Kerajaan Akan Pertimbang Laksana Subsidi Lebih Bersasar – Mohd Shahar

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) — Kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi secara lebih bersasar supaya manfaatnya ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata inisiatif pembaharuan fiskal ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan di samping mewujudkan ruang fiskal.

“Inisiatif pembaharuan fiskal ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah ‘counter-cyclical’ (kitaran balas) untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara bagi berdepan dengan cabaran masa hadapan,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan.

Dalam melangkah ke hadapan, kerajaan terus komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melindungi isi rumah daripada impak penuh kenaikan harga komoditi dan makanan global, katanya.

Beliau berkata susulan langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

Mohd Shahar berkata tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, inflasi dianggarkan akan mencapai 11.4 peratus.

Tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal susulan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan, katanya.

“Tahap inflasi negara bagi tempoh enam bulan pertama 2022 mencatatkan kadar 2.5 peratus dan kadar inflasi ini jauh lebih rendah daripada inflasi di negara lain terutama dalam kalangan negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mencecah sembilan peratus, sementara di negara-negara serantau seperti Thailand, Filipina dan Singapura mencecah lebih enam peratus,” katanya.

Mohd Shahar berkata bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan, fokus kerajaan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober 2022 tertumpu kepada inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Usaha itu akan dilakukan terutama melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan, katanya.

Beliau berkata Bajet 2023 dirangka berdasarkan lima aspek utama iaitu memperkukuh momentum pemulihan ekonomi dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Dasar (KDNK), aspek pekerjaan dan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Aspek utama lain meliputi usaha meningkatkan daya saing negara dalam normal baharu pasca-COVID-19 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui penerapan teknologi, automasi dan pendigitalan serta menggalakkan inovasi baharu untuk pertumbuhan ekonomi secara lestari; dan memperkukuh daya tahan ekonomi, kedudukan fiskal yang mampan serta pemberian subsidi dan bantuan secara lebih bersasar.

Selain itu, melindungi kesejahteraan rakyat melalui program perlindungan sosial yang memberi tumpuan berterusan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, keselamatan awam dan persekitaran hidup yang lebih selesa juga merupakan aspek yang ditekankan.

Aspek kelima menggalakkan pembangunan yang inklusif dan mampan selaras dengan sasaran yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau berkata sebanyak 242 organisasi termasuk persatuan, dewan perniagaan, akademia dan badan bukan kerajaan telah mengemukakan 1,935 memorandum yang merangkumi empat komponen utama (rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan) bagi penyediaan Bajet 2023 yang bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kerajaan-akan-pertimbang-laksana-subsidi-lebih-bersasar-mohd-shahar/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA