Kenaikan Tarif Elektrik Tidak Dapat Dielakkan, Pertimbangkan Subsidi Bersasar – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) — Kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielakkan kerana kos penjanaan elektrik telah meningkat dengan mendadak dan pantas tetapi keperluan golongan tertentu harus dipertimbangkan, kata ahli ekonomi.

Kenaikan tarif tidak dapat dielakkan disebabkan oleh permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global telah menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.

Di peringkat serantau, Singapura, Indonesia, India dan Australia telah menyemak semula tarif sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan dalam pasaran tenaga, perang di Ukraine, loji arang batu yang sudah berusia, sekatan perjalanan akibat COVID-19 dan musim sejuk semuanya adalah faktor kepada permintaan yang lebih tinggi untuk tenaga dan Malaysia turut terkesan daripada situasi yang berpanjangan itu.

Tindakan yang berkesan atau beransur-ansur harus dilaksanakan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang sudah merasai tekanan akibat kenaikan kos tidak akan mengalami kejutan sekali lagi sekiranya tarif elektrik tempatan disemak semula.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kadar tarif akan lebih tinggi untuk isi rumah memandangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini menghadapi kos pengeluaran tenaga yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.

Pada akhir tahun lepas, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM846) setan, meningkat daripada sekitar AS$50 setan pada pertengahan tahun 2020; menjelang akhir Mei 2022, harga arang batu telah meningkat kepada AS$434 satu tan dengan arang batu menyumbang 59 peratus daripada sumber utama penjanaan elektrik Malaysia.

“(TNB) perlu memastikan perniagaan itu mampan (sebagai entiti korporat) tetapi saya berharap akan ada beberapa bentuk subsidi disasarkan untuk kumpulan 40 terbawah (B40) berhubung tarif elektrik,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan campur tangan dan memberikan subsidi untuk TNB dalam jangka pendek bagi memastikan pelanggan akhir tidak terbeban.

TNB perlu mempelbagaikan sumber gas dan arang batu dan bagi tempoh jangka panjang, memberi tumpuan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biofuel.

TNB Fuel Services Sdn Bhd memperoleh arang batu dari Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia tetapi Indonesia menyumbang kira-kira 65 peratus daripada keperluan arang batu TNB.

Menurut Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams, cadangan kenaikan tarif tidak dapat dielakkan kerana faktor pasaran antarabangsa di luar kawalan Malaysia.

“Kenaikan tarif akan membawa kepada inflasi yang lebih tinggi kerana ia memberi kesan kepada semua harga barangan keperluan dan makanan. Kali terakhir ia berlaku adalah pada awal tahun ini, ia menambah lebih daripada 0.5 peratus kepada inflasi. Ini akan menjejaskan individu berpendapatan rendah dan keluarga besar secara tidak seimbang,” katanya.

Beliau menolak idea menerapkan amalan penggunnaan elektrik yang baik kerana catuan dan tingkah laku pengguna sukar diuruskan apabila melibatkan sebuah keluarga besar.

Profesor Ekonomi di Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng mencadangkan kerajaan mengambil langkah dengan memberi subsidi untuk meringankan beban pengguna.

“Tambahan pula, struktur tarif boleh diselaraskan supaya beban harga bahan api yang lebih tinggi ditanggung oleh syarikat dan isi rumah yang mampu membayar tarif yang lebih tinggi.

“Adalah kritikal bahawa golongan berpendapatan rendah serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana, yang sudah berada di bawah tekanan daripada kenaikan kos tida dikejutkan dengan perubahan harga sekali lagi. Kenaikan tarif harus dilakukan secara berperingkat,” kata Yeah.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/kenaikan-tarif-elektrik-tidak-dapat-dielakkan-pertimbangkan-subsidi-bersasar-ahli-ekonomi/

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari