibayar kepada 1,000,000 unit pertama yang dimiliki oleh setiap pemegang unit.

“AHB akan membuat pembayaran berjumlah RM116.6 juta kepada kira-kira 80,000 pemegang unit untuk agihan pendapatan kali ini. Pendapatan pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi juga telah dizakatkan.  

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata agihan itu menunjukkan strategi pelaburan kumpulan itu yang kukuh dalam menguruskan portfolio hartanah.

“Kami secara strategik membina portfolio AHB kepada RM20 bilion menjelang 2030 dengan secara selektif memperoleh hartanah yang menghasilkan pendapatan serta mengambil bahagian dalam pembangunan hartanah dalam sektor sasaran seperti penjagaan kesihatan, industri dan pendidikan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Damshal berkata hampir keseluruhan daripada satu bilion unit tambahan AHB yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2023, telah dilanggan.

Ini, kata beliau, membuktikan kepentingan dana pendapatan AHB yang stabil dan dipercayai oleh pelabur, terutamanya dalam merancang portfolio pelaburan keseluruhan mereka.

— BERNAMA

Baca juga: Tutorial Melabur Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) Guna Maybank2u

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.